Uji Matcha Latte dan Tori Katsu Kare di Kafe Kyaku by Fai's Signature, KotaSAS Kuantan

Nasi kari jepun bersama ayam
Walaupun berasal dari tempat yang sama, India; tak semua kari dijadikan sama. Ada yang pedas, ada yang berlemak, dan ada yang berminyak, bergantung pada negara di mana hidangan ni dibuat.

Contohnya, kari di Malaysia berbeza dengan kari di Jepun. Kari di Jepun kebiasannya lebih likat, kurang pedas, dan lebih manis. Kari Jepun mempunyai kekonsistenan yang sama dengan "cream of mushroom".

Buih pada bahagian atas secawan matcha latte
Antara hidangan Jepun yang menggunakan kari ialah kare raisu, kare bermaksud kari dan raisu pula nasi. Kare raisu, secara mudahnya; ialah nasi yang dihidang bersama kari, selalunya mempunyai sayur seperti kentang dan lobak.

Kafe Kyaku by Fai's Signature

Papan tanda kafe Kyaku by Fai's Signature
Di KotaSAS, Kuantan, ada sebuah kafe yang menyediakan minuman dan pastri berkonsepkan Jepun dan Inggeris. Uniknya pada masa ni, kafe dibuka di kawasan rumah, bukannya kedai.


Alamat: Jalan KS 4/6, Bukit Kuin Satu, 25200 Kuantan, Pahang
Waktu: Jumaat (5pm - 10pm), Sabtu & Ahad (12pm - 10pm)

Kafe Kyaku by Fai's Signature cuma dibuka pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad. Terletak dalam 650 meter dari TASEK KotaSAS, kawasan perumahan ni berpenjaga. Nak masuk cuma perlu bagitahu "saya nak ke Kafe Kyaku".

Bermacam Jenis dan Warna Latte

Latte genmaicha, hojicha, dan matcha
Antara minuman istimewa yang ada di kafe Kyaku by Fai's Signature ialah latte. Menariknya, latte di Kyaku tak terhad kepada kopi, ada juga latte berasaskan teh seperti genmaicha, hojicha, dan matcha.

Peminat coklat boleh cuba latte coklat gelap yang menggunakan belgian dark chocolate. Boleh pilih antara 60%, 80%, atau 100% dark chocolate. Harga untuk ketiga-tiga pilihan sama je.

Minuman Sakura latte berwarna merah jambu
Selain teh dan coklat, ada juga latte yang menggunakan bahan lain seperti aojiru (sayur), chomame hana (sejenis bunga), kabocha (labu), kurogoma (bijan), momo (pic), sakura, dan satsumaimo (keledek).

Uji Matcha Latte

Uji matcha latte yang belum dikacau
Matcha latte di sini menggunakan Uji matcha, sejenis matcha berkualiti tinggi yang berasal dari Uji, Jepun. Warna hijaunya juga lebih menyerlah, tak sama macam matcha latte yang penulis buat di rumah.

Rasanya memang kuat dan, pada pendapat penulis; sedikit kelat. Untuk kurangkan rasa kelat, boleh campurkan air gula sedikit. Selalunya penulis tak minum teh dengan gula, tapi kali ni memang kena tambah gula.

Pastri dan Croffle

Kaunter kopi dan pastri di kafe Kyaku
Untuk pastri dan kek pula, antara pilihan yang ada ialah brownie, blondie, croissant, kek pisang, kek paun, dan cupcake. Ada juga menu yang bermusim, contohnya untuk September 2023 ada matcha burnt cheese cake dan choco matsu blonnie.

Croffle berperisa cinnamon sugar dengan topping aiskrim vanila
Di Kyaku tak ada waffle, yang ada hanyalah croffle. Ada empat pilihan perisa — classic, cinnamon sugar, momo & cream, dan matcha. Nak lebih manis, boleh add-on aiskrim vanila sebagai topping.

Kare Raisu: Tori Katsu Kare

Tori katsu kare raisu
Makanan yang lebih berat di sini ialah kare raisu, dihidang bersama korokke kentang dan cendawan, ataupun tori katsu — sepotong ayam yang, sama seperti korokke; digoreng bersama serbuk roti panko.

Tori katsu yang penulis dapat sedikit garing, tetapi isinya tak kering dan tak ada rasa pahit. Sedap juga walaupun menggunakan bahagian dada, lebih sedap dimakan dengan karinya yang tak pedas dan tak terlalu masin, lobak dan kentang yang digunakan pun lembut.


Penulis teka, mesti lebih sedap kalau ayam yang digoreng tak terlalu garing dan lebih berjus. Untuk portion yang penulis dapat, tengok kepada saiz kepingan ayam dan bilangan kentang dan lobak; boleh makan sehingga dua orang.

Kawasan Elite, Harga Premium

Menu di kafe Kyaku
Harga makanan di kafe Kyaku, sesuai dengan kawasannya yang elite; lebih premium. Harga latte bermula daripada RM10, pastri bermula daripada RM8, dan kare raisu pula RM24 untuk tori katsu.

Bagi penulis, harga air dan pastri di sini lebih kurang je dengan kebanyakan kafe di luar. Cuma, mungkin akan ada yang mempersoalkan harga kare raisu selepas membandingkannya dengan harga di Sushi King.

Namun, untuk setiap sembilan pembelian minuman terpilih, kita boleh dapat satu minuman percuma — pastikan kad kesetiaan korang ditanda. Selain tu, pelanggan yang bergelar pelajar juga boleh dapatkan diskaun sebanyak 10%.

Exterior kafe Kyaku
Tak tahulah sampai bila Kyaku akan beroperasi di kawasan rumah. Laman rumahnya memang cantik, tapi kalau dah dapat banyak sambutan nanti mungkin terpaksa berpindah ke lot kedai.

Untuk maklumat lanjut, khususnya tentang menu-menu terbaharu atau bermusim; boleh ke laman Instagram kyakucafe.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top