Tteokbokki dan Sweet Soy Garlic Chikin di MyKori Dessert Cafe Express

kakigori Cup di MyKori
Di Malaysia, kita panggil ais batu campur. Di Jepun, kita panggil kakigori. Pertama kali penulis cuba kakigori, tahun 2021 di MyKori Dessert Cafe. Hampir dua tahun, cawangan MyKori yang penulis pergi waktu tu pun dah tak beroperasi.

Sekarang, dalam keadaan bingsu dan kakigori bukan lagi makanan yang trending; MyKori cuba untuk bawa kelainan, atau kepelbagaian dalam menu yang disediakan. Penulis perasan juga, MyKori dah ada kafe berkonsepkan ekspres.

MyKori Express

Kiosk MyKori Express dalam Petronas
Tanpa lot kedai, MyKori Express yang penulis pergi baru ni dibuka dalam sebuah stesen minyak Petronas. Berbeza daripada sebelum ni, sekarang MyKori dah mula sediakan makanan selain pencuci mulut.

Antara menu baharu yang penulis cuba ialah tteokbokki dan ayam bahagian kepak bersama sos soy garlic yang manis. Antara menu baru lain dalam siri menu K-Ori ialah kimchi jjigae ramyeon dan oppa chikin burger, hampir kesemuanya bertemakan makanan Korea.

Nampak macam MyKori sedang menghadapi krisis identiti, asalnya menyediakan pencuci mulut dari Jepun, sekarang dah mula sediakan makanan Korea. "Kori", asalnya singakatan bagi kakigori, sekarang "K-Ori" maksudnya korean original recipe.

Kakigori Cup

Kakigori Mango Cheesecake dan Milo Dinosaur
Salah satu daripada menu "express", penulis cuba kakigori cup. Dua perisa, mango cheesecake dan milo dinosaur disediakan dalam mangkuk kertas untuk yang nak menikmati kakigori ketika on the go.

Kakigori mango cheesecake disediakan dengan potongan mangga dan serbuk yang, penulis rasakan; berperisa kek keju. Kakigori Milo dinosaur pula rasa macam ais kepal Milo, cuma lebih halus.

Tteokbokki dan Sweet Soy Garlic Chikin

Tteokbokki dan Sweet Soy Garlic Chikin
Tteokbokki MyKori dihiasi rumpai laut kering dan daun bawang, rasanya pula tak terlalu pedas walaupun kuahnya likat. Dalam semangkuk hidangan tteokbokki juga ada eomuk, sejenis kek ikan dari Korea.

Ayamnya pula, rangup dan manis. Di bahagian atasnya ditaburkan bijan dan daun bawang. Untuk satu pesanan Signature Chikin Winglets + Drummets, penulis dapat 3 wingette dan 3 drummette.

Enam ketul sweet soy garlic chikin
Kalau nak ayam tanpa tulang, boleh pesan Signature Chikin Sunsal Boneless Bites. Kedua-dua jenis pesanan, winglets + drummets atau sunsal boneless bites; ada tiga perisa — sweet soy garlic, honey butter, dan yangnyeom.

Harga Makanan MyKori

Skrin menu di MyKori Express
Untuk harga makanan yang penulis cuba tadi, boleh semak jadual di bawah:

Menu Harga
Mango Cheesecake Kakigori Cup RM12
Milo Dinosaur Kakigori Cup RM13
Sweet Soy Garlic Chikin RM16.90
Tteokbokki RM16.90

Bagi penulis, harganya taklah murah tapi itulah lingkungan harga yang kita akan bayar walaupun di kafe lain. Untuk harga yang lebih murah, boleh cuba menu kombo kalau ada.

Tteokbokki Tebal Tapi tak Keras

Tteokbokki dengan rumpai laut kering dan daun bawang di MyKori
Dari segi rasa, penulis memang sukakan ayam sweet soy garlic walaupun makan di tempat lain macam 4Fingers dan Mizukicakes. Tteokbokkinya pula antara yang terbaik penulis pernah makan sebab kek berasnya tebal tapi tak keras.

Antara kedua-dua kakigori yang penulis cuba tadi, penulis lebih sukakan kakigori mango cheesecake. Tapi, kalau ikutkan pengalaman penulis sebelum ni, melon kakigori jauh lebih sedap, cuma harganya jauh lebih mahal sebab bahagiannya lebih besar dan bahannya lebih banyak.

Belgian Milk Chocolate daripada Jom Cha
Di tempat yang sama beroperasinya MyKori Express ni ada juga kiosk Jom Cha, sebuah jenama teh susu boba daripada Farm Fresh. Jadi dapatlah penulis minum air susu coklat Jom Cha, asalnya nak makan aiskrim yogurt tapi dah habis.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan produk-produk baharu dan promosi di MyKori, boleh ke laman Facebook dan Instagram MyKori Dessert Cafe

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top