Roti Canai dan Murtabak Dulang di Warung Kada Enterprise, Kampung Cherana Puteh, Alor Gajah, Melaka

Murtabak daging atas dulang bersaiz sederhana di Kada Enterprise
Percutian ke Melaka kali ni, nakkan sedikit kelainan. Kebiasaannya penulis akan tinggal di kawasan banda hilir, kalau jauh sikit pun mesti berhampiran dengan pantai Klebang. Kali ni, kita keluar lagi jauh.

Cuma, bila dah pergi ke tempat yang kita kurang biasa ni kita akan ada masalah tak tahu nak makan di mana. Mana tempat sarapan yang best? Mana kedai asam pedas yang best? Semuanya rujuk Google dan Tiktok.

Kada Enterprise, Roti Canai Dulang

Roti canai dan murtabak sedang disediakan
Dengar cerita ada sebuah warung yang menjual roti canai bersaiz dulang di kampung Cherana Puteh, dalam 4 kilometer dari susur keluar lebuhraya di Simpang Ampat. Tak menyimpang jauh dari laluan asal ke pantai Tanjung Bidara.


Alamat: Kampung Cerana Putih, 78000 Alor Gajah, Melaka.
Waktu: Rabu - Isnin (7AM - 1PM atau 3 PM)

Nama warungnya Kada Enterprise, lebih terkenal sebagai warung atau kedai roti canai dulang. Warung ni tersorok sikit, tak nampak dari laluan utama; pastikan ikut GPS dengan betul.

Murtabak sedang dilipat di atas dapur
Istimewanya di sini, kita boleh pesan roti canai dan murtabak bersaiz dulang. Seingat penulis, untuk saiz dulang; ada pilihan antara roti telur, murtabak daging, dan murtabak kambing.

Untuk roti canai dan murtabak dulang, ada pilihan antara dulang sederhana atau besar. Harga roti telur dulang antara RM9 (sederhana) dan RM15 (besar). Bagi penulis, saiz sederhana boleh dimakan antara tiga ke empat orang.

Murtabak Daging Dulang Sederhana

Murtabak daging dulang sederhana bersama gulai kambing
Tujuan asal nak makan roti canai dulang, tetapi yang dipesannya murtabak daging dengan kari kambing. Untuk dulang sederhana, harganya RM20. Kari kambing pula dalam RM10 sepiring.

Masalahnya, pada waktu penulis ke sini; tak ada tanda harga, jadi sebelum pesan lebih baik tanya harga dulu. Daripada beberapa ulasan di Google Maps, ada yang terkejut sewaktu membayar.

Penebar roti canai sedang menebar roti
Bagi penulis, RM20 untuk sedulang sederhana murtabak daging sangat berbaloi. Saiznya lebih kurang empat keping murtabak, atasnya ditutupi lapisan telur, dan isi dagingnya memang banyak — setiap gigitan ada daging.

Murtabak dan gulai kambingnya sedap, makanan lain macam kuetiau sup dan kuetiau goreng pun sedap — puas hati. Cuma seeloknya, dan sebolehnya; letaklah tanda harga dengan jelas, dan sediakan satu kaunter untuk pembayaran.

10 Minit Dari Resort A'Famosa

Pelanggan yang sedang menunggu makanan
Yang ke Resort A'Famosa tu, kira dekat dah tu. Boleh cuba datang ke sini kecuali pada hari selasa, seeloknya pagi atau sebelum tengah hari. Tak pasti kedai buka sampai pukul berapa, mungkin sampai satu atau tiga petang.

Kalau datang ke sini, penulis syorkan cuba murtabak daging. Kalau nak makan kuetiau goreng pula, boleh cuba pesan yang panas dan tambah telur dadar.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top