Cloudflare 1.1.1.1 dengan WARP untuk Internet yang Lebih Pantas, Selamat dan Privasi

Penyelesai DNS Cloudflare 1.1.1.1
Kelajuan muat turun internet yang tinggi tak bermakna internet akan sentiasa menjadi lancar. Ada banyak perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran internet, dan salah satunya ialah DNS.

DNS, atau Sistem Nama Domain; ialah sebuah sistem yang menyimpan rekod nama hos dan nama domain seperti URL, Penentu Sumber Seragam; dan alamat e-mel. Salah satu kepentingan DNS ialah menterjemah nama domain kepada alamat IP.

DNS Sebagai Penterjemah

Secara asasnya, rangkaian internet tak faham apa yang dimaksudkan dengan "https://www.google.com", tetapi ia faham apa yang dimaksudkan dengan "142.251.39.36". Sebab itulah kita perlukan pelayan DNS.

Jadi kenapa kita tak terus gunakan alamat IP? Selain daripada URL lebih mesra manusia, sebuah laman web boleh mempunyai lebih daripada satu alamat IP, atau mempunyai alamat IP yang berubah-ubah.

Bagaimana DNS Mempengaruhi Kelajuan Internet

Berapa cepat sebuah DNS atau penyelesai DNS boleh menterjemah nama hos atau nama domain kepada alamat IP bergantung kepada prestasi pelayan DNS yang kita pilih.

Tambah pula, setiap kali kita membuka sebuah laman web, setiap kandungan pada laman web tersebut juga menggunakan nama hos atau nama domain yang perlu diterjemah.

Masa yang diperlukan untuk penterjamahan, termasuk masa request-response atau tindak balas; kita boleh panggil sebagai masa menunggu. Kalau kita perlukan 5 saat untuk mengakses sebuah laman web, 5 saat itulah masa menunggu.

Walaupun Pembekal Perkhidmatan Internet, ISP mempunyai pelayan DNS mereka sendiri yang ditetapkan secara automatik kepada pengguna, kita sebenarnya boleh memilih pelayan DNS kita sendiri.

Cloudflare DNS 1.1.1.1

Antara pelayan DNS percuma yang kita boleh gunakan ialah Google Public DNS (8.8.8.8 & 8.8.4.4) dan Cloudflare DNS (1.1.1.1 & 1.0.0.1). Namun, sebagai pemudah cara kita boleh gunakan Cloudflare DNS.

Tak perlu lakukan tetapan sendiri, cuma perlu pasang perisian atau aplikasi yang disediakan secara percuma di sini untuk pengguna Windows, macOS, Linux, Android, dan iOS.

Selesai pemasangan perisian atau aplikasi, boleh pasang atau tutup Cloudflare DNS dengan mudah, Jadi korang boleh pakai kalau rasa perlu, dan tutup kalau rasa ada gangguan pada internet.

Cloudflare WARP

Jangan salah faham, Cloudflare DNS 1.1.1.1 bukanlah VPN. Tetapi, Cloudflare ada sediakan fungsi WARP di atas DNS mereka. WARP berfungsi "seperti" VPN, ia menyembunyikan aktiviti kita daripada ISP, namun ia tidak menyembunyikan IP pengguna.

Maksudnya, WARP tak boleh digunakan untuk tujuan menyembunyikan identiti pengguna, dan juga tak boleh digunakan untuk mengakses laman web atau kandungan yang meletakkan batas geografi.

Untuk tujuan menyembunyikan IP atau mengakses kandungan yang "geo-restricted", dan untuk rasa jauh lebih selamat menggunakan internet, boleh gunakan VPN berbayar seperti NordVPN atau ExpressVPN.

1.1.1.1 For Families

Selain daripada sambungan internet yang lebih selamat dan prviasi, Cloudflare juga memperkenalkan 1.1.1.1 For Families untuk menjadikan internet lebih mesra keluarga atau kanak-kanak.

Dengan 1.1.1.1 For Families, kita akan dilindungi daripada memasuki sebarang laman web yang mempunyai malware seperti ransomware dan virus. Ia juga boleh digunakan untuk menghalang pengguna daripada mengakses kandungan dewasa.

Siapa Perlu Gunakan Cloudflare DNS atau WARP?

Kalau ada masalah dengan masa menunggu yang lama ketika mengakses sesebuah laman web, boleh cuba Cloudflare 1.1.1.1. Selepas gunakan DNS Cloudflare, penulis perasan hari3aku.com dapat diakses dengan lebih cepat.

Kalau mahukan lebih privasi dan keselamatan pula, terutamanya ketika menggunakan internet di tempat awam; tetapi tak mahu keluarkan duit untuk VPN berbayar, boleh pasangkan tetapan WARP.

Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan Cloudflare DNS dan WARP, boleh ke Cloudflare.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top