Hej, välkommen till IKEA! Antara Aku, Kau, Ingvar Kamprad, dan IKEA
Sejak penubuhannya pada Julai 1943 oleh Ingvar Kamprad, IKEA kini mempunyai lebih daripada 422 cawangan yang beroperasi di 50 buah negara. Kedai perabot dari Sweden ini juga telah lama bertapak di Malaysia, sejak 1996.
Dari permulaanya yang sederhana di pusat membeli-belah 1 Utama, sebelum berpindah ke bangunan yang lebih besar di Mutiara Damansara pada 2003; IKEA sudah pun membuka cawangan ke empatnya di Batu Kawan pada 2019.
Dua lagi cawangan IKEA ialah IKEA Cheras dan IKEA Tebrau, masing-masing mula beroperasi sejak 2015 dan 2017. Buat masa ni kesemua cawangan IKEA lebih tertumpu kepada bahagian barat semenanjung Malaysia.
Reka Bentuk IKEA
Walaupun produk IKEA dianggap murah, kurang berkualiti, dan mempunyai reka bentuk yang dianggap "mellanmjölk", tak ada personaliti dan sedikit hambar; oleh sebahagian rakyat Sweden, ia masih menjadi kedai perabot yang terkenal di Sweden.
Di Malaysia pula, IKEA bagaikan simbol kualiti dan kemodenan. Reka bentuk skandinavia yang lebih ringkas, kadang minimalis; dan lebih tertumpu kepada fungsinya kelihatan menarik pada mata rakyat Malaysia.
Bahkan, kalau digunakan dengan cara yang betul; perabot IKEA seperti kabinet dapur, rak stor, dan meja yang penulis sendiri pakai boleh bertahan lebih dari 10 tahun.
Apa Maknanya IKEA?
Nama-nama produk IKEA kelihatan agak pelik untuk orang Malaysia, cara sebutannya pun kita kurang pasti. Penulis sendiri pernah fikir yang nama perabot di IKEA dicipta secara rawak.
Tetapi sebenarnya nama-nama produk di IKEA, seperti RENBERGET, MARKUS, dan LAGKAPTEN; dipinjam daripada bahasa dan nama-nama tempat di Sweden. Kalau kita gunakan sistem yang sama, akan ada perabot bernama JERAI, KONFLIK, dan KETUA.
Idea untuk memberi nama kepada setiap produk, bukan sekadar no siri atau kod; bertujuan untuk memberikan identiti kepada setiap produk, menjadikannya lebih mudah untuk diingat terutamanya oleh penghidap disleksia seperti Kamprad sendiri.
Perkataan IKEA pula? Bukan dari bahasa Sweden, tetapi akronim kepada nama pengasasnya Ingvar Kamprad, dan ladang serta tempat beliau membesar di Elmtaryd dan Agunnaryd.
Ruang Pameran IKEA
Sebagai kanak-kanak, lawatan penulis ke kedai, atau lebih tepat lagi; gedung perabot berwarna biru kuning ni hanyalah untuk bermain, mengumpul pensil kayu dan makan cinnamon roll.
Semakin dewasa semakin mula menghargai susun atur dan reka bentuk produk yang dipersembahkan di ruang pameran. Terpegun, bagaimana ruang yang sempit boleh kelihatan dan rasa sangat selesa?
Di ruang pameran inilah tempatnya kita mencuci mata dan mencari idea serta inspirai hiasan dalaman untuk bilik tidur, dapur, dan ruang tamu yang lebih tersusun dan selesa.
Melihat susun atur, pilihan tema, kombinasi warna, dan fungsi setiap perabot atau hiasan di IKEA adalah percuma. Melainkan kita membuat keputusan untuk membeli.
Bukan tu je, setiap sofa, kerusi, meja, tilam yang ada di ruang pameran juga boleh diuji keselesaan, bahan, dan ketahanannya. Rugilah kalau datang ke IKEA tapi tak cuba duduk di atas sofa — walaupun tak berniat nak membeli
Itulah kelebihannya membeli-belah di IKEA berbanding di kebanyakan tempat lain, apatah lagi di internet yang dipenuhi janji kosong dan butiran produk yang kurang tepat.
Cara IKEA
Walaupun kebanyakan perhiasaan atau kelengkapan seperti lampu meja, bantal, kuali, dan pinggan sedia untuk diambil dari tempat ia diperagakan, kebanyakan perabot yang terdapat di ruang pameran hanya boleh diambil di bahagian gudang.
Untuk barangan yang perlu diambil di gudang, nombor artikel atau rujukan akan diletakkan pada tanda harga bersama dengan nombor rak dan seksyen sebagai rujukan pencarian di gudang nanti.
Contohnya, kerusi permainan HUVUDSPELARE mempunyai set rujukan seperti nombor artikel 505.226.67, rak 17, dan seksyen 3. Ingat ye, nombor rak dan seksyen akan berbeza mengikut cawangan.
Nombor rujukan yang sama boleh didapati daripada laman sesawang IKEA selepas kita memilih cawangan yang berkaitan. Jadi kita boleh terus ke bahagian gudang tanpa perlu melalui ruang pameran — lebih cepat.
Bagi meminimakan kos dan ruang, perabot dijual dalam keadaan tak terpasang. Jadi, apa yang kita dapat lihat di gudang cumalah kotak-kotak yang tersusun dan bertindan.
Dengan cara ni, kita boleh memuatkan lebih banyak perabot di atas troli dan juga bonet kereta. Kita juga, harapnya; akan lebih hargai perabot yang kita pasang sendiri.
Servis Pemasangan dan Penghantaran
Tak ada kemahiran memasang perabot? Ataupun kereta tak cukup besar untuk memuatkan kesemua perabot? IKEA juga ada menyediakan servis pemasangan dan penghantaran.
Kos pemasangan perabot bermula serendah 10% daripada harga perabot, penghantaran pula bermula daripada RM75 — berbeza mengikut zon atau jarak. Kedua-dua servis ini juga disediakan untuk pembelian secara dalam talian.
Restoran dan Bistro IKEA
Kalau perabot bagaikan jantung kepada IKEA, restoran dan bistro IKEA pula bagaikan buah pinggang, membuatkan setiap lawatan ke IKEA berbaloi — walaupun hanya untuk makan karipap dan hotdog.
Harga makanan bermula daripada RM1 untuk aiskrim kon sehingga RM40 untuk sepotong rusuk kambing. Ada banyak pilihan menu untuk kanak-kanak, penggemar manisan, dan penggemar makanan barat.
Boleh ke restoran untuk dapatkan pengalaman penuh makan di IKEA, sebab menu yang ada di bistro IKEA terhad kepada makanan yang lebih ringan seperti aiskrim, karipap, dan hotdog.
Boleh juga dapatkan sosej Vienna, bebola daging, dan pelbagai lagi bahan IKEA lain untuk dimasak sendiri di rumah dari Kedai Khas Makanan Sweden di IKEA.
Dari Pengalaman Manis Kepada Kesetiaan Jenama
Kita boleh lihat bagaimana syarikat memupuk kesetiaan jenama pada penggunanya bermula daripada mereka kecil. Kita boleh lihat apa yang dilakukan Milo dengan van Milonya dan McD dengan Happy Mealnya.
Sama seperti IKEA, keselesaan penulis bermain di ruang pameran, dan keseronokan penulis mengutip pensil kayu pada waktu kecil merupakan kenangan manis yang membuatkan penulis positif tentang IKEA.
Bayangkan kalau ada pekerja yang marah penulis waktu kutip pensil dulu, walaupun penulis akui tindakan penulis waktu tu kurang betul; mungkin penulis takkan tulis pun tentang IKEA sekarang.
Apa pula pendapat IKEA? Apa tindakan yang IKEA akan ambil kepada kaki kutip pensil sekarang? Dulu penulis ambil 10 ke 20 batang pensil yang mungkin tak sampai RM10 pun, tapi sekarang penulis beli kerusi berharga RM299 dari IKEA.
Mungkin ada sebab yang tak disangka kenapa IKEA masih sediakan kertas dan pensil yang banyak walaupun semua orang yang datang membeli di IKEA mampu menggunakan telefon pintar untuk merekod nombor rujukan pada tanda harga.
Post a Comment