Midjourney: Gambar-gambar Dalam Artikel ini Dihasilkan Oleh Kecerdasan Buatan, AI

Makan di bawah langit terang oleh Midjourney
Seni bukanlah konsep, kebolehan atau bakat yang ekskulif kepada manusia. Bahkan ilham kepada seni manusia selalunya diambil daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap alam yang sedia adanya juga merupakan satu seni.

Kesenian alam boleh dilihat pada susunan bintang, kecerunan warna langit ketika senja, tompokan pada seekor harimau bintang, corak pada seekor ular sawa, dan corak pada keratan membujur cengkerang seekor nautilus.

Haiwan dan serangga seperti burung, lebah, dan semut juga mempunyai sarang dengan seninya yang tersendiri. Dalam kata lain, haiwan dan serangga juga boleh melahirkan seni.

Kecerdasan Buatan, AI Sebagai Seniman

Kucing hitam dengan mata kuning oleh Midjourney
Gambar-gambar yang penulis naikkan dalam artikel kali ni, percaya ataupun tidak; bukanlah daripada manusia, tetapi bukan juga daripada haiwan. Ianya daripada mesin — menggunakan teknologi kecerdasan buatan ataupun AI.

Menarik dan cantik bukan? Seolah-olah dilukis atau dihasilkan oleh manusia, tetapi sebenarnya dihasilkan oleh mesin dalam masa yang singkat — paling cepat dalam 1 minit.

Penjana Imej AI

Pasangan sedang melihat langit oleh Midjourney
Untuk dapatkan gambar-gambar buatan mesin, atau lebih tepat lagi AI; kita boleh gunakan penjana imej AI atau program "text-to-image" seperti DALL-E 2, Midjourney, Nightcafe, DeepAI, dan Artbreeder.

Setiap penjana mempunyai gaya imej yang tersendiri bergantung pada algoritma yang digunakan. Gambar-gambar yang ada pada artikel ni hampir kesemuanya dihasilkan oleh Midjourney.

Cara Menggunakan Midjourney

Suasana waktu pagi oleh Midjourney
Cara menggunakan Midjourney sangat mudah, cuma perlu daftarkan diri menggunakan akaun Discord dan sertai server Discord Midjourney. Segala proses penghasilan imej boleh dilakukan melalui server tersebut.

Untuk mula hasilkan imej, boleh masuk ke dalam mana-mana saluran dengan nama "newbies-" pada bar sisi. Pada ruangan chat, masukkan perkataan "/imagine " diikuti dengan arahan atau penerangan tentang gambar yang hendak dihasilkan.

Contohnya, "/imagine malaysian food enjoyed by malaysian". Gambar akan dijana dalam 1 minit, dan kita akan diberikan 4 pilihan gambar dengan pilihan untuk menjana semula, menjana variasi, atau menaik skala kualiti dan resolusi gambar yang dipilih.

Parameter Lain Pada Arahan Midjourney

Bunga ros oleh Midjourney
Ada beberapa parameter yang boleh digunakan untuk mendapatkan imej atau gambar yang lebih spesifik. Contohnya dengan menulis --ar 3:2 pada arahan, Midjourney akan menjana imej dengan nisbah skala 3:2.

Untuk dapatkan gambar dengan saiz tertentu, boleh gunakan parameter --w <kelebaran> dan --h <ketinggian> — contoh: --w 1920 --h 1024. Kelebaran dan ketinggian yang diterima adalah antara 256 dan 2034.

Untuk panduan yang lebih terperinci berkenaan parameter dan cara penggunaan yang disokong Midjourney boleh lihat panduan pengguna yang disediakan di laman sesawang mereka.

Kelemahan Penjana Imej AI

Makanan Malaysia oleh Midjourney
Dari pemerhatian penulis, gaya imej yang dijana Midjourney kebanyakannya seperti lukisan minyak walaupun penulis letakkan penerangan seperti "photo" dan "realistic".

Adakalanya juga Midjourney kurang memahami penerangan, ataupun mungkin bahasa inggeris penulis yang lemah. Ada juga imej yang herot-benyot, menunjukkan wajah yang kurang sempurna sifatnya.

Tidak terhad kepada Midjourney, masalah yang sama juga boleh berlaku pada penjana imej AI lain yang penulis cuba seperti Nightcafe dan DeepAI.

Berapakah Harga Langganan Midjourney?

Lautan api di bawah cahaya bulan oleh Midjourney
Menjana imej menggunakan AI dengan keupayaan seperti Midjourney bukanlah percuma. Imej dijana menggunakan unit pemprosesan grafik atau GPU, ini menggunakan tenaga, jadi setiap minit adalah berharga.

Sebagai permulaan, setiap pengguna akan diberikan tempoh percubaan selama 25 minit-GPU (masa yang digunakan untuk menjana imej) — lebih kurang 25 kali penjanaan. Kemudian kita boleh melanggan dengan harga 10USD atau 30USD sebulan.

Untuk langganan "basic" 10USD, kita akan diberikan 200 minit-GPU. Untuk langganan "standard" 30USD pula, 600 minit-GPU untuk penjanaan pantas, dan penjanaan santai yang lebih perlahan boleh dilakukan tanpa had.

Boleh ke bahagian "billing and licensing" pada laman panduan Midjourney untuk maklumat lebih lanjut.

Beberapa Alternatif Percuma

Kucing atas awan oleh Nightcafe

Dijana oleh Nightcafe

Boleh juga cuba penjana imej AI yang disediakan secara percuma, dengan kekangan-kekangan tertentu; seperti DeepAI, Craiyon, Pixray, dan Nightcafe. Untuk pengguna Android dan iOS pula boleh cuba bermain dengan Dream by Wombo.

Cuma, penjana percuma ni kebanyakannya menghasilkan imej bersaiz kecil atau sederhana, dan kualiti hasil juga kurang memuaskan. Dream by Wombo contohnya, boleh menjana imej dengan tema dan warna yang cantik, namun penjanaan tidaklah seperti apa yang diarahkan.

Nightcafe, antara penjana percuma terbaik; pula memerlukan antara 1 ke 6 kredit untuk setiap penjanaan, bergantung pada saiz imej — 5 kredit percuma boleh ditebus pada setiap hari.

OpenAI DALL-E dan Google Imagen

Angkasawan menunggang kuda oleh DALL-E

Photo by DALL-E

Walaupun pada pendapat penulis Midjourney menghasilkan gambar yang terbaik antara kesemua penjana imej AI yang penulis cuba, ada dua lagi program, sistem atau model yang mempunyai keupayaan yang lebih tinggi.

Malangnya, untuk mencuba kedua-duanya, DALL-E 2 oleh OpenAI dan Imagen oleh Google; agak mustahil buat masa ni. Atas sebab-sebab tertentu, antaranya mengelakkan salah guna; DALL-E dan Imagen tidak terbuka kepada umum.

Sementara menunggu ianya dibuka kepada umum, boleh baca kertas kajian dan lihat demonstrasi keupayaan penjana imej AI kedua-duanya pada laman sesawang masing-masing.

Seni Dari Kacamata Kecerdasan Buatan

Keupayaan kecerdesan buatan, AI sangat bergantung kepada pereka atau pembangunnya. Ia belajar dan berfikir sepertimana ia direka, menjadikan model dan algoritma antara kekangan kepada keupayaan AI.

Sebab itulah penambahbaikan kepada model dan algoritma sering dilakukan, menjadikan AI lebih faham bukan sahaja apa yang perlu dihasilkan, tetapi juga bagaimana ia perlu dihasilkan.

AI boleh menghasilkan lukisan atau grafik dengan jauh lebih pantas, tetapi manusia menghasilkan lukisaan dengan lebih pemahaman dan penilaian. Lagipun, AI juga belajar dan bergantung kepada teknik dan gaya lukisan dan grafik manusia.

AI Bakal Menakluki Dunia?

Sarapan terakhir di bumi oleh Midjourney
Disebabkan bekerja dengan AI lebih kepada "trial and error" buat masa ni, seniman-seniman dan pereka-pereka grafik boleh tarik nafas lega. Cuma persoalannya, sampai bila?

Sekurang-kurangnya kita tahu masih lambat lagi sebelum kecerdasan buatan boleh menakluk dunia. Daripada sebaris kod, kini menjadi seniman, penulis tak rasa penulis sempat melihat AI menjadi pemimpin, hakim atau penggubal undang-undang.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top