Nasi Kandar Che Pol: Nasi Kandar dan Bukhari Terbaik Sekitar Stadium Kajang (CLOSED)

Sedap, sedap, dan sedap! Inilah yang boleh diungkapkan tentang sepinggan nasi kandar yang penulis makan di Kajang baru-baru ni. Baru je dibuka tak sampai seminggu penulis dah terjah.

Tak sah kalau tak bercakap tentang sate apabila di Kajang, tapi jarang-jarang kita dengar tentang nasi kandar. Apa kata kita tukar selera sikit, dan pergi ke Kajang untuk makan nasi kandar.

Nasi Kandar Che Pol

Terletak dalam 300 meter dari Stesen MRT Stadium Kajang dan hanya beberapa langkah dari Maybank Kajang, restoran Nasi Kandar Che Pol menyediakan nasi kandar asli Pulau Pinang.

Antara menu istimewa di Nasi Kandar Che Pol ialah nasi bukhari, ayam masak ros, lamb shank, kari kepala ikan, dan tak lain tak bukan ayam bawang kegemaran penulis.


Alamat: 25, Jalan Tukang, Bandar Kajang, 43000 Kajang, Selangor.
Waktu: Selasa - Ahad (11:00AM - 4:30PM).

Restoran dibuka pada setiap hari kecuali Isnin, rujuk masa di atas. Cuma buat masa ni, pilihan lauk masih terhad sebab restoran masih baru dibuka. Mereka pilih untuk utamakan kualiti berbanding kuantiti terlebih dahulu.

Namun tak menjadi masalah, sebab lauk pauk utama nasi kandar seperti ayam goreng, ayam bawang, ayam masak ros, daging kicap, kubis dan bendi ada di sini.

Penulis ambil kesempatan kali pertama ke Nasi Kandar Che Pol untuk cuba kedua-dua nasi kandar dan nasi bukhari, walaupun tujuan utama ke sini hanyalah untuk cuba nasi kandar.

Nasi Kandar Ayam Bawang

Bukan selalu dapat makan nasi kandar dengan ayam bawang luar dari Pulau Pinang. Di Nasi Kandar Saddam baru ni penulis tak dapat makan ayam bawang, mujurlah di Nasi Kandar Che Pol ada ayam bawang.

Ayam bawang di sini dipotong empat bahagian, boleh dimakan untuk dua orang. Yang paling best, bawangnya banyak betul. Tengoklah gambar, sampaikan tak nampak rupa ayam dah.

Kalau tak ada ayam bawang, boleh cuba ayam goreng. Nampak macam ayam gorengnya pun penuh dengan bawang juga, mesti sedap.

Nasi Bukhari

Penulis tak tahu apa bezanya antara nasi bukhari dan nasi briyani, mungkin warnanya lebih oren atau lebih banyak menggunakan tomato. Tapi rasanya sedap dan tak terlalu kering.

Untuk nasi bukhari, lebih sesuai digandingkan dengan gulai contohnya daging kicap atau ayam ros. Sepinggan nasi bukhari juga disediakan dengan sebiji telur rebus.

Harga Lauk

Untuk sebuah restoran yang terletak berhampiran MRT Stadium Kajang, harganya masih berpatutan. Boleh tengok senarai harga dibawah:

Menu Harga
Nasi Bukhari RM7
Ayam Ros RM6
Ayam Goreng 1/4 RM12
Ayam Bawang 1/4 RM12
Daging Kicap RM4
Kari Kepala Ikan Merah RM40 - RM60
Lamb Shank RM40 - RM45
Kubis RM2

Ada beberapa menu yang penulis tak ingat harganya. Kalau nak jimat, boleh datang dengan kawan dan makan secara hidang lauk seperti ayam bawang, kari kepala ikan dan lamb shank.

Gulai Likat, Berkualiti

Kalau makan nasi kandar kuah tak boleh ceroi. Kuah gulai di Nasi Kandar Che Pol memang likat, rasa rempahnya pun kuat. Percayalah, tangan masih berbau rempah walaupun lepas dibasuh — kena basuh lama sikit.

Kalau nak campur kuah atau kuah lebih boleh cuba minta dengan tukang letak lauk. Penulis cuma minta kuah campur dengan nasi, jadi yang dalam gambar tadilah yang penulis dapat.

Terkejut penulis tengok saiz kari kepala ikan di sini, besar betul sesuailah dengan harganya. Berapa kilolah agaknya berat satu kepala ikan merah tu.

Tak muat kalau nak hidang kepala ikan dalam piring, jadi di Nasi Kandar Che Pol mereka hidang kari kepala ikan menggunakan clay pot.

Pakat-pakat Mai

Sesiapa yang bekerja berhampiran Stadium Kajang, sangat-sangatlah dialukan untuk cuba makan di Nasi Kandar Che Pol. Yang naik MRT boleh singgah sekejap di stesen Stadium Kajang untuk makan tengah hari di sini.

p.s. Baru lepas cuba makan lamb shank yang penulis bungkus dari Nasi Kandar Che Pol. Must try! Lembut dan berempah.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top