Survivorship Bias dan Bias Kemandirian: Betul ke Pencapaian Akademik Tak Penting? Cukup Sekadar SPM, Asalkan Pandai Buat Kerja Mesti Akan Berjaya?

Photo by jcomp via Freepik

Sana sini kisah orang menang dijadikan contoh, sikit sekali kisah orang kalah dijadikan peringatan. Siapa tak suka dengar cerita orang berjaya, bersyarikat sendiri, punya harta yang lima generasi pun tak habis makan?

Tambah pula ceritanya mempunyai kontra antara susah dan senang, bagaimana daripada satu kekurangan menjadi satu kelebihan, bagaimana seorang dropout universiti boleh menjadi seorang CEO atau pengasas sebuah syarikat besar.

Mark Zuckerberg, Steve Jobs dan Bill Gates sering dijadikan contoh bagaimana seorang dropout yang tidak menghabiskan pembelajaran mereka di universiti masih boleh berjaya dan berpengaruh.

Tak Perlu Belajar Tinggi?

Jadi kiranya pelajaran tak pentinglah kan? CGPA, status dekan dan pencapaian-pencapaian akademik lain juga kiranya tak pentinglah kan? Tak perlu sambung belajar, cukup sekadar SPM. Yang penting ada minat kan?

Bawa-bawa berhentilah beri nasihat atau pendapat yang merendah-rendahkan kepentingan pencapaian akademik hanya sebab ada orang-orang berjaya yang cuma berpendidikan SPM.

Hakikatnya ramai lagi orang berjaya yang mempunyai pencapaian akademik yang sangat baik. Tetapi cerita mereka jarang kedengaran, sebab kita memang jangkakan mereka untuk berjaya dengan pencapaian yang mereka ada.

Kisah seorang pelajar dekan yang berjaya, biasa-biasa sahaja. Seorang dropout yang berjaya, luar biasa dan diluar jangkaan. Jadi kisah kedua ni lah yang kita akan selalu dengar.

Masalahnya, kisah-kisah sebegini akan mempengaruhi kewarasan kita dalam menilai keadaan. Kisah dropout yang berjaya sering dikongsikan, bagaimana dengan dropout yang gagal?

Betul, seseorang yang hanya berpendidikan SPM masih boleh berjaya, mempunyai syarikat, dan mengambil pekerja yang mempunyai taraf pendidikan lebih tinggi. Tetapi kita perlu ingat, daripada 10 orang yang berniaga, cuma segelintir kecil sahaja yang berjaya.

Yang berjaya itu pun, sebahagian besarnya akan gagal terlebih dahulu bukan sekali dua tetapi banyak kali. Hakikatnya, sangatlah tidak berbaloi mengetepikan pendidikan untuk satu kepercayaan yang sebegitu karut.

Survivorship Bias

Inilah yang kita panggil sebagai survivorship bias, bias kemandirian atau bias kebertahanan. Ia merupakan satu ralat pemikiran atau logik dalam memahami sesebuah keadaan.

Ralat ini terjadi apabila kita menganggap satu dua kejayaan yang sering kita dengar, selalunya tentang orang-orang berpengaruh; memberi gambaran penuh terhadap kejayaan-kejayaan yang lain.

Perang Dunia Ke-2

Ketika perang dunia kedua, Abraham Wald, seorang ahli statistik telah ditugaskan untuk memberi cadangan penambahbaikan dalam melindungi kapal terbang yang dihantar berperang daripada kerosakan.

Biasanya, kita akan lihat keadaan setiap kapal terbang yang pulang daripada peperangan, dan mencadangkan penambahbaikan kepada bahagian kapal terbang yang kita lihat paling banyak kerosakan.

Tetapi bukan Abraham Wald, beliau mencadangkan untuk menambahbaik bahagian yang kurang kerosakan. Alasannya, kemungkinannya sangat besar untuk sebuah kapal terbang tidak terselamat daripada peperangan kerana tembakan di bahagian tersebut.

Keputusan tersebut memang betul, kita tak boleh membuat keputusan hanya dengan melihat kapal terbang yang terselamat daripada peperangan. Kita perlu juga fikirkan tentang kapal terbang yang tidak selamat.

Kes Positif Covid-19

Sama juga kesnya dengan kes positif Covid-19 pada awal pandemik dahulu. Rekod kes positif Covid-19 dan bilangan kematian akibat Covid-19 tak memberi gambaran penuh terhadap penularan kes Covid-19.

Bilangan kes positif bergantung pada bilangan ujian Covid-19 yang dilakukan. Lebih banyak ujian dilakukan, lebih banyak kes positif boleh direkodkan. Kurang ujian, kurang jugalah rekod kes yang positif.

Mungkin lebih baik kalau kita cuba lihat kadar positif dan kadar kematian. Lihat berapa ramai yang positif daripada setiap 100 orang yang membuat ujian Covid-19, dan lihat berapa yang mati daripada setiap 100 orang yang positif.

Ini pun belum tentu dapat memberikan gambaran penuh, berapa ramai lagi yang positif atau negatif tetapi tak direkodkan? Sebab itulah kita perlukan kriteria lain untuk mengukur tahap penularan Covid-19, contohnya kadar penggunaan ICU.

Modal Insan Berjati Diri

Lain kali dengar kisah dari "zero" ke "hero", jangan jadikan alasan rasa selesa atau menggalakkan orang rasa selesa menjadi "zero". Manusia sentiasa perlu, bergantung pada keupayaan; untuk mencabar diri sendiri jadi lebih baik.

Kalau dah ada peluang dan kemampuan untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi, lakukanlah yang terbaik. Tak menjadi kesalahan pun mengejar pencapaian yang tinggi di kolej atau universiti.

Dari situlah kita belajar untuk bekerja keras, berdisiplin, berkorban, berfikiran kritis dan kreatif, mengurus masa dan tugasan, berkomunikasi dan menghadapi tekanan.

Adakah mahasiswa kita kurang berkualiti hanya sebab gagal mendapatkan pekerjaan? Tak semestinya, kualiti seorang mahasiswa tak boleh dinilai hanya dengan satu dua temuduga.

Jadi selepas ni kalau kita dengar apa-apa cerita, cubalah pandang dari sudut yang berbeza. Seorang dropout pun masih boleh berjaya, tetapi adakah mereka berjaya sebab mereka seorang dropout?

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top