Mandi di Kolam Renang Peribadi dan Bertapa dalam Bilik Sauna di Lexis Suites Penang

Siapa tak suka bercuti? Semua suka bercuti, cuma kadang-kadang kita tak tahu nak bercuti di mana sebab setiap negeri mempunyai banyak tarikannya yang tersendiri.

Tambah pula poket tengah tebal, nak juga merasa bermalam di tempat yang gah. Mungkin hotel 5-bintang dengan pemandangan laut, mungkin juga sebuah bilik dengan kolam renang peribadi.

Lexis Suites Penang

Di Lexis Suites Penang, korang boleh dapatkan kedua-duanya — pemandangan laut dan kolam renang. Bayangkan sebuah kolam renang di tingkat 12 dengan pemandangan laut.

Di sini ada dua jenis bilik, executive dan premium. Kedua-duanya ada kolam renang, cuma bezanya bilik premium akan dapat sepenuhnya pemandangan laut, bilik executive pula cuma dapat tengok sebahagian daripada laut.

Harga bilik adalah antara RM400 ke RM700, dan harga bilik premium tentulah lebih mahal. Selain daripada sepenuhnya menghadap laut, bilik premium juga lebih luas berbanding bilik executive — 968 berbanding 875 kaki persegi.

Antara perbezaan yang paling ketara antara bilik premium dan executive selain daripada pemandangan ialah kedudukan bilik air. Bilik air untuk bilik premium lebih tersorok dan luas.

Kedalaman Kolam Renang

Kedalaman kolam peribadi yang disediakan di setiap bilik ialah 1.2 meter, agak dalam juga untuk kanak-kanak berusia darjah 3 ke bawah. Boleh sediakan pelampung sebelum datang.

Terlupa pelampung? Boleh cuba cari di kedai berhampiran lobby. Di kedai yang sama juga ada jual, cenderamata, snek dan air.

Bilik Sauna

Selain daripada kolam renang, di balkoni yang sama juga ada bilik sauna. Ini kali kedua penulis gunakan bilik sauna di hotel, cuma kali ni tak perlu berkongsi dengan orang lain.

Lebih privasi, takdelah segan sangat nak duduk dalam bilik sauna tu. Boleh tetapkan suhu dan masa yang kita nak, kemudian berikan sedikit masa untuk bilik dipenuhi wap. Memang tenang duduk dalam bilik ni.

Kemudahan Bilik

Kedua-dua jenis bilik dilengkapi televisyen bersaiz 50 inci dan dua katil bersaiz king, muat untuk 4 orang dewasa. Bolehlah tengok televisyen dengan jelas walaupun baring atas katil.

Sebuah meja dan kerusi juga disediakan untuk sesiapa yang perlu lakukan tugasan kerja atau belajar. WiFi yang disediakan pun cukup laju, boleh tengok video tanpa tersekat-sekat.

Bilik mandi dan tandas disediakan secara berasingan bersama dengan kelengkapan mandi. Di bahagian balkoni pula disediakan tempat untuk melepak, bolehlah melepak sambil menikmati teh dan kopi yang diberikan secara percuma.

Tengoklah berapa jenis teh disediakan, kalau tak habis pastikan bawak balik semua teh dan kopi yang ada. Rugi pulak kalau tak guna lepas tu tinggal macam tu je. Kelengkapan mandi pun bawak balik juga.

Fasiliti di Lexis Suites Penang

Selain daripada kolam renang peribadi, di sini juga ada kolam renang yang lebih besar untuk digunakan setiap pengunjung Lexis Suites Penang. Lebih sesuai digunakan untuk senaman renang.

Antara fasiliti lain yang ada di sini ialah spa (LexSpa), bilik karaoke (Starz Karaoke), tempat mainan kanak-kanak (Kidz World), gym (O2 Gym), dan bilik permainan.

Malangnya, disebabkan pandemik Covid 19 fasiliti-fasiliti yang penulis senaraikan tadi semuanya ditutup.

Empat Buah Restoran

Di sini juga ada empat buah restoran: Roselle Coffee House, UMI Japanese Restaurant, Satellite Restaurant & Bar, dan Sky Terrace. Boleh juga pesan makanan secara dalam talian untuk dihantar ke bilik.

Disebabkan bilik penulis tak disekalikan dengan sarapan, penulis tak dapat nak merasa dan komen tentang makanan di Lexis Suites Penang. Agak-agak boleh lawan hotel Equatorial Penang tak?

Penulis tak pasti tentang status halal makanan di setiap restoran. Kalau was-was, boleh cuba nasi kandar di restoran Nathrah atau Taat Cafe, atau makan ikan bakar di Sri Anjung Ikan Bakar.

Berbaloi ke Harga untuk Sebuah Kolam Peribadi?

Harga sebuah bilik boleh mencecah sehingga RM700, tipulah kalau penulis kata tak mahal walaupun boleh dapatkan harga dalam RM500. Cuma kita bukannya duduk di sini setiap hari.

Lagipun ramai yang segan nak mandi di kolam yang bercampur antara lelaki dan perempuan. Dengan kolam peribadi, korang tak perlu risau tentang tatacara pemakaian dan waktu operasi sebab kolam boleh digunakan untuk 24 jam hanya oleh kita.

Ada yang datang untuk dapatkan pengalaman sekali dalam seumur hidup. Jadi tak mengapalah keluarkan RM400 ke RM700 sebagai habuan ke diri kita. Kali ni je, lain kali kita pergi mandi laut di chalet sekitar Teluk Senangin, Perak pula.


Bagi penulis memang berbaloi lebih-lebih lagi kalau datang sekeluarga. Pastikan kita guna setiap fasiliti yang ada, kolam renang dan bilik sauna yang paling utama.

Ada perancangan untuk bercuti di Pulau Pinang? Jangan lupa masukkan Lexis Suites Penang ke dalam senarai tempat percutian korang. Layari laman sesawang Lexis Suites Penang untuk maklumat lanjut dan tempahan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top