Kampung Agong, Pulau Pinang: Bergambar Dengan Prop dan Minum Air Kelapa

Masa tak boleh diundur, tetapi boleh dibekukan melalui gambar. Gambar bagaikan portal yang membawa kita ke masa silam, banyak sejarah yang boleh dipelajari melalui sebuah gambar.

Fotografi merupakan hobi yang mahal suatu masa dahulu, sehinggalah kewujudan telefon berkamera dan seterusnya telefon pintar. Tambah pula dengan adanya media sosial seperti Facebook dan Instagram, gambar ada di mana-mana.

Kampung Agong, Pulau Pinang

Kalau korang jenis yang teliti tentang tempat di mana korang bergambar, mungkin korang perlu pergi ke Kampung Agong di Penaga, cuma 30 kilometer ke utara dari pekan Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Dipromosikan sebagai taman tema agro, pemandangan di Kampung Agong yang berlatar belakangkan pokok kelapa dan sawah padi dapat memberi ketenangan kepada pengunjung yang datang dari pelbagai negeri.

Bayaran Masuk ke Kampung Agong

Harga tiket untuk masuk ke Kampung Agong bagi dewasa dan kanak-kanak masing-masing ialah RM10 dan RM5 untuk warganegara. Untuk bukan warganegara pula RM18 untuk dewasa, RM12 untuk kanak-kanak.

Bayi 3 tahun dan kebawah boleh masuk secara percuma. Untuk golongan OKU, harga tiket dewasa ialah RM6, kanak-kanak pula RM3.

Sekali bayar, boleh duduk seberapa lama yang kita nak sampailah tutup. Untuk parkir pula, kalau tak silap penulis dikenakan RM2 untuk setiap kenderaan.

Tarikan di Kampung Agong

Selain daripada pokok kelapa dan sawah padi, di Kampung Agong juga terdapat banyak prop yang menarik contohnya seperti buaian, sarang burung, haiwan yang dibentuk dengan jerami, dan orang-orangan.

Taman bunga ada, bunga yang disusun membentuk hati dengan latar belakang pokok buluh pun ada. Memang cantik kalau nak ambil gambar OOTD.

Aktiviti di Kampung Agong

Kampung Agong bukan sahaja tempat untuk kita bergambar, pengunjung juga boleh berbasikal dan berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Dengan RM5, kita boleh sewa sebuah pondok untuk kita berkelah.

Nak adakan sukaneka atau hari keluarga pun boleh di sini. Apa-apa program yang memerlukan ruang seperti team building dan kem motivasi, semuanya boleh diadakan di sini.

Nak bermalam di sini pun boleh. Pilih sama ada hendak berkhemah ataupun sewa je homestay di Kampung Agong. Tapak perkhemahan boleh disewa pada harga RM30 (+ khemah RM50), setiap dewasa juga akan dicaj sebanyak RM20, manakala kanak-kanak pula RM15.

Contohnya kalau kita terdiri daripada dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak, kita akan dicaj sebanyak RM85. Kaki-kaki camping dan glamping tak boleh lepaskan peluang ni.

Untuk homestay pula, ada empat buah homestay yang boleh memuatkan antara 3 ke 4 orang yang berharga antara RM258 ke RM388 termasuk sarapan. Kalau duduk lebih daripada 3 atau 4 orang, yang selebihnya akan dicaj sebanyak RM20 (dewasa) atau RM15 (kanak-kanak).

Makanan di Kampung Agong

Kalau lapar atau dahaga, di sini juga ada sediakan tempat menjual makanan dan minuman seperti jagung cawan, roti bakar dan air kelapa. Secawan jagung cuma RM3, dan sebiji kelapa pula RM5.

Nak lebih fancy, boleh pesan air kelapa dengan madu dan lemon yang berharga RM7. Minuman yogurt pun ada untuk harga RM7, boleh pilih antara perisa asli, blueberry, mangga, markisa dan strawberi.

Air-air lain seperti milo, teh, kopi dan nescafe cuma RM2 untuk panas dan RM2.50 untuk sejuk. Harga mungkin akan berubah waktu korang datang nanti.

Siapa Yang Perlu ke Sini?

Kampong Agong memang luas, dan tempatnya dibahagikan kepada tiga taman dengan tarikan berbeza. Tetapi kawasannya landai dan tidak berbukit, jadi berjalan di sini kurang memenatkan, orang tua pun boleh datang ke sini.

Penulis memang syorkan untuk datang ke Kampung Agong lebih-lebih lagi kepada peniaga pakaian, instagrammer, pempengaruh atau influencer, jurugambar kahwin, dan pencipta kandungan (content creator).

Jurugambar atau sesiapa yang baru sahaja jadikan fotografi sebagai hobi, bolehlah datang ke sini untuk melatih bakat fotografi masing-masing.


Kalau nak datang ke sini boleh ke Kampung Bakar Kapor, Penaga, Pulau Pinang. Dibuka setiap hari bermula 9 pagi sehingga 6 petang. Untuk maklumat lanjut berkenaan tempahan dan sebagainya, boleh ke laman sesawang atau laman Facebook Kampung Agong.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top