Bagaimana Undang-undang Jalan Raya Dieksploit Golongan Kaya, Menghukum Hanya Yang Miskin
Highway photo by wirestock via Freepik
Dalam perjalan ke Melaka baru-baru ni, penulis terserempak dengan konvoi GTR. Bukan sahaja Nissan GTR, dalam konvoi yang sama juga ada kereta jenama mewah lain seperti Lamborghini dan Porsche.
Penulis tak pasti samada konvoi GTR yang penulis nampak di Lebuhraya PLUS dalam perjalanan ke Melaka pada hari Jumaat 18 Mac sekitar jam 1430 ke 1600 sama dengan konvoi GTR yang viral baru ni.
Dengar cerita, konvoi GTR yang viral tadi telah menahan lalu lintas dengan alasan sebuah kenderaan mewah yang terlibat dengan konvoi tersebut telah dilanggar oleh sebuah Ford Ranger.
Sejauh mana kebenarannya bahawa pemandu Ford Ranger tersebut memandu dibawah pengaruh alkohol, kita tunggu berita daripada polis. Dari pemerhatian penulis nampaknya seperti sengaja.
Pengalaman Terserempak Konvoi GTR
Sebagai orang yang terserempak dengan salah satu konvoi GTR, penulis nak kongsikan sedikit pengalaman penulis. Ada beberapa kesalahan yang penulis nampak pada konvoi tersebut.
Pertama, memandu melebihi hadlaju kebangsaan 110 km/j, kedua memotong disebelah kiri, ketiga memandu secara merbahaya, dan keempat memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan secara sengaja.
Jangan kata konvoi GTR je, kebanyakan konvoi atau kumpulan kereta mewah melakukan kesalahan yang sama kecuali nombor empat. Pernah terserempak dua biji Ford Mustang berlumba dalam perjalanan ke Selangor.
Pengeksploitasian Undang-undang oleh Golongan Kaya
Kalau undang-undang jalan raya, dan hukuman kesalahan ditetapkan untuk mengurangkan salah laku dan kemalangan, kenapa masih ada spesies-spesies yang disebutkan tadi?
Apa yang menjadi asas kepada jenis hukuman yang ditetapkan kepada pemandu? Apa tujuannya RM300 yang ditetapkan sebagai denda bagi kesalahan-kesalahan yang penulis sebutkan tadi?
Sudah tentulah asasnya adalah pencegahan, RM300 yang dikenakan tadi sepatutnya menjadi sesuatu yang dapat mengurangkan keinginan untuk melakukan kesalahan.
Tetapi bagaimana kalau denda yang dikenakan tidak mencapai objektif tersebut? Bagi penulis, RM300 sebagai harga untuk golongan kaya berhibur dan berseronok di atas jalan raya adalah sangat murah.
Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kadar sewa yang dikenakan untuk menyewa sebuah trek lumba. Di litar Sepang contohnya, harga sewa bermula serendah RM33,000 untuk keseluruhan trek.
Nilai Denda Bersifat Relatif
Bagi mereka yang bergaji RM1500, RM300 ialah 20% daripada pendapatan bulanan. Bagi mereka yang bergaji RM15,000 pula, hanyalah 2%. Berapa pula pendapatan pemilik kereta sport?
Katakanlah harga kereta Nissan GTR terpakai ialah RM250,000, penulis anggarkan pendapatan mereka adalah sekurang-kurangnya RM50,000 sebulan. Harapnya bukan kereta pinjamlah.
Jadi, adakah denda RM300 masih relevan?
Sistem Saman Yang Lebih Berkesan
Jadi kalau saman yang dikenakan sekarang kurang relevan, apa penyelesaiannya? Penulis rasa, saman boleh dikenakan mengikut pendapatan, ataupun jenis kereta yang digunakan sewaktu melakukan kesalahan.
Jadi, tidaklah undang-undang kita hanya menghukum orang yang susah, malah orang kaya juga. Kenapa insurans berbeza mengikut kenderaan, tetapi saman tidak boleh dikenakan secara berbeza?
Cabaran Pelaksanaan
Cadangan tadi nampak logik dan jelas, tetapi kenapa tidak dilaksanakan? Pertama, pesalah mungkin tidak jujur dalam mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN, terutamanya mereka yang bekerja sendiri.
Kedua, kereta yang digunakan mungkin kereta pinjam. Jadi apabila saman dikenakan berdasarkan jenis kereta, mungkin saman yang dikenakan agak tinggi berbanding pendapatan.
Ketiga, pelaksanaan ini kurang popular. Untuk kerajaan atau ahli politik, ini bermakna kehilangan peratusan undi dari golongan kaya atau korporat.
Penyelesaian Cabaran
Saman boleh dikenakan mengikut kemampuan. Pertama saman boleh dikenakan mengikut jenis kenderaan, kemudian pesalah boleh membuat rayuan dengan mengemukakan pengistyiharan pendapatan yang disahkan LHDN.
Mungkin saman boleh dijelaskan secara ansuran sepanjang tempoh tertentu. Ini boleh mengurangkan beban pesalah dalam membayar saman, dan bebanan ini akan bertambah apabila kesalahan diulang.
Saman juga tidak semestinya berbentuk wang ringgit sepenuhnya, tetapi boleh juga berbentuk gabungan antara wang tunai dan khidmat komuniti — lebih baik jika berkaitan keselamatan jalan raya.
On tak On
Macam mana pendapat masing-masing, adakah masih relevan saman pukul rata RM300 kepada setiap pasalah? Apa lagi cabaran kepada penambahbaikan sistem saman? Bolehlah kongsikan pendapat korang dengan penulis.
Post a Comment