Shell Out dan Ikan Bakar di Merong Lagenda Ikan Bakar & Shellout: Ikan Siakap Bakar Untuk Marhaen
Beberapa minggu yang lepas penulis ada kongsikan tentang shell out di Port Seafood, Penaga. Kalau rasa penaga agak jauh, mungkin korang boleh ke satu lagi restoran shell out di kawasan Perai.
Berbanding Port Seafood yang terletak agak jauh dari kawasan bandar, restoran yang penulis kongsikan kali ni berada lebih hampir dengan pekan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Merong Lagenda Ikan Bakar dan Shell Out
Nama Merong diambil daripada nama Merong Mahawangsa yang mengikut hikayatnya merupakan pengasas kepada Langkasuka, sebuah kerajaan di mana terdirinya Kataha atau Kedah Tua.
Merong Lagenda Ikan Bakar dan Shellout bertempat di Taman Pauh Jaya, Perai, Pulau Pinang. Restoran ni terletak di kawasan yang berseberangan dengan Mydin Bukit Mertajam. Berdekatan dengan Streeto Pizza dan Hameediyah.
Kemaskini: Restoran Merong Lagenda Ikan Bakar dah berpindah ke Persiaran Tenggiri, berhampiran tapak baru Pasar Awam Seberang Jaya.
Set Shell Out dan Ikan Bakar
Datang ke restoran dengan perkataan "shell out" dan "ikan bakar" pada namanya, mestilah nak cuba kedua-duanya kan? Di Merong kita boleh dapatkan set shell out bersama ikan bakar pada harga RM76.60.
Untuk set ikan siakap bakar dan shell out, kita akan dapat ikan seberat antara 500 ke 600 gram, shell out, ulam-ulaman, air asam, dan 3 nasi putih. 3 cawan air diberikan secara percuma, boleh refill.
Untuk menu shell out, kita akan dapat ketam, udang, lala, kerang, kupang, sotong, dan jagung. Kita juga boleh pilih daripada tiga jenis kuah, dried chili, original, atau lemon butter.
Untuk yang pedas, boleh cuba dried chili. Untuk yang tak pedas, mungkin untuk kanak-kanak boleh cuba lemon butter. Untuk penulis, penulis suka yang biasa-biasa je, jadi penulis cuba original.
Menu Merong Lagenda Ikan Bakar dan Shellout
Boleh juga beli set shell out dengan 2 nasi putih je pada harga RM47.70. Ataupun ikan bakar secara ala carte (dengan ulam-ulaman dan air asam) pada harga RM29.90. Boleh tengok set dan harga di bawah:
Set | Harga |
---|---|
Set Ikan Bakar Shellout
|
76.60 |
Set Jebat Ikan Bakar
|
67.70 |
Set Tuah Ikan Bakar
|
49.90 |
Set Shell Out
|
47.70 |
Ikan Bakar ala carte | 29.90 |
Kalau tak beli set yang ada tomyam, korang boleh pesan add-on tomyam seafood, kailan ikan masin, dan telur dadar masing-masing pada harga RM23.90, RM6.00 dan RM2.00.
Untuk ikan bakar juga sebenarnya boleh gantikan ikan siakap dengan jenahak, cuma penulis tak pasti berapa harga yang perlu ditambah.
Sambal Ikan Bakar dan Kuah Shell Out Yang Sedap
Kuah original shell out pekat dan sedap, cuma bagi penulis kalau boleh lebihkan lagi kuahnya memang best. Sebab kalau tak cukup kuah, agak kering bila makan dengan nasi.
Bagi penulis, tomyamnya sedap, ikan bakar pun sedap. Sambal ikan bakarnya ditaburi kacang botol, tetapi boleh gantikan kacang botol dengan petai — cuma perlu tambah RM5.
Cukup Untuk Tiga Orang
Set-set yang penulis beritahu tadi boleh dimakan antara dua ke tiga orang. Kalau lebih daripada tu mungkin tak cukup, sebab portion shell out untuk tiga orang memang cukup-cukup je.
Yang tak cukup cuma jagung je. Pelik macam mana set shell out untuk tiga orang cuma ada sepotong jagung, sepatutnya kena ada tiga. Tak pasal-pasal orang berebut jagung nanti.
Komen Penulis
Dari segi rasa memang sedap, cuma dari segi portion shell out mungkin boleh lebihkan sikit. Sebab di tempat lain penulis pernah nampak portion yang lebih banyak untuk harga yang lebih murah.
Dari segi pengurusan dan cara penghidangan pula, masih boleh ditambah baik. Koordinasi antara staf penting dalam mengendalikan jumlah pesanan yang banyak. Jangan sampai pelanggan pesan 4 ekor ikan, yang sampai cuma 3.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan Merong Lagenda Ikan Bakar dan Shellout boleh ke laman facebook Merong.
Post a Comment