Pertama Kali Makan Salmon Fillet dan Fish n Chip di IKEA Batu Kawan. Sedap ke Hot Dog Arang IKEA?
IKEA bukan sahaja tempat untuk mencari idea perhiasan dalaman, ataupun membeli perabot baharu. Tetapi, IKEA juga boleh dianggap seperti sebuah restoran besar yang menjual perabot.
Penulislah salah seorang yang menganggap IKEA seperti sebuah restoran sebab kedatangan penulis ke IKEA selalunya disebabkan oleh makanan yang dijual di sana.
Ini kali pertama penulis ke IKEA Batu Kawan, selama ni penulis cuma pernah ke IKEA Damansara. Parkir di IKEA Batu Kawan jauh lebih luas berbanding di IKEA Damansara, namun ruang bilik pameran di sini lebih sempit.
Di IKEA Batu Kawan restorannya memang luas, penulis yakin ruang makan di sini lebih luas berbanding di Damansara. Sewaktu penulis ke sini baru ni, nampak macam lebih ramai orang berada di restoran berbanding di bilik pameran.
Tak pelik pun kalau orang datang ke IKEA hanya untuk makan, sebab makanan di sini nampak berkualiti dan rasanya sedap. Jadi apa yang penulis makan di IKEA Kali ni?
IKEA Swedish Meatball
Tak sah kalau datang ke IKEA tetapi tak makan meatball kan? Lagipun inilah antara makanan terawal yang membuatkan IKEA terkenal di kalangan foodies atau penggemar makanan di Malaysia.
Dijual dengan pilihan 8, 12, atau 20 biji. Seperti biasa, meatball IKEA dihidang bersama brokoli, kentang putar, jem lingonberry (atau strawberi), dan sos krim.
Fish n Chip
Menu yang penulis tak pernah makan di IKEA sebelum ni, Fish n Chip. Penulis tak pasti ikan apa yang digunakan tetapi isinya tidak berlendir atau lembik seperti ikan dory yang penulis biasa makan.
Penulis memang tak tahu ikan jenis apa yang IKEA guna, yang penting rasanya sedap. Lebih-lebih lagi kalau dimakan bersama dengan sos tartar.
Salmon Fillet
Salmon fillet di IKEA tak hanyir, isinya juga masih "flaky" atau berkeping. Ikannya dilimpahi sos yang warnanya seakan-akan sos tartar, tetapi rasanya lebih "lemony" atau kelemonan — sos hollandaise?.
Bersama filet salmon juga diberikan sedikit sayur seperti lobak, dan dua keping gorengan yang diperbuat daripada sayur, sebahagiannya kentang; yang penulis panggil sebagai begedil sayur — enak.
Restoran yang Selesa, Makanan yang Menggiurkan
Selain daripada meatballs, fish n chip, dan filet salmon tadi, penulis sempat juga makan kepak ayam, muffin, sup cendawan bersama roti, dan kek badam. Selain daripada kepak ayam yang sedikit keras, selainnya semua sedap belaka.
Memang selesa makan di IKEA Batu Kawan, ruang makan memang cerah dan luas. Tak seperti di Damansara, nak pergi ke meja pun kadang berlaga bahu dengan orang lain.
Boleh dikira mesra keluarga jugalah, maklumlah kanak-kanak ada yang tak boleh duduk diam, jadi ruang yang luas adalah perkara yang sangat positif kepada pengunjung.
Sosej Arang dan Karipap
Sebagai penutup, memang wajib beli hot dog dan karipap IKEA. Cuma kali ni sedikit berbeza sebab ada promosi terhad sosej atau hot dog arang yang warnanya serba-serbi kehitaman.
Sosej arang ni memang hitam dari luar sampai ke dalam. Saiznya pun lebih panjang berbanding sosej biasa, sebab tu harganya pun lebih mahal. Cuma sedikit kecewa sebab sos keju dah habis, terpaksalah makan dengan mustard.
Rasanya sama je dengan hot dog biasa, bezanya cuma pada saiznya yang lebih panjang, dan sos keju yang penulis tak berkesempatan nak rasa. Apa-apa pun, karipap IKEA tetap sedap.
Kedai Khas Makanan Sweden
Kalau sukakan meatball ikea, kita boleh buat di rumah je. IKEA ada jual bebola daging sejuk beku, sos bebola daging, kentang lecek, dan jem strawberi di kedai khas makanan Sweden mereka. Boleh juga dapatkan kerepek kentang, kek badam, coklat, dan biskut.
Boleh dapatkan bebola daging lembu pada harga RM35.90 untuk 1 kg. Lain kali ke IKEA, jangan lupa singgah di kedai makanan sweden. Kalau di IKEA Batu Kawan, berhadapan je dengan kaunter bayaran.
Menu Apa yang Sedap?
Dah makan, dah kenyang, memang puas hati. Walaupun meatball ikea merupakan makanan ruji pengunjung IKEA, penulis lebih sukakan fish n chip dan salmon fillet. Rasa sos tartar dan hollandaise yang digunakan agak unik.
Jadi kalau datang ke IKEA, tak tahu nak cuba makanan apa, dan mahukan sedikit kelainan, penulis syorkan untuk cuba salmon fillet dan fish n chip. Boleh semak menu di laman IKEA sebelum ke sana.
Post a Comment