Had Laju Kebangsaan: Perbezaan Had Laju antara Kenderaan Ringan dan Kenderaan Berat

Sayu rasanya mendengar perkhabaran sebuah kemalangan yang meragut nyawa 10 pengguna jalan raya ELITE, 8 daripadanya kanak-kanak. Kemalangan melibatkan sebuah treler dengan 3 buah kenderaan lain.

Kemalangan bukan hanya tentang kerosakan harta benda. Ada kanak-kanak yang menjadi yatim piatu, ada isteri yang menjadi balu. Kalaupun kemalangan tidak dapat dielakkan, kita masih boleh mengurangkan kerosakan dan kehilangan.

Salah satu cara mengurangkan kerosakan dan kehilangan apabila berlaku kemalangan adalah dengan mematuhi had laju dan menjaga jarak antara kenderaan.

Bukan Sekadar Memperlahankan Kenderaan

Had laju yang ditetapkan bukanlah sekadar untuk memperlahankan kenderaan. Tetapi untuk mengurangkan risiko kemalangan, dan mengurangkan kerosakan dan kehilangan jika berlakunya kemalangan.

Kenderaan memerlukan masa, bergantung pada berat; untuk diberhentikan. Itu sebelum mengambil kira masa yang diperlukan untuk kita sedar yang kita perlu memberhentikan kenderaan.

Pemandu tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk memberhentikan kenderaan apabila jarak antara kenderaan dan had laju tidak dipatuhi — meningkatkan risiko kemalangan apabila ada kenderaan yang membrek secara mengejut atau terbabas.

Mengurangkan Impak Kemalangan

Bagaimana had laju mengurangkan kerosakan dan kehilangan, khususnya kehilangan nyawa? Secara teori, impak kemalangan meningkat secara berkadar terus dengan kelajuan dan berat kenderaan.

Untuk dua kenderaan dengan kelajuan yang sama, impak kemalangan kenderaan yang lebih berat adalah lebih tinggi. Begitu juga untuk dua kenderaan yang sama beratnya, impak kemalangan kenderaan yang lebih laju adalah lebih tinggi.

Had Laju Kebangsaan

Semua orang tahu tentang undang-undang had laju di Malaysia. Sesiapa yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum sebanyak RM300.

Had laju yang berbeza ditetapkan mengikut kawasan. Di lebuhraya, had laju kebangsaan adalah antara 80 ke 110 km/j, di jalan persekutuan atau negeri pula antara 60 ke 90 km/j. Tetapi, tahukah kita had laju juga berbeza mengikut jenis kenderaan?

Definisi Kenderaan Berat

Kenderaan manakah yang dikategorikan sebagai kenderaan berat? Secara umumnya, kenderaan berat didefinisikan sebagai kenderaan, selalunya kenderaan barangan atau perdagangan; dengan berat dalam/dengan muatan (BDM) melebihi 5 tan.

Had Laju Kenderaan Berat

Disebabkan oleh perbezaan yang ketara pada berat kenderaan, had laju yang berbeza bagi kenderaan berat seperti lori dan treler adalah wajar. Jadi apakah had laju kebangsaan bagi kenderaan berat?

Untuk kenderaan berat, had laju di lebuhraya adalah antara 80 ke 90 km/j. Had laju di jalan persekutuan dan negeri pula adalah antara 60 ke 80 km/j.

Kriteria Pelaksanaan Had laju

Sudah tentulah dalam merangka had kelajuan kenderaan di Malaysia, pelbagai aspek telah diambil kira. Salah satunya ialah kelajuan tersebut semestinya mengurangkan risiko kemalangan, keduanya mengurangkan risiko kematian.

Tidak mudah untuk mengira impak yang diterima pemandu ketika kemalangan, pelbagai kriteria perlu diambil kira, contohnya struktur kereta, perlanggaran elastik atau bukan elastik, dan pemakaian tali pinggang, jadi kita membuat andaian menggunakan momentum.

Membandingkan kenderaan seperti kereta seberat 1.1 tan dengan sebuah kenderaan berat seperti lori 5 tan yang dibawa pada kelajuan 90 km/j, momentum masing-masing ketika perlanggaran ialah 27,500 dan 125,000 kg m/s.

Tidak pelik, malah ia memberikan gambaran bahawa kemalangan melibatkan sebuah lori 5 tan yang dibawa pada kelajuan 90 km/j memberikan impak 4.5 kali lebih tinggi berbanding kemalangan melibatkan kereta 1.1 tan dalam tetapan yang sama.

Jika had laju dirangka berdasarkan momentum 37,500 kg m/s ketika perlanggaran, had laju lebuhraya bagi kenderaan 1.1 tan ialah 110 km/j, kenderaan 5 tan pula 50 km/j, dan untuk kenderaan 15 tan pula hanyalah 20 km/j.

Pematuhan Had Laju

Pola pemanduan rakyat Malaysia agak sukar untuk dijangka. Pematuhan had laju di kalangan rakyat Malaysia, walaupun semakin tinggi dengan adanya sistem AES dan AWAS di lebuhraya; masih di tahap yang kurang memuaskan.

Lori dan treler berhampiran kawasan perindustrian dan pelabuhan seperti di Klang sering dipandu dengan laju sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Penunggang motosikal berkuasa tinggi juga tidak terkecuali, ada yang menunggang melebihi had laju sambil bertukar-tukar lorong untuk memotong kenderaan lain.

Had Laju Minima?

Selain daripada kelajuan dan berat, beza kelajuan antara dua kenderaan yang berlanggar juga menentukan tinggi rendah sesebuah impak pelanggaran. Malah, kenderaan yang dibawa perlahan juga menggalakkan kenderaan lain untuk memotong.

Dengan adanya had laju minima terutamanya di lebuhraya, perbezaan kelajuan antara kenderaan dapat dikurangkan dan aliran trafik boleh menjadi lebih lancar dan selamat.

Kenderaan yang bergerak perlahan di lebuhraya menjadi faktor pengehad kepada kelajuan kenderaan lain. Jadi seharusnya kenderaan yang tidak dapat dipandu melebihi kelajuan tertentu menggunakan laluan alternatif.

Penguatkuasaan undang-undang

Apa gunanya undang-undang tanpa penguatkuasaan. Penguatkuasaan bukanlah sekadar menaikkan jumlah denda atau saman bagi satu-satu kesalahan, tetapi ia melibatkan pengawasan dan pemantauan.

Ketika melalui lebuhraya PLUS, berapa kali kita terserempak dengan polis trafik selain daripada anggota yang sedang memacukan kamera speedtrap di bawah-bawah jambatan?

Walaupun demikian, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan jalanraya dalam keadaan yang selamat. Lagipun kenderaan di atas jalanraya bukanlah sekadar objek, yang menggerakkannya adalah manusia — sama seperti kita dan ahli keluarga kita.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top