MySejahtera: Tiada Lagi Checkout, Kerajaan Memperkenalkan Fungsi MySejahtera Trace (MySJ Trace)

Aplikasi pengesanan kontak MySejahtera mempunyai peranan yang besar dalam membendung penularan Covid-19 di Malaysia. Sejak daripada pengenalannya pada Mei 2020, pelbagai fungsi telah diperkenalkan sebagai penambahbaikan.

MySejahtera sebagai one-stop-centre bagi setiap perkara berkaitan Covid-19 juga, selain daripada memudahkan penyemakan status dan pengurusan vaksinasi; dapat mengurangkan kekeliruan pada pengguna.

Sehinggalah kerajaan mula memperkenalkan fungsi "checkout" pada aplikasi tersebut.

Kekurangan Fungsi Checkout

Tak dinafikan "checkout" merupakan fungsi yang baik apabila digunakan dengan cara yang betul. Tetapi malangnya, rekaan fungsi tersebut tidak mengambil kira sifat pelupa rakyat Malaysia.

Tidak ada notifikasi yang mengingatkan pengguna untuk "checkout". Lokasi yang belum di"checkout" juga tidak disenaraikan dengan jelas, kalau ada lebih daripada satu lokasi yang belum di"checkout", kita perlu lakukan melalui "history".

Rekaannya yang lemah menjadikan ia tidak sesuai digunakan pada tempat yang memerlukan kita untuk "check-in" dalam "check-in" seperti di pusat membeli belah. Jadi ramailah yang bermalam, mungkin juga berminggu di tempat tersebut.

Secara langsung menjadikan data yang dikumpulkan MySejahtera kurang tepat, membuatkan fungsi "checkout" hampir tidak berguna.

MySejahtera Trace (MySJ Trace)

Dengan pengenalan MySejahtera Trace, atau MySJ Trace oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (MoH) pada aplikasi MySejahtera bermula 25 Dec baru ni, berakhirlah fungsi "checkout".


Fungsi MySJ Trace akan menggantikan fungsi "checkout" dalam mengesan kontak rapat Covid-19, dan untuk menggunakan fungsi ni pengguna perlu memasang Bluetooth pada setiap masa.

Melalui MySJ Trace, aplikasi MySejahtera kita akan berhubung dengan aplikasi MySejahtera pada telefon pengguna lain yang berhampiran. Dengan syarat, mereka juga memasang tetapan MySJ Trace dan Bluetooth.

Tiada sebarang maklumat pengguna atau lokasi akan dikongsikan kepada pengguna lain, hanya rekod interaksi antara pengguna menggunakan UUID, atau "anonymized unique user ID". Rekod ini hanya akan disimpan dan diakses selama 14 hari.

Untuk dapatkan fungsi MySJ Trace pada aplikasi MySejahtera, pengguna perlu mengemaskini aplikasi MySejahtera ke versi 1.1.4 atau lebih baharu.

azizinet00 | Hari3aku

Menurut menteri kesihatan, Pengemaskinian ini telah dihantar secara serentak ke Google Play, Apple App Store, dan Huawei AppGallery. Namun ketika artikel ini ditulis, hanya tersenarai di Huawei AppGallery.

Kemaskini 27/12/2021 17:28: Pengguna Google Play dah boleh mengemaskini aplikasi masing-masing.

Post a Comment

To Top