Yopokki: Topokki Halal untuk Pencinta Makanan Korea
Selain daripada makanan Jepun seperti Sushi dan Bento, penulis juga sukakan makanan Korea. Cuma, rasanya penulis sangat jarang tulis tentang makanan Korea, seingat penulis yang terakhir mungkin sewaktu penulis ke Myeongdong Topokki.
Salah satu makanan Korea yang penulis rasa ramai suka ialah tteokbokki, atau ejaan mudahnya topokki. Tetapi, nak dapatkan topokki, apatah lagi yang sedap; di gerai-gerai tepi jalan dan seumpamanya memang susah.
Yopokki, Topokki Segera
Jangan risau, kalau mengidam nak makan Topokki tetapi tak berkesempatan nak ke restoran makanan Korea cari je Yopokki. Yopokki ialah topokki segera yang kita boleh dapatkan dalam bentuk cawan atau pek.
Yopokki juga datang dalam pelbagai perisa seperti original, jjajang, pedas, keju, dan tomato. Tetapi, untuk Yopokki yang halal, penulis cuma jumpa perisa original, jjajang, dan pedas.
Cara Penyediaan
Kalau beli yang pek 280g, dalam satu pek akan ada dua paket topokki dan sos, terpulanglah nak masak terus kedua-dua paket, atau satu je. Cara masaknya pun sangat mudah. Untuk 2 paket cuma perlu:
- Masukkan Topokki dan sos kedalam kuali berisi 100ml air.
- Panaskan sehingga mendidih.
- Apabila mendidih, perlahankan api dan reneh sehingga sos menjadi likat.
Dah siap. Kalau nak masak 1 paket, boleh gunakan 50ml air. Kalau topokki masih belum cukup lembut, boleh tambah air dan reneh lagi.
Mudah dan Sedap
Terus terang memang senang sangat nak sediakan topokki dari Yopokki ni, dan bagi penulis, rasa sos untuk perisa pedas memang sedap. Kalau nak topokki yang berkuah, tak perlu reneh terlalu lama, cukup sekadar untuk lembutkan topokki.
Boleh juga tambah sedikit lagi air. Kalau asalanya perlukan 50ml, letak 70 ke 80ml. Penulis lebih suka kalau sedikit berkuah. Kalau topokki dah habis dan kuahnya masih ada, penulis akan makan dengan ayam goreng.
Dari segi saiz, topokki segera ni lebih kecil daripada topokki yang kita boleh dapatkan di restoran. Dari segi kekenyalan, memang kenyal. Mungkin boleh tambah air dan rebus lebih lama untuk kurangkan kekenyalan.
Untuk siapa Yopokki ni? Untuk orang yang sibuk, susah keluar rumah, dan berada di kawasan luar bandar. Boleh juga dijadikan sebagai hidangan sampingan kepada mi segera.
Berbaloi ke Yopokki?
Boleh dapatkan Yopokki di Shopee pada harga RM7 untuk cawan (140g), dan RM9 untuk pek (280g). Kepada muslim, pastikan beli yang halal sebab ada penjual yang akan jual kedua-dua jenis yang halal dan tak halal.
Bagi penulis, Yopokki ialah kemudahan. Kalau ada kesempatan, lebih baik makan topokki di restoran. Harga di restoran pun tidaklah terlalu berbeza, di Myeongdong Topokki cuma RM9 untuk topokki bersaiz kecil.
p.s. Myeongdong Topokki pun ada keluarkan produk topokki segera. Boleh cuba yang tu pula lepas ni.
Post a Comment