Pokemon Unite: Permainan MOBA Pertama dari Francais Pokemon

Penulis boleh dikatakan membesar dengan francais Pokemon. Siapa yang lahir sebelum tahun 2000 mesti pernah tengok cerita Pokemon di NTV7 setiap 8:30 malam hari sabtu. Pokemon juga pada waktu tu sangat terkenal dengan permainan video seperti Pokemon Red dan Yellow.

Sehingga sekarang, permainan bergenre RPG dari Pokemon masih lagi menjadi kegilaan peminat francais tersebut. Sehingga Oktober 2021, Pokemon telah pun memperkenalkan sebanyak 901 spesis makhluk bergelar Pokemon.

Selain daripada permainan RPG, Pokemon juga terkenal dengan permainan kad, manga, anime, dan beberapa permainan spin-off seperti Pokemon Mystery Dungeon dan Pokemon Go.

Permainan MOBA Pokemon Unite

Pada 21 Julai 2021, Pokemon telah mengeluarkan sebuah permainan baharu yang dibangunakan oleh TiMi Studio Group. Pokemon Unite, tidak seperti permainan-permainan Pokemon yang sebelum ni; ialah permainan MOBA.

Pokemon Unite terlebih dahulu dikeluarkan untuk konsol Nintendo Switch, kemudian dikeluarkan pula untuk telefon pintar Android dan iOS pada 22 September tahun yang sama.

Apa itu MOBA?

MOBA, ataupun multiplayer online battle arena adalah sebuah subgenre bagi permainan video strategi. Dalam permainan MOBA, dua kumpulan akan bersaing di sebuah medan perang bagi memenuhi objektif.

Contoh permainan MOBA yang terkenal ialah Dota, League of Legends, dan Mobile Legends:Bang Bang.

Dalam Pokemon Unite, pemain diberikan pilihan untuk memilih dan bersaing menggunakan Pokemon seperti Pikachu, Charizard, Blastoise, dan Venusaur. Semakin lama kita main, semakin banyak peluang untuk tebus Pokemon yang lain.

Objektif Pokemon Unite

Walaupun Pokemon dari dua kumpulan akan bersaing menggunakan kemahiran, kuasa, dan strategi masing-masing. Objektif utama permainan bukanlah untuk mengalahkan lebih banyak Pokemon lawan.

Objektif utama dalam Pokemon Unite adalah mengumpulkan tenaga Aeos (Aeos energy), dan menggunakannya untuk mendapatkan mata di kawasan gol pihak lawan. Kumpulan dengan mata terbanyak di akhir permainan adalah pemenang.

Setiap kumpulan bermula dengan lima kawasan gol yang boleh dimusnahkan dengan mendapatkan mata melebihi had yang ditetapkan kawasan gol tersebut. Tenaga Aeos yang diperlukan untuk mendapatkan mata boleh dikumpulkan dengan mengalahkan musuh atau Pokemon liar.

Comel dan Sengit

Secara keseluruhannya, corak permainan Pokemon Unite agak sengit walaupun Pokemonnya comel. Disebabkan kawasan gol hanya ada pada dua laluan, lebih ramai pemain akan berkumpul di laluan yang sama.

Penulis dah main Pokemon Unite dari minggu pertama ia dikeluarkan untuk Android. Boleh tahan seronok juga, cuma mungkin ada sedikit kelemahan pada "matchmaking" buat masa ni. Selalu sangat penulis jumpa pihak lawan yang terlalu kuat, atau terlalu lemah.

Penulis tak akan pergi secara terperinci tentang ciri-ciri permainan dalam artikel ni. Boleh cuba sendiri untuk rasa kelainan pada corak permainan Pokemon Unite. Ambil kesempatan ni untuk berehat sebentar dari bermain Mobile Legends:Bang Bang.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top