Tiada Emas? Bagi Malaysia, Ziyad Zolkefli Tetap Juara Lontar Peluru F20.

Taken from CNN

Pertama kali penulis mengenali Ziyad Zolkefli adalah pada September 2016 ketika berlangsungnya Sukan Paralimpik Rio. Beliau bukan sahaja telah menghadiahkan emas kepada Malaysia, tetapi turut memecahkan rekod dunia dalam sukan lontar peluru.

Beliau merupakan atlet paralimpik bagi sukan lontar peluru dalam kategori F20. Atlet-atlet yang bertanding di bawah kategori F20 mempunyai masalah kelainan intelektual (intellectual impairment).

Dikategorikan demikian tidak menghalang Ziyad Zolkefli daripada sekali lagi menjuarai, dan memecahkan rekod lontar peluru pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dihadapan jutaan penonton di rumah.

Namun, berbeza dengan Paralimpik Rio 2016, beliau menjuarai sukan tersebut tanpa merangkul emas, dan rekod beliau tidak diiktiraf. Semuanya gara-gara lewat 3 minit tiba di bilik menunggu (call room).

Susulan bantahan secara lisan daripada pegawai atlet Ukraine pada waktu tersebut, Ziyad bersama dua lagi atlet yang turut lewat telah dibenarkan bertanding secara bersyarat (compete under protest). Bermakna, sehingga siasatan selesai; keabsahan penyertaan mereka bagaikan telur di hujung tanduk.

Ini kerana kelewatan untuk tiba ke "call room", bergantung pada pengadilan dan budi bicara; boleh menjadi kesalahan menurut "World Para Athletics Rule 5.5" di bawah perkara kegagalan melaporkan diri ke bilik menunggu.

Jika pengadil memutuskan bahawa atlet telah melakukan kesalahan tanpa alasan munasabah, atlet akan dikategorikan sebagai DNS, "did not start"; dan sebarang rekod dan kemenangan akan ditarik balik seolah-olah mereka tidak pernah bertanding.

Keputusan tidak memihak ke Malaysia apabila bantahan rasmi dilakukan terhadap atlet-atlet yang lewat. Ziyad Zolkefli sebagai salah seorang daripada atlet yang lewat diputuskan telah melakukan kesalahan, dikategorikan sebagai DNS, dan kejuaraan dan rekod dunianya dicabut serta merta.

Rayuan telah dilakukan, namun pihak juri rayuan World Para Atheltics tetap berkeras dengan keputusan untuk membatalkan penyertaan atlet dari Malaysia, Ecuador, dan Australia.

Ini menjadikan atlet Ukraine, asalnya di tempat ke-2; sebagai juara pertandingan lontar peluru kategori F20 menggantikan tempat Ziyad Zolkefli. Sudah dijangka bahawa rakyat Malaysia, khususnya netizen; tidak akan menyambut berita ini dengan baik.

Mari kita teliti perkara 5.5 Peraturan World Para Athletics 2020-2021Failure to Report to the Call Room(s). Sebagai orang awam bukan berpendidikan undang-undang, penulis dapat lihat banyak ruang untuk budi bicara. Contohnya pada perkataan "relevant" dan "appropriate".

Namun, berfikir sebagai seorang manusia yang berkuasa memberikan budi bicara, perkataan "relevant" dan "appropriate" merupakan suatu yang subjektif. Apa yang dikira sebagai alasan munasabah juga suatu yang subjektif.

Jika atlet perlu berada di call room tepat pada masanya, peraturan perlu digubal untuk menggunakan perkataan "on time", bukannya "relevant time" atau "appropriate time". Persoalannya kenapa perkataan "on time" hanya digunakan pada bahagian komen?

Kalau kita lihat peraturan 5.5 untuk tahun 2018-2019, tidak ada penjelasan berkenaan "on time" diletakkan sebagai komen. Jadi kenapa untuk peraturan tahun 2020-2021 komen tersebut diletakkan padahal adalah lebih tepat jika peraturan itu sendiri digubal menggunakan perkataan tersebut?

Tujuan peraturan adalah memastikan pertandingan diadakan dalam keadaan yang adil dan berdaya saing, tetapi apabila digunakan, sebagai cara atau strategi; untuk menyingkir pihak lawan, ia sudah bertentangan dengan semangat kesukanan.

Ini merupakan pengajaran buat Malaysia untuk lebih menepati masa pada waktu akan datang. Budi bicara adalah milik pengadil yang mengadili, bukan atlet yang diadili. Kita boleh menyangkal, kita boleh merayu, tetapi keputusan tetap dipegang pengadil.

Siapa yang patut dipersalahkan? Atlet kah? Pegawai kah? Kementerian kah? Pengadil kah? Biarlah mereka yang lebih mengetahui keadaan ketika itu mengadili sesama mereka. Tiada siapa yang mahukan perkara ini terjadi, jangan kita hilang empati.

Hakikatnya, Ziyad Zolkefli tetap juara di hati rakyat Malaysia, dan di hati mereka yang menjadi saksi beliau memecahkan rekod dunia. Lagipun, kita sedang bercakap tentang sukan lontar peluru, bukannya sukan lumba lari ke call room.

Bantahan akan dikemukakan oleh Majlis Paralimpik Negara dan Persatuan Olahraga Para Malaysia terhadap keputusan pertandingan lontar peluru kategori F20 selepas Paralimpik Tokyo 2020 berakhir. Jadi, buat masa ini kita perlu terima keputusan sedia ada secara terbuka.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top