Bluestacks, LD Player, Gameloops: Gunakan Perisian Pelagak Android ini Untuk Bermain Permainan Android pada Komputer
Ada beberapa sebab kenapa kita hendak gunakan aplikasi Android pada komputer. Pertamanya untuk tujuan pembangunan aplikasi Android, keduanya untuk bermain permainan, atau menjalankan aplikasi Android.
Untuk tujuan yang pertama, fungsi perlagakan sudah terbina dalam pada perisian Android Studio. Untuk bermain permainan Android pula, contohnya seperti Mobile Legends, PUBG, dan Free Fire, kita boleh gunakan perisian pelagak Android (Android emulator).
Ada beberapa perisian pelagak yang kita boleh dapatkan secara percuma, dan prestasi setiap perisian ini bergantung pada spesifikasi komputer. Jadi, penulis akan senaraikan tiga pelagak yang penulis sendiri pernah guna.
Untuk kelancaran perisian pelagak, pastikan komputer dipasang sekurang-kurangnya 8GB RAM, menggunakan GPU dengan prestasi yang sama atau lebih tinggi berbanding Nvidia GT 1030, dan tetapan "virtualization" dihidupkan melalui BIOS.
Bluestacks
Bluestacks adalah antara perisian pelagak Android yang terawal, dan yang pertama penulis pernah guna. Secara lalai, ia dipasang dengan sistem operasi Android 7, atau Nougat 32-bit. Tetapi pemasangan boleh dilakukan pada "Multi-Instance Manager" untuk memasang Android Nougat 64-bit atau Android Pie 64-bit.
Waktu artikel ini ditulis, Android Pie 64-bit masih dalam peringkat Beta, dan hanya boleh dipasang pada Bluestacks versi 5.2.100 dan ke atas.
LD Player
Photo by LD Player
Dari pengalaman penulis, LD Player adalah pelagak Android yang lebih ringan berbanding Bluestacks. Bukan itu sahaja, malah LD Player juga mempunyai kurang iklan berbanding Bluestacks.
Untuk pengguna komputer yang rasakan Bluestacks agak berat, boleh cuba guna LD Player dan bandingkan prestasi kedua-dua pelagak.
Gameloop
Pernah dikenali sebagai Tencent Gaming Buddy, Gameloop merupakan pelagak Android rasmi untuk PUBGM dan Call of Duty Mobile. Tetapi, tidak seperti Bluestacks dan LD Player, fungsi Gameloop sedikit berbeza.
Bluestacks dan LD Player meniru fungsi sebuah telefon Android. Tetapi Gameloop lebih terus kepada aplikasi, sebarang muat turun tidak dilakukan melalui Play Store, tetapi melalui antaramuka pengguna Gameloop sendiri.
Ini bermakna, bukan semua aplikasi Android boleh dimuat turun kepada Gameloop.
Kesesuaian Aplikasi
Prestasi pelagak juga bergantung pada aplikasi. Dari pengalaman penulis, penulis bermain Mobile Legends dan Ragnarok X pada Bluestacks, dan Call of Duty Mobile pula pada Gameloop.
Untuk tetapan pemetaan kekunci, Bluestacks mempunyai tetapan kekunci terbina dalam untuk lebih banyak aplikasi berbanding LD Player dan Gameloop. Boleh juga lakukan pemetaan kekunci secara manual pada ketiga-tiga pelagak.
Gunakan pelagak dengan berhati-hati, jangan sehingga diban atau diharamkan dari permainan. Lakukan pencarian terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada permainan atau aplikasi yang hendak dipasang akan mengharamkan pengguna pelagak.
Tidak terhad kepada permainan video, pelagak juga boleh digunakan untuk aplikasi-aplikasi lain seperti Facebook, Snapchat, Flipboard, dsb.
Post a Comment