Windows 11 "Insider Preview". Bukan Sekadar Windows 10 dengan Sudut Tetingkap Membulat.

Teka teki berkenaan Windows 11 sudah terjawab pada 24 Jun 2021 yang lepas apabila Microsoft mengumumkan penaiktarafan percuma daripada Windows 10 kepada Windows 11 melalui sebuah acara dalam talian.

Selepas daripada pendedahan tersebut, Microsoft juga telah mengeluarkan "Insider Preview" yang pertama untuk Windows 11. Semua pengguna yang berada dalam program "Windows Insider" dengan tetapan saluran "Dev" boleh menaik taraf Windows 10 mereka kepada Windows 11 "Insider Preview".

Dengan syarat, peranti yang digunakan hendaklah mempunyai tetapan "Secure Boot", memiliki modul "TPM 2.0", dan menggunakan pemproses yang disokong Windows 11. Boleh lihat senarai pemproses Intel dan AMD yang disokong pada laman web Microsoft.

Jadi apa yang baharu pada Windows 11? Walaupun ada yang berpendapat Windows 11 hanyalah Windows 10 dengan sudut windows atau tetingkap yang lebih membulat, penulis berpendapat sebaliknya.

Tema, Wallpaper, Ikon, dan Bunyi yang Kemas

Selain daripada sudut membulat, Windows 11 juga memperagakan rekaan wallpaper, ikon, dan bunyi yang baharu.

Wallpaper utama Windows 11 menunjukkan rekaan berbentuk lipatan fabrik, dan boleh disesuaikan dengan kedua-dua tema cerah dan gelap. Ada lebih daripada enam rekaan wallpaper yang boleh dipilih.

Ikon Windows pada "start menu" atau menu permulaan juga telah diubah, dan kini diletakkan pada bahagian pertengahan "taskbar" atau bar tugasan. Ini sesuatu yang baharu, tidak pernah dilakukan pada versi Windows yang lepas.

Tiada lagi "live tiles" pada Windows 11, menu permulaan Windows 11 juga lebih minimalistik. Selain itu, menu permulaan juga boleh dialihkan ke bahagian kiri bar tugasan menggunakan tetapan.

Animasi pada Windows 11 juga lebih lancar, contohnya apabila menurunkan, menaikkan, mengecilkan, dan membesarkan tetingkap.

Rekaan Menu Tetapan Baharu

Menu tetapan pada Windows 11 juga telah diubah dengan rekaan yang lebih kemas berbanding menu tetapan pada Windows 10. Buat masa ni, "control panel" atau panel kawalan masih boleh diakses walaupun ada berita yang mengatakan sebaliknya.

Widget

Walaupun ciri ini telah diperkenalkan dengan cara yang sedikit berbeza pada Windows 10 melalui ciri "news and interests" pada bar tugasan, widget pada Windows 11 kelihatan agak kemas dengan tema kaca yang lut cahaya.

Fungsi widget pada Windows 11 "Insider Preview" masih terhad kepada berita dan cuaca, seperti yang ada pada ciri "news and interests" Windows 10. Penulis jangkakan lebih banyak fungsi dalam beberapa bulan.

Multitasking

Fungsi "multitasking" atau penugasan berbilang pada Windows 11 juga agak menarik. Selain daripada fungsi desktop maya yang membolehkan kita mengasingkan setiap desktop menurut tugasan, susunan tetingkap pada paparan juga lebih mudah.

Fungsi "snap layout" Windows 10 yang memudahkan susunan sehingga empat tetingkap pada satu paparan desktop telah ditambah baik dengan lebih banyak layout atau corak susunan pada Windows 11.

Bukan itu sahaja, dengan menggunakan fungsi "snap layout" pada Windows 11, kita juga boleh menggunakan fungsi "snap group". Dengan fungsi ini, kita boleh menaikkan semula kesemua tetingkap yang kita susun menggunakan "snap layout" dengan satu tekan.

Perlukah Naik Taraf ke Windows 11?

Bagi penulis tiada masalah untuk naik taraf ke Windows 11, cuma penulis tak sarankan untuk memasang sebarang versi awal Windows 11 seperti "Insider Preview" dan "Beta" ke peranti utama.

Tidak mempunyai peranti pendua? Boleh cuba pasangkan Windows 11 pada perisian VM atau "Virtual Machine" seperti Oracle VM Virtualbox.

Disebabkan Windows 11 "Insider Preview" masih dalam pembangunan, bergantung pada jenis perkakasan yang digunakan; prestasinya mungkin lebih rendah berbanding Windows 10.

Untuk komputer yang tidak mempunyai modul TPM 2.0, terutamanya komputer yang sudah lama, menaik taraf ke Windows 11 bukanlah sesuatu yang mudah. Penulis nasihatkan untuk terus gunakan Windows 10 sehingga 2025 sebelum membeli komputer yang baharu.

Untuk menyemak versi TPM yang ada pada komputer, boleh gunakan pintasan +R, taip tpm.msc, tekan OK, dan lihat "Specification Version" pada bahagian bawah kanan.

Kebanyakan komputer yang dikeluarkan selepas tahun 2016 sudah dipasangkan modul TPM 2.0. Boleh lihat tetapan pada BIOS untuk membolehkan "Secure Boot" dan modul "TPM 2.0" jika belum dibolehkan sebelum menaik taraf ke Windows 11.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top