Vit's Penang White Curry: Ramen Segar tetapi Segera dari Vit's Taste of Malaysia

Berbanding kebanyakan mi segera yang ada di pasaran, ramen atau dalam bahasa melayunya "mi tarik" dari Jepun mempunyai bentuk dan tekstur yang lebih tebal dan kenyal.

Untuk makan ramen yang diperbuat segar, bukannya segera; di Malaysia kita perlu berbelanja belasan ringgit. Di Sushi King contohnya, semangkuk ramen berharga tidak kurang daripada RM15.

Tetapi percaya tak yang kita boleh dapatkan ramen pada harga yang lebih murah? Semurah RM3.40 semangkuk. Malah, tak perlukan masa yang lama pun untuk siapkan, dalam 1 ke 2 minit.

Cari je Vit's Taste of Malaysia. Ada tiga pilihan ramen antara Penang white curry, Penang asam laksa, dan Penang Hokkien mee. Walaupun masih dikategorikan mi segera, ianya lebih premium dan lebih hampir kepada ramen sebenar.

Penulis teringin nak cuba ramen yang rasa berlemak, jadi penulis cuba perisa Penang white curry. Penulis beli pada harga RM6.80 sebungkus, dan dalam setiap bungkus ramen Vit's pula ada dua pek

Untuk setiap pek pula disediakan satu pek ramen, sepaket krimer bukan tenusu, dan sepaket pes sambal. Secara total, kesemuanya ada dua pek ramen, dua paket krimer, dan dua paket pes sambal.

Cara penyediaan sangat senang. Didihkan 250ml air, kemudian masukkan krimer dan pes sambal yang disediakan. Selepas 30 saat, boleh masukkan mi yang telah dibasuh dengan air. Panaskan dalam 30 saat, kemudian boleh kacau dan sediakan.

Jauh lebih cepat berbanding mi segera yang dihasilkan dalam keadaan kering, dan perlu direbus sekurang-kurangnya 3 minit.

Penyediaannya mudah, jadi rasanya macam mana pula? Terus terang, rasa Vit's Penang white curry serupa macam Maggi Royale Penang seafood curry yang suatu masa dahulu merupakan kegemaran penulis.

Penulis ikut arahan yang ada di belakang bungkusan, menggunakan 250ml air, dan rasanya bagi penulis tidaklah terlalu masin. Kalau rasa terlalu masin kita boleh lebihkan air.

Rasanya memang berlemak, macam mi kari yang kita makan di restoran-restoran. Cuma, penulis rasa lebih sedap kalau kita tambah bahan kita sendiri seperti telur rebus, kek ikan, atau bebola ikan.

Penulis memang syorkan untuk cuba rangkaian produk ramen Vit's Taste of Malaysia. Walaupun mi tidak disediakan dalam keadaan kering, kita tak perlu simpan dalam peti ais, dan mempunyai jangka hayat yang panjang.

Mi yang disediakan untuk setiap pek juga cukup banyak dan boleh dikongsi bersama dua orang. Elok juga berkongsi, sebab setiap satu pek mempunyai kalori sebanyak 478kcal

Untuk perisa lain pula, penulis belum cuba lagi walaupun produk ni dah ada lebih daripada 5 tahun di Malaysia. Mungkin ada yang boleh cuba dan kongsikan di ruang komen pengalaman masing-masing.

p.s. Kalau nak cari perisa yang autentik dari Jepun contohnya seperti shoyu, miso dan shio ramen, Vit's tak jual. Untuk ketiga-tiga perisa yang sama, selain jenis ramen, Vit's juga ada jual jenis segera yang kering macam mi segera lain di luar.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top