Peraturan 50-30-10: Berapa yang Kita Perlu Bayar untuk Barang Terpakai?
Mesti kita pernah terfikir atau terlibat dalam urusan jual beli barangan terpakai bukan? Lebih-lebih lagi dengan teknologi sekarang, kebanyakan barang terpakai boleh dibeli dengan mudah secara dalam talian.
Membeli secara dalam talian menggunakan laman web seperti Mudah, Carousell, eBay, dsb mempunyai risikonya yang tersendiri, terutamanya apabila pembelian tersebut diuruskan secara pos.
Untuk mengelakkan daripada sebarang penipuan, atau membeli barang dengan butiran maklumat yang kurang tepat dari peniaga, pembelian secara COD atau "Cash on Delivery" untuk barang terpakai adalah digalakkan.
Sebagai penjual, sudah tentu kita mahukan sebanyak pulangan daripada barang terpakai yang kita jual. Namun, sebagai pembeli, tahukah kita berapa yang sepatutnya kita bayar untuk barang terpakai?
Dalam beberapa bulan yang lepas, penulis meneliti banyak barang elektronik terpakai di Carousell dan Mudah. Banyak juga barang terpakai yang penulis tengok dijual pada harga yang hampir sama, kadang lebih tinggi; daripada harga pasaran semasa barang tersebut.
Peraturan 50-30-10
Pernah dengar tentang peraturan "50-30-10"? Menurut peraturan 50-30-10, barang terpakai yang masih baharu dan dalam keadaan elok harus dijual pada harga 50% daripada harga pasaran.
Barang yang sudah terpakai secara sederhana pula harus dijual pada harga 25% ke 30% daripada harga pasaran, dan barang yang sudah lama dipakai atau lusuh pula harus dijual pada harga 10% daripada harga pasaran.
Walaupun peraturan 50-30-10 tidak terpakai untuk semua jenis barang, contohnya untuk barang seperti barangan antik, koleksi, atau barang-barang lain yang mengalami peningkatan nilai mengikut masa, kita masih boleh jadikan peraturan tersebut sebagai panduan.
Bagi penulis, jangan bayar lebih daripada 75% daripada harga pasaran untuk kebanyakan barang terpakai walaupun untuk barang yang masih baharu. Contohnya tidak lebih daripada RM300 untuk barang dengan harga pasaran RM400.
Harga pasaran bukannya harga asal yang penjual bayar untuk beli barang tersebut. Harga pasaran berubah ikut masa, barang yang berharga RM400 dua tahun lepas mungkin mempunyai harga pasaran yang berbeza sekarang.
Jadi sebelum buat sebarang pembelian barang terpakai, kenal pasti dahulu harga pasaran barang yang kita hendak beli. Kita boleh buat carian secara dalam talian di Shopee, Lazada, Lelong.my, dsb.
Ambil tahu tentang waranti barang tersebut. Barang yang masih baharu sepatutnya masih berada dalam tempoh waranti, jika tidak maksudnya usia barang tersebut adalah lebih lama dari tempoh waranti.
Untuk barang terpakai yang sudah tamat tempoh waranti, sebolehnya kita cuma membayar tidak lebih 50% daripada harga pasaran barang tersebut.
Contoh: Tetikus Logitech G102
Di Carousell contohnya, penulis jumpa sebuah tetikus Logitech G102 yang sudah digunakan selama tiga bulan dan dijual pada harga RM75. Walaupun penjual telah membeli tetikus tersebut pada harga RM89, harga pasaran semasa untuk tetikus tersebut di Shopee adalah sekitar RM70 ke RM79.
Jadi berbaloi ke kita beli barang terpakai yang harganya sama dengan barang baharu? Tetapi kenapa ada penjual yang letakkan harga tersebut? Sebab adanya permintaan, selain memberi ruang untuk tawar-menawar.
Selepas 3 bulan penggunaan, harga tetikus tersebut seharusnya tidak melebihi RM55 walaupun tempoh waranti bagi Logitech G102 ialah 2 tahun.
Kenapa 50-30-10?
Akibat daripada kegagalan pembeli menilai barang-barang terpakai, penjual akan mengambil kesempatan untuk menjual barang terpakai pada harga yang lebih tinggi daripada apa yang sepatutnya.
Kenapa kita perlu beli barang terpakai yang harganya cuma lebih murah dalam 20 ke 30 ringgit kan? Tak berbaloi dengan risiko yang kita ambil walaupun untuk barang yang dibeli secara COD, kerana masalah sesuatu barang mungkin disedari hanya selepas beberapa kali penggunaan.
Ingat, selagi pembeli sendiri tidak menitik beratkan peraturan 50-30-10, penjual sendiri tidak akan menjual mengikut peraturan 50-30-10. Ianya menjadi tugas kita untuk menjadi pembeli dan pengguna yang bijak.
Sudah tentulah peraturan 50-30-10 bukan satu-satunya panduan yang ada, setiap daripada kita mempunyai masalah, keperluan, dan penilaian yang berbeza. Yang perlu diketengahkan sekarang adalah bagaimana kita menilai sebuah barang terpakai.
Apa pengalaman korang membeli barang terpakai secara dalam talian? Boleh kongsi di ruangan komen di bawah.
Menarik. Lepas ni kalau nak beli barang preloved akan pakai ni. Thanks
ReplyDeleteSama2. Igtkan kawan2 jugak.
Delete