Razer Seiren Mini: Mikrofon Superkardioid Untuk Penyiaran dan Pengstriman dari Razer

Pekerjaan dan perjumpaan secara maya atau dalam talian memerlukan kita berbelanja untuk kelengkapan seperti komputer, telefon pintar, dan pelbagai persisian lain. Sudah semestinya, kita mahukan yang terbaik dari wang yang dibelanjakan.

Sebagai seorang pengguna desktop, kamera web dan mikrofon bukanlah dua persisian yang sudah terbina dalam. Jadi pengguna perlu membeli mikrofon jika hendak mengikuti sebarang perbincangan atau perjumpaan secara dalam talian atau maya.

Walaupun mikrofon yang terbina dalam fon kepala sudah memadai, bagi mereka yang memandang tinggi kualiti, pelaburan yang lebih banyak haruslah dilakukan dengan membeli mikrofon luaran.

Razer, sebuah syarikat yang terkenal dengan perkakasan permainan seperti papan kekunci dan tetikus telah memperkenalkan beberapa perkakasan untuk penyiar yang memerlukan alat rakaman suara.

Salah satunya ialah Razer Seirein Mini. Razer Seiren Mini adalah sebuah mikrofon atau alat rakaman suara yang boleh didapati dengan harga yang tidak terlalu mahal dengan kualiti rakaman yang baik.

Razer Seiren Mini boleh dibeli dengan harga sekitar RM200, lebih murah berbanding kebanyakan mikrofon kondenser berjenama yang lain. HyperX SoloCast contohnya, antara pencabar utama Razer Seiren Mini; berharga sekitar RM250.

Boleh pilih antara tiga pilihan warna, hitam (black), putih (mercury), dan merah jambu (quartz). Boleh sesuaikan dengan tema desktop. Untuk penulis, mestilah warna hitam, sesuai dengan warna casing NZXT H510 matte black.

Bersama dengan Razer Seiren Mini, kita akan diberikan juga tapak, tempat letak mikrofon, dan kabel mikro USB ke USB. Saiz mikrofon tidak terlalu besar, sesuai dengan nama 'Mini'.

Mikrofon ini juga menggunakan sambungan USB, bukannya bicu audio bersaiz 3.5mm seperti yang digunakan kebanyakan fon kepala. Maksudnya, mikrofon ini tidak boleh digunakan dengan telefon pintar

Tidak terhad kepada tujuan penyiaran atau pengstriman, mikrofon ini juga sesuai digunakan untuk perjumpaan dalam talian, melakukan pengajaran secara online, dan pembuatan video.

Razer Seiren Mini mempunyai corak polar superkardioid yang memberi tumpuan kepada bunyi yang datang dari arah hadapan mikrofon berbanding sekeliling bagi mengurangkan rakaman bunyi latar.

Namun, sebagai sebuah mikrofon superkardioid ia juga akan merakam bunyi yang berhampiran dengan bahagian belakang mikrofon. Pastikan jarak antara mikrofon dan peranti, seperti papan kekunci; di belakangnya tidak terlalu dekat.

Disebabkan oleh saiznya yang kecil dengan ketinggian 6.4 inci; jarak antara mikrofon yang diletakkan di atas meja dengan suara pengguna agak jauh, menjadikan suara yang dirakam sedikit perlahan.

Bagi memastikan bunyi rakaman lebih kuat, perlu berada lebih dekat dengan mikrofon ataupun lakukan pemprosesan pasca. Boleh juga gunakan lengan mikrofon atau lengan boom untuk kurangkan jarak dengan mikrofon.

Pemasangan Razer Seiren Mini pada komputer sangatlah mudah — tidak perlukan perisian Synapse, hanya plug-and-play. Selepas dipasang pada port USB, boleh digunakan terus pada komputer.

Boleh dengar perbandingan bunyi antara Razer Seiren Mini, Boya BY-M1, dan Vinnfier Toros 1 dalam video di bawah.

Jadi macam mana? Berbaloi ke keluarkan RM200 untuk kualiti bunyi yang kita dengar daripada video tadi? Bagi penulis, kalau tak perlukan rakaman yang betul-betul jelas dengan bunyi latar yang rendah, kualiti mikrofon seperti BOYA BY-M1 sudah memadai.

Namun, jika perlukan sebuah mikrofon dengan rakaman yang lebih jelas, kurang bunyi latar, dan berbunyi lebih asli, Razer Seiren Mini merupakan pilihan yang tepat bagi mereka yang sedang mencari mikrofon seumpamanya pada harga yang lebih mampu milik.

Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan Razer Seiren Mini, boleh layari laman sesawang rasmi Razer.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top