Mencuba Pelbagai Perisa Senbei atau Biskut Beras Tanpa Gluten dari Fantastic Snacks
Senbei merupakan salah satu snek tradisional Jepun dengan sejarahnya yang tersendiri. Senbei, ataupun biskut beras Jepun; diperbuat daripada tepung beras dan nasi yang kemudiannya digoreng atau dibakar.
Secara tradisinya, senbei dibakar menggunakan kayu arang, disapukan dengan kicap, dan diperasakan dengan garam. Sekarang, senbei boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan perisa.
Di Malaysia, senbei yang penulis pernah makan sebelum ni cumalah dari dua jenama — Bin-Bin dan Want-Want. Ini pertama kali penulis mencuba senbei dari jenama lain, Fantastic.
Ini pertama kali juga penulis jumpa senbei jenama Fantastic, jadi pada awalnya penulis agak keberatan. Tetapi akhirnya penulis beli juga lima snek senbei dari Fantastic dengan harga RM4.20 setiap satu. Kelima-limanya perisa yang berbeza.
Penulis cuma dapat beli perisa original, seaweed, cheese, wood oven pizza, dan barbeque. Ada banyak lagi perisa senbei dari Fantastic yang penulis belum dapat beli, ada lebih daripada lima belas perisa kesemuanya.
Lebih menarik lagi, senbei dari Fantastic ini dibakar, bukannya digoreng. Ia juga tanpa gluten, sesuai untuk pengidap penyakit celiac. Walaupun demikian, produk ini mengandungi MSG (E621) sebagai penambah perisa.
Senbei Fantastic yang penulis beli telah disahkan halal oleh badan pensijilan halal Thailand, CICOT. Jadi penulis boleh makan tanpa rasa ragu-ragu.
Buat masa ni, penulis cuma rasa perisa "wood oven pizza". Yang lain belum buka dan cuba lagi. Rasanya memang sedap cuma bagi penulis senbeinya, mungkin sebab ianya dibakar; agak kering dan sedikit keras walaupun masih rangup.
Rasanya juga tidak terlalu manis atau umami walaupun menggunakan MSG. Secara keseluruhannya rasa agak sihat, mungkin disebabkan kandungan lemaknya yang rendah antara 3 ke 12 gram untuk setiap 100 gram (3.4 gram untuk "wood oven pizza").
Setiap bungkusan senbei Fantastic adalah seberat 100 gram — 25 gram untuk setiap hidangan. Jumlah kalori untuk setiap hidangan pula antara 90 ke 112 kcal bergantung kepada perisa.
Untuk setiap 100 gram, jumlah kalori adalah antara 363 ke 449 kcal (382 kcal untuk "wood oven pizza"), lebih rendah berbanding jumlah kalori pada senbei berjenama Bin-Bin (465 kcal) dan Want-Want (480 kcal).
Penulis syorkan atau tidak? Untuk sesiapa yang titik beratkan jumlah pengambilan kalori, penulis memang syorkan senbei dari Fantasic, terutamanya yang berperisa "seaweed".
Tetapi kalau korang sukakan snek yang lebih masin, lebih umami, teruskanlah dengan senbei dari Bin-Bin dan Want-Want. Ataupun boleh juga makan senbei Fantastic dengan topping seperti tuna mayo, keju krim, atau guacamole.
Post a Comment