BOYA BY-M1: Mikrofon Lavalier Omnidiarah dengan Harga Mampu Milik, Kabel Sepanjang 6 Meter!!!

Suara yang dirakam menggunakan telefon pintar, atau persisian seperti fon telinga dan fon kepala adakalanya tidak begitu jelas disebabkan oleh rakaman bunyi latar yang kuat.

Pemprosesan yang dilakukan oleh perisian atau telefon pintar secara automatik bagi menyingkirkan bunyi latar boleh mengakibatkan suara rakaman menjadi sedikit robotik atau mempunyai artifak.

Untuk rakaman yang lebih jelas, boleh gunakan mikrofon luaran seperti BOYA BY-M1. BOYA BY-M1 ialah perakam suara jenis lavalier dengan corak polar omnidiarah (omnidirectional) yang merakam suara dari segala arah.

Mikrofon jenis lavalier boleh disepitkan pada bahagian kolar baju, dan sesuai digunakan sewaktu persembahan, ucapan, dan pengacaraan. Juga sesuai digunakan sambil berdiri dan bergerak.

Harga BOYA BY-M1 juga agak murah dan mampu milik, iaitu sekitar RM30. Penulis dapatkan pada harga RM26.80 di Shopee sewaktu jualan. Rata-rata pengguna berpuas hati dengan kualiti rakaman BOYA BY-M1.

Mikrofon ini menggunakan sambungan bicu audio 3.5mm, dan ia juga datang dengan klip lapel, bateri LR44, penyesuai bagi bicu audio bersaiz 1/4 inci, dan juga kantung untuk menyimpan mikrofon. Lebih menarik lagi, panjang kabelnya ialah 6 meter.

Disebabkan corak polar omnidiarah, mikrofon ini tetap akan merakam bunyi sekeliling dan bunyi latar. Namun, tidaklah sehingga mengganggu rakaman suara disebabkan oleh rakaman suaranya yang jelas.

Selain daripada telefon pintar, mikrofon BOYA BY-M1 juga boleh digunakan dengan kamera dan komputer. Penggunaan bersama telefon pintar tidak menggunakan bateri, tetapi penggunaan bersama peranti lain seperti komputer, kamera dan kamkorder mungkin menggunakan bateri.

Oleh kerana mikrofon ini mempunyai bateri, pastikan ia sentiasa dimatikan apabila tidak digunakan, atau apabila digunakan bersama telefon pintar. Hanya hidupkan ketika digunakan bersama dengan peranti yang memerlukan penggunaan bateri dari mikrofon.

Untuk harganya, penulis agak berpuas hati dengan kualiti rakaman dari mikrofon BOYA BY-M1. Cuma ia kurang sesuai digunakan untuk merakam suara yang perlahan apabila diletakkan di bahagian kolar baju.

Apabila digunakan untuk merakam suara yang perlahan, agak sukar untuk mengasingkan bunyi latar tanpa memperkenalkan artifak pada audio terutamanya apabila digunakan bersama komputer.

Kalau mahukan mikrofon yang memfokuskan rakaman suara dari satu arah, dengan rakaman bunyi latar atau persekitaran yang lebih rendah, boleh cuba cari mikrofon dengan corak polar kardioid seperti BOYA BY-MM1.

Post a Comment

To Top