Kenapa Jajan, Snek atau Keropok Penuh dengan Angin atau Udara?
 Pernah tak rasa macam tertipu bila kita beli keropok atau snek, tapi bila buka
  kita tengok dalamnya penuh dengan angin je? Bahkan, tak pelik pun kalau hampir
  atau lebih 50% daripada isi kandungan bungkusan tersebut ialah angin.
  Pernah tak rasa macam tertipu bila kita beli keropok atau snek, tapi bila buka
  kita tengok dalamnya penuh dengan angin je? Bahkan, tak pelik pun kalau hampir
  atau lebih 50% daripada isi kandungan bungkusan tersebut ialah angin.
  Tetapi pernah tak tertanya kenapa perlu ada angin di dalam bungkusan jajan,
  snek atau keropok yang kita beli? Ataupun kita cuma pasrah dan anggap itu
  hanyalah gimik pemasaran untuk membuatkan bungkusan tersebut kelihatan lebih
  menarik, seakan-akan penuh, atau mempunyai isi kandungan yang banyak walaupun
  sebenarnya tidak?
  Kalau ada dua bungkusan yang berlainan saiz, tetapi dijual pada harga yang
  sama, dan mempunyai kuantiti kandungan yang sama, mesti kita akan lebih
  tertarik kepada yang lebih besar bukan? Walaupun kita tahu lebih besar
  bermakna lebih banyak angin.
  Tetapi sebenarnya benda yang kita panggil angin itu mempunyai fungsi lain yang
  lebih penting selain daripada menjadi gimik pemasaran. Dan untuk pengetahuan
  semua, ia sebenarnya bukan angin pun, tetapi gas nitrogen.
  Angin, atau lebih tepatnya udara; terdiri daripada 21% oksigen, dan 78%
  nitrogen, manakala baki 1% pula terdiri daripada wap air, karbon dioksida dan
  gas-gas lain. Nitrogen merupakan gas 'inert' atau lengai yang tidak bertindak
  balas secara kimia dengan bahan lain, ia juga tidak mempunyai bau dan rasa.
MENGHALANG SNEK DARIPADA LEMAU
  Siapa suka makan snek yang dah lemau, lembik ataupun lembap? Penulis tak suka,
  korang suka ke? Snek akan menjadi lemau sekiranya terdedah kepada wap air yang
  ada pada udara. Jadi untuk halang snek daripada menyerap wap air, udara perlu
  dikeluarkan atau digantikan dengan sesuatu yang lain, seperti nitrogen.
MEMANJANGKAN JANGKA HAYAT SNEK
  Oksigen merupakan gas reaktif tinggi yang mudah bertindak balas secara kimia
  dengan bahan lain, ia juga diperlukan oleh bakteria untuk hidup, ini
  menjadikan snek atau makanan lebih cepat rosak atau basi apabila terdedah
  kepada oksigen. Dengan menggunakan gas lengai seperti nitrogen, jangka hayat
  snek boleh dipanjangkan.
BERTINDAK SEBAGAI KUSYEN
  Kalau udara merupakan masalah kepada snek tadi kenapa kita gantikan dengan
  nitrogen, dan bukannya mengeluarkan udara secara vakum? Ini kerana gas yang
  diletakkan ke dalam bungkusan bertindak sebagai kusyen yang menghalang snek
  daripada hancur ketika melakukan penghantaran dan pengendalian. Ini amat
  penting terutamanya untuk snek yang rapuh atau nipis seperti cip kentang.
  Jadi sekarang kita dah tahu kenapa ada bungkusan snek atau keropok yang kita
  beli dipenuhi angin, mungkin kita takkan kecewa dah bila beli keropok dapat
  banyak angin. Selepas ni, selain daripada saiz bungkusan, tengok juga berat
  bersih produk yang kita bandingkan tu.
  Sekarang kita dah tahu apa fungsi nitrogen di dalam bungkusan snek, mungkin
  selepas ni kita akan kaji pula fungsi oksigen di dalam karipap. 
Post a Comment