Resipi Doh Pizza yang Ringkas dan Mudah. Boleh Simpan di Peti Sejuk atau Penyejuk Beku

Bagi penulis, membeli pizza di luar adalah lebih mudah, dan lebih murah juga sewaktu promosi. Cuma kadang-kadang kita teringin nak rasa air tangan kita sendiri, eksperimen dengan pelbagai topping yang kita tak boleh jumpa di luar.

Walaupun demikian, apabila kena caranya, membakar pizza sendiri boleh jadi murah juga, lebih-lebih lagi apabila kita gunakan lebihan makanan sebagai bahan topping. Kerana bahan yang diperlukan untuk doh pizza cuma empat sahaja.

Kalau nasi goreng merupakan cara orang Malaysia habiskan lebihan makanan, pizza pula mungkin cara orang Itali. Jadi hari ini penulis nak kongsikan cara macam mana nak jadi orang Itali.

BAHAN-BAHAN

BAHAN A
1½ cawan tepung.
1 sudu kecil garam.
5 gram (1½ sudu kecil) yis kering segera.
1 sudu kecil gula (optional)

BAHAN B
½ cawan air.
1 sudu minyak zaitun (optional)

CARA PENYEDIAAN

  1. Campurkan kedua-dua bahan B dan kacau.
  2. Gaulkan kesemua bahan A.
  3. Tuangkan campuran bahan B ke bahan A yang telah digaulkan.
  4. Kacau, kemudian uli sehingga menjadi doh yang anjal dan lembut.
  5. Tempatkan doh di mangkuk yang telah ditepungkan atau diminyakkan, tutup dengan kain atau pembalut plastik di tempat yang tidak sejuk sehingga saiz doh meningkat sekali ganda dalam masa 1 jam.
  6. Bahagikan doh jika perlu, uli sedikit dan bentukkan menjadi bulat, kemudian tutup dan biarkan selama 10 ke 20 minit.

Resipi ini boleh hasilkan sekeping pizza bersaiz 10 inci. Kalau kita suka pizza yang lebih nipis, kita boleh hasilkan 2 keping bersaiz 10 inci, jimat bukan? Kalau buat pizza bersaiz personal yang lebih kecil, mungkin kita boleh buat dalam 4 keping.

Jangan risau kalau rasa doh agak melekit pada langkah 4, boleh tambah sedikit tepung ikut keperluan. Selepas dibiarkan naik lebih dari 1 jam, doh akan menjadi lebih cantik.

Disebabkan kita guna yis kering segera, kita tak perlu aktifkan yis tersebut terlebih dahulu. Tetapi, kalau kita nak guna yis kering aktif atau yis segar, jumlah sukatan adalah berbeza, dan kita perlu aktifkan yis tersebut terlebih dahulu menggunakan air suam dan sedikit gula sehingga berbuih.

Selepas doh dah siap, boleh simpan di dalam peti sejuk sehingga 3 hari, ataupun di dalam penyejuk beku sehingga 3 bulan. Sebelum disimpan, udara di dalam doh mestilah dibuang dan doh perlu dibalut dengan plastik, boleh juga kalau nak sapu minyak dulu.

Post a Comment

To Top