Hentikan Penyebaran Maklumat Palsu, Ikuti 5 Langkah Ini

Mungkin agak sukar untuk sebahagian besar generasi Z dan Alpha untuk bayangkan dunia tanpa internet, ia merupakan generasi di mana maklumat berada di hujung jari. Kewujudan internet telah mengubah corak kerja dan pencarian maklumat sejak daripada kemunculan enjin carian yang pertama, Archie pada tahun 1990. 

Walaupun pencarian pada waktu itu tidak semudah sekarang, suatu perkara yang mungkin generasi Y boleh hubungkan; ia merupakan antara fasa yang menjadikan revolusi internet dan pencarian maklumat dua perkara yang mungkin.

Pada tahun 1995, sebuah enjin carian yang agak popular suatu masa dahulu, Yahoo! telah dilancarkan. Selang dua tahun kemudian, giliran Google pula. Dalam masa beberapa tahun, didorong oleh populariti internet yang semakin melonjak, lebih daripada 10 enjin carian telah dibangunkan.

Namun, kuantiti tidak selalu bermakna kualiti. Hakikatnya, enjin carian yang memudahkan perhubungan antara pengguna internet dan jutaan laman web ini juga dalam masa yang sama telah membuka laluan  kepada pengguna untuk mengakses jutaan maklumat yang tidak sahih.

Ini kerana internet boleh digunakan dan diakses oleh jutaan orang awam, menjadikan pengawalan maklumat agak sukar. Memang mustahil untuk periksa setiap jutaan laman web yang diterbitkan setiap hari.

Walaupun kini enjin carian, berbekalkan perkembangan dalam kecerdasan buatan atau 'artificial intelligence'; menjadi semakin bijak dalam mengutamakan dan memilih laman web yang tepat dan berwibawa, kita masih menghadapi masalah yang sama.

Sebijak mana pun mesen-mesen dalam menterjemah dan menilai isi maklumat di internet, masih banyak juga kelemahannya. Sebab itu kita masih perlu mengambil tanggungjawab untuk menghalang internet daripada dijadikan medium berita palsu, propaganda, ucapan benci (hate speech) dan konspirasi.

JADI LEBIH SKEPTIKAL

Jangan percaya semua yang kita lihat dan baca di internet, walaupun perkara yang positif. Bak kata pepatah inggeris, 'take things with a grain of salt'. Lebih banyak yang kita lihat, dengar dan baca di internet, lebih banyak persoalan yang perlu diutarakan.

BANDINGKAN SUMBER

Setiap kali kita melihat sesuatu di internet, cari sumber lain untuk lakukan pengesahan dan perbandingan. Kalau apa yang kita lihat merupakan sumber tunggal, ataupun ada beberapa sumber yang bercanggah, ada alasan untuk kita ragu-ragu.

NILAI KREDIBILITI SUMBER

Selain daripada mengenal pasti antara fakta dan pendapat, amat penting juga untuk kita menilai kredibiliti sumber. Sebagai contoh, sumber rasmi seperti laman rasmi kerajaan seharusnya lebih dipercayai dan diutamakan berbanding sumber awam seperti blog atau catatan facebook.

SEMAK SEBELUM KONGSI

Jangan kongsi hanya sebab satu-satu perkara nampak baik dan menarik. Jangan kongsi dengan alasan untuk dijadikan penanda supaya mudah untuk kita baca bila ada masa nanti. Jangan kongsi hanya sebab nak jadi orang yang terawal sebarkan berita.

APA FAEDAHNYA?

Katakanlah kita sudah semak, dan maklumat yang kita dapat sememangnya betul, tanya diri kita siapa yang akan mendapat faedah daripada maklumat yang kita akan kongsikan? Dan apa faedahnya? Kadang-kadang kita tak sedar dalam kita kongsikan perkara yang kita tak suka, kita dalam masa yang sama mempromosikan perkara tersebut.

Natijahnya, jangan mudah percaya apa yang dihidangkan kepada kita di internet walaupun ditegaskan ia bersumberkan kajian atau tokoh-tokoh. Terlalu banyak maklumat yang penafsirannya dimanipulasi untuk memberikan gambaran atau perspektif yang tidak tepat.

Dalam tidak sedar, kita mungkin sedang dipergunakan untuk kepentingan tertentu. Malah jika kita masih tidak peduli, lebih ramai akan ambil kesempatan atas sikap kita yang sering mengambil mudah dan bersahaja.

Post a Comment

To Top