Vinnfier Toros 1, Headset Bajet Untuk Gaming yang Murah dengan Kualiti yang Cukup Baik
Sejak banyak habiskan masa di rumah ni, penulis mula menjinak-jinakkan diri dengan permainan bergenre battle royale seperti Free Fire dan PUBG Mobile di telefon pintar, dan juga Apex Legends di komputer.
Untuk bermain permainan battle royale dengan cara yang kompetitif, kita perlukan kualiti audio yang baik untuk mengesan arah dan jarak musuh. Audio yang baik dapat memberikan kelebihan dan deria permainan (game sense) yang lebih baik.
Salah satu caranya adalah dengan menggunakan peranti audio seperti fon telinga (earphone). Namun demikian, fon telinga tidak direka untuk setiap orang, ada pengguna yang mengalami masalah seperti alat yang kerap terjatuh dan sebagainya.
Jadi, beberapa hari yang lepas penulis membuat keputusan untuk membeli sebuah alat dengar (headset) secara atas talian. Tak perlu mahal, asalkan boleh berfungsi dengan cukup baik dan selesa dipakai untuk masa yang lama.
Penulis telah membeli sebuah headset Vinnfier Toros 1 dengan harga RM25 selepas promosi di Lazada. Dari segi harga memang murah. Penghantaran pun cepat, dalam 2 hari je. Walaupun kotak sedikit kemik, barangnya masih elok.
Headset Vinnfier Toros 1 yang penulis beli ni pada asalnya menggunakan kabel tunggal bersaiz 3.5mm, tetapi dibekalkan sekali 'female Y-cable' yang boleh mengasingkan kabel tersebut kepada dua kabel mikrofon dan pembesar suara yang berasingan.
Maksudnya headset yang penulis beli ni boleh digunakan pada telefon pintar dan juga komputer, untung bukan? Sebelum korang beli headset, pastikan betul-betul jenis kabel yang digunakan.
Selain daripada reka bentuk yang menarik dan bertemakan gaming, headset ini juga mempunyai kualiti bunyi yang cukup baik untuk harga yang kita bayar.
Untuk rakaman suara pula, rakamannya jelas dan kuat, cuma kualitinya agak so-so. Untuk komunikasi tak ada masalah, tetapi kalau korang gunakan untuk streaming, rekod nyanyian korang ke apa ke, akan ada sedikit bunyi statik atau 'buzzing'.
Perlu ke keluarkan duit yang banyak untuk beli headset? Bagi penulis, perlu kalau korang berkecimpung dalam dunia e-sport. Tetapi untuk pengguna yang biasa-biasa seperti penulis, yang tak dapat bezakan kualiti audio pada headset berharga RM25 dengan headset berharga RM100, mungkin tak.
Post a Comment