Hello Kitty Carrier Dari McDonald's, Berbaloi ke?

Siapa kata permainan cuma untuk kanak-kanak? Sebenarnya ramai juga orang dewasa yang mengumpul atau bermain permainan sebagai hobi. Setiap permainan ada peminatnya yang tersendiri, dan perkara ini tidak terhad kepada kanak-kanak sahaja.

Antara permainan yang mempunyai fan base atau kumpulan peminat yang besar di Malaysia ialah Hot Wheels, Gunpla dan Lego. Banyak juga permainan yang berasal dari siri kartun popular seperti Micky Mouse, Hello Kitty dan Doraemon.

Pada November 2019, McDonald's Malaysia telah mengeluarkan satu produk dari siri kartun Hello Kitty. Ia merupakan sebuah carrier atau bekas berbentuk Hello Kitty yang boleh dibawa atau digantung pada tempat duduk kereta.

Walaupun secara teknikalnya bukan permainan, ia lebih cenderung ke arah permainan disebabkan oleh reka bentuk Hello Kitty yang diperagakan. Harganya juga bukan murah, di Malaysia ia dijual pada harga RM29.99, manakala di Singapura pula ia dijual pada harga 7.90SGD (RM24).

RM30 hanya untuk sebuah bekas yang boleh muat kentang goreng dan secawan air, berbaloi ke? Tambahan lagi, pembelian juga mesti disekalikan dengan pesanan value meal, menjadikan kos untuk mendapatkan Hello Kitty carrier sekurang-kurangnya RM40.

Terus terang, ia mempunyai kualiti pembuatan yang agak baik. Reka bentuk Hello Kitty-nya memang tepat, dan warnaya juga tidak pudar. Kualiti warnanya yang baik membuatkan ia kelihatan cantik untuk diletakkan di mana-mana sahaja.

Selain boleh dibawa ke mana-mana seperti sebuah beg tangan, ia juga boleh diletakkan pada tempat duduk kereta sebagai ruang untuk kita letakkan makanan dan minuman. Tidak terhad pada kentang goreng dan air dari McDonald's sahaja, asalkan muat kita boleh letak.

Walaupun talinya kelihatan tidak tahan lasak, kalau dipasang dengan cara yang betul ia sebenarnya agak kuat. Pastikan korang pasang dengan cara yang betul kalau taknak tengok air tumpah dalam kereta. Gambar di atas nampak agak sempit sebab pasang dalam kereta Kancil.

Kalau boleh, air jangan penuh dalam cawan. Macam korang boleh tengok, kedudukan Hello Kitty carrier yang penulis pasang agak menyenget bergantung kepada kecondongan kerusi.

Mungkin ada yang fikir harganya agak mahal dan tidak berbaloi, tetapi hakikatnya Hello Kitty carrier ini telah mendapat sambutan yang agak baik sepanjang ia dijual di McDonald's. Sehinggakan orang sanggup beratur panjang untuk dapatkan, itu pun kalau bernasib baik.

Ada juga yang mengambil kesempatan (atau peluang) atas populariti produk tersebut dengan membeli lebih banyak untuk dijual semula pada harga yang lebih tinggi. Pencarian di Shopee menunjukkan yang produk ini kebanyakannya dijual semula pada harga lebih tinggi daripada RM50, walaupun 5 bulan telah berlalu.

Pendapat korang pula macam mana? Berbaloi ke? Kalau ikutkan, hobi-hobi lain pun tak murah juga. Kalau dah minat, apa pun boleh kan? Kalau korang masih berminat dengan produk ni, korang boleh beli secara atas talian di laman web Shopee.

Post a Comment

To Top