Laporan Keputusan SPM 2019, Lebih Baik Berbanding 2018?

Pada tahun 2019, seramai 389,498 calon telah menduduki peperiksaan SPM di 3,313 pusat pemeriksaan seluruh Malaysia. Dari keseluruhan calon tersebut, 2.28% atau seramai 8,876 telah mendapat keputusan yang cemerlang iaitu A+, A atau A- untuk semua mata pelajaran yang diambil.

Di kesempatan ini, penulis hendak mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah mengambil keputusan SPM masing-masing pada 5 Mac yang lepas. Tidak kira apa pun keputusan yang telah diperoleh, ia merupakan refleksi kepada usaha dan titik peluh kita sebagai seorang pelajar dan layak dipuji.

Walaupun peratusan pelajar yang mendapat semua A atau kepujian sedikit membimbangkan, iaitu 22.06% atau seramai 85,914 pelajar dari keseluruhan calon. Ia sebenarnya satu peningkatan sebanyak 0.92% atau 3,118 pelajar berbanding tahun 2018.

Secara keseluruhannya, pencapaian calon untuk tahun 2019 dikatakan lebih baik berbanding calon untuk tahun 2018 dengan gred purata nasional, GPN 4.86 yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Apa yang menjadi perhatian penulis sebenarnya ialah prestasi calon untuk subjek STEM. Walaupun keputusan SPM 2019 menunjukkan peningkatan prestasi untuk mata pelajaran elektif sains dan matematik, ia juga menunjukkan penurunan untuk subjek teras seperti sains dan matematik.

Nilai GPMP yang lebih rendah menunjukkan prestasi yang lebih baik
Walaupun subjek sains dan matematik sering dianggap tidak penting bagi pelajar-pelajar aliran selain sains, contohnya perdagangan dan sastera dengan alasan ia bukan perkara utama yang diperlukan dalam bidang dan kerjaya mereka, ia tetap membimbangkan penulis. 

Bagi penulis, sains dan matematik merupakan subjek yang melatih pemahaman, kreativiti, daya fikir dan penaakulan seseorang pelajar, ada sebab kenapa ia menjadi subjek teras. Untuk menjadi rakyat Malaysia yang lebih bijak dan peka dengan isu-isu semasa, kedua-dua subjek tersebut amatlah penting. 

Mungkin suatu hari nanti penulis akan kupas bagaimana sains dan matematik berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Untuk lihat laporan keputusan SPM 2019, klik sini.

Kepada calon yang tidak berjaya, jangan berputus asa sebab masih ada peluang untuk perbaiki dan tebus kekurangan yang ada. Peperiksaan SPM ulangan diadakan dua kali pada bulan Jun (hanya untuk Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah) dan November setiap tahun. Untuk maklumat berkenaan pendaftaran, klik sini.

Kepada yang berjaya, ambillah sedikit masa untuk meraikan kejayaan korang sebelum korang melangkah ke alam yang jauh lebih mencabar.

Post a Comment

To Top