Masih Ingat Lagi Microsoft Edge? Pesaing Chrome daripada Microsoft yang telah Menggantikan Internet Explorer

Masih ingat lagi pada Internet Explorer? Pengguna-pengguna lama Windows mesti masih ingat pada 'browser' atau pelayar web yang sering menjadi bahan ejekan atas sebab prestasinya yang kurang memuaskan berbanding pelayar web lain seperti Google Chrome, Mozilla Firefox dan Apple Safari.

Demi membawa perubahan pada permainan pelayar web, Microsoft telah memperkenalkan pelayar baharu, Microsoft Edge pada tahun 2015 untuk Windows 10 sebagai ganti kepada Internet Explorer. Namun, Edge mengambil masa yang agak lama, iaitu lebih dari 4 tahun untuk mendapatkan pengguna yang lebih ramai daripada Internet Explorer pada Ogos 2019.

Jika nak dibandingkan antara jumlah bilangan pengguna Microsoft Edge dan Google Chrome, memang jauh berbeza. Untuk tahun 2019, hanya kurang daripada 5% pengguna internet menggunakan Edge dan Internet Explorer, manakala hampir 65% pengguna menggunakan Chrome.

Peratusan pengguna Chrome yang banyak bukan sahaja disebabkan oleh prestasinya yang jauh lebih baik selama ini, tetapi sebahagian besarnya juga disebabkan oleh pengguna telefon pintar Android yang menjadi semakin popular sejak tahun 2010. 

Percaya atau tidak, pada awal tahun 2010, hanya 6% pengguna menggunakan Chrome, manakala 55% pengguna menggunakan Internet Explorer. Melihat keadaannya sekarang, adakah Microsoft masih relevan untuk berada dalam permainan ini?

Sebagai pengguna Edge sejak tahun 2015, penulis boleh jamin yang Microsoft Edge merupakan pelayar web yang jauh lebih baik dari Internet Explorer dari segi prestasi dan pengalaman penggunaan. Edge merupakan pelayar web yang jauh lebih pantas dan ringkas.

Walaupun demikian, kekurangan pemaju yang berminat untuk menyertai Edge menyebabkan Edge kekurangan 'extension' dan sokongan walaupun telah diperkenalkan kepada pengguna Android dan iOS pada tahun 2017. Masalahnya? Ia bukan perisian sumber terbuka. Pada tahun 2017, Windows Phone telah pun terkubur atas sebab yang sama, ia bukan sistem operasi sumber terbuka.

Solusinya? Pada awal tahun 2020, Microsoft telah memperkenalkan kepada umum pelayar web Edge baharu yang berasaskan Chromium, satu usaha yang telah pun bermula seawal April 2019. Dalam kata lain, ia menggunakan 'source code' atau kod sumber yang juga menjadi asas kepada Google Chrome.

Hasilnya, pelayar web Edge yang baharu, ataupun lebih dikenali sebagai Chromium Edge secara teknikal dan teorinya mampu berdiri setanding ataupun lebih baik daripada Google Chrome dari segi prestasi. Bukan itu sahaja, malah 'extension' dari Chrome juga boleh dipasang pada Chromium Edge.

Walaupun Microsoft Edge bukan pelayar web yang paling popular, bagi penulis ia merupakan pelayar web yang paling berpotensi untuk menjadi pesaing Google Chrome. Bila kali terakhir korang guna Microsoft Edge? Apa kata korang cuba bagi peluang ke Microsoft Edge, tak kenal maka tak cinta bukan? 

Pastikan korang dapatkan Microsoft Edge yang terbaharu di laman web rasmi Microsoft, klik sini.

Sumber
  1. https://www.computerworld.com/article/3199425/top-web-browsers-2020-edge-passes-ie-for-the-first-time-4-12-years-after-launch.html
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Microsoft_Edge
  3. https://en.wikipedia.org/wiki/Usage_share_of_web_browsers
  4. https://www.theverge.com/2017/10/10/16452162/windows-phone-history-glorious-failure

Post a Comment

To Top