Kambing Igau Malam di Umang Umang BBQ Steambot, Bukit Kapar, Klang

Umang umang BBQ Steambot
Suatu masa dulu, jarang-jarang kita jumpa restoran yang berasaskan buffet. Salah satu yang penulis pernah pergi ialah Restoran Nelayan di Taman Tasik Titiwangsa. Selepas daripada tahun 2005, bermula daripada pembukaan outlet pertama Seoul Garden di Gurney Plaza, restoran berkonsepkan buffet secara BBQ dan Stimbot semakin dikenali.

Oleh kerana restoran buffet sedia ada pada waktu itu agak mahal, banyak restoran buffet yang menyediakan buffet BBQ dan Stimbot pada harga yang lebih murah telah tumbuh bagaikan cendawan dan membawa kepada populariti konsep tersebut sejak daripada tahun 2010.

Umang umang BBQ Steambot
Tidak jauh dari pekan Meru, di Bukit Kapar ada satu restoran yang menyediakan BBQ dan stimbot secara buffet iaitu restoran Umang Umang BBQ dan Steambot. Kalau masih ingat posting penulis tentang Sate Famili atau Sate Sidek, restoran Umang Umang ni terletak di jalan yang sama juga.

Apa yang menarik tentang restoran Umang Umang ni? Nanti penulis kongsikan di bawah. Apa yang penulis nak bagitau, restoran Umang Umang ni merupakan antara yang terbaik penulis pernah pergi. Seawal tahun 2013 lagi penulis dah jejak kaki ke restoran ni.

01 Harga yang Murah. Pada waktu penulis ke sini, harga untuk dewasa ialah RM25.90, manakala untuk kanak-kanak pula RM11.90. Bagi penulis, harganya tak mahal sebab di sini ada sediakan kambing dan udang.

02 Kambing Igau Malam. Selain daripada kambing dan udang, di sini ada juga ayam, daging, sotong, pepahat, kupang dan kepah. Antara yang menjadi pilihan penulis ialah perapan pada ayam black pepper dan juga kambing igau malam yang merupakan pilihan utama pelanggan yang datang ke sini.

03 Menu yang Pelbagai. Kalau korang tak boleh makan daging atau seafood, ada 18 jenis makanan proses ala yong tau fu seperti filet ketam, sosej, bebola dan lain-lain lagi. Sayur-sayuran seperti kangkung, romaine lettuce, sawi dan brokoli pun ada. Penulis memang suka rebus jagung yang ada di sini. Nasi putih, mi goreng, nasi goreng cina dan bubur kacang hitam pun ada disediakan di sini.

04 Pilihan Air. Pada waktu penulis ke sini, mereka menyediakan 5 jenis pilihan air, air kosong, oren, anggur, kopi dan teh. Dari segi pilihan air, penulis rasa mungkin boleh ditambah baik lagi.

05 Pilihan Sos. Sos juga merupakan perkara yang amat penting selain daripada perapan dalam memberikan pengalaman yang positif kepada pelanggan. Di sini ada pelbagai jenis pilihan sos, antara yang menarik ialah sos lada hitam, sos sambal kicap, sos manis dan juga sos istimewa Umang Umang sendiri.

06 Ais Krim Sebagai Pencuci Mulut. Selain daripada buah tembikai, di sini juga ada disediakan ais krim sebagai pencuci mulut. Untuk dapatkan ais krim, kita boleh buat pesanan kepada pekerja yang ada.

Jadi macam mana? Berbaloi tak? Bagi penulis, harga RM25.90 untuk dewasa, dengan pilihan yang ada memang berbaloi. Tetapi, bergantung juga kepada berapa banyak yang korang boleh makan. Kalau korang boleh makan portion yang bersamaan dengan 3 set nasi kambing bakar pun dah boleh dikira berbaloi.

Antara kekurangan yang penulis rasa boleh diperbaiki, contohnya pada pilihan air dan pencuci mulut. Mungkin boleh sediakan pelbagai jenis air berkarbonat dan juga mesen pengisar ais untuk abc. Makanan yang memberi fokus kepada kanak-kanak juga boleh ditambah baik lagi, contohnya seperti menyediakan bijirin ataupun waffle.

Umang Umang BBQ Steambot
Rating: ★★★★☆

Post a Comment

To Top