Apa yang menarik di Firefly Park Resort Kuala Selangor? Mandi-manda di Kolam Renang dan Melihat Kelip-kelip.

Taman tema air pada kebiasaannya akan menjadi pilihan utama kepada mereka yang mahu bermandi-manda sebagai aktiviti waktu percutian. Ia juga sering menjadi pilihan berbanding pantai ataupun sungai kerana kawasannya yang terkawal, lebih selamat dan lebih bersih. Bukan itu sahaja, malah permainan-permainan yang disediakan di taman tema air seperti Sunway Lagoon, Lost World of Tambun dan Gambang Waterpark juga menjadi daya tarikan kepada remaja dan kanak-kanak khususnya.

Walaupun demikian, bagi sebahagian mereka yang hanya sekadar mahu berenang, dan bukannya untuk bermain permain-permainan yang disediakan di teman tema; harga tiket kebanyakan taman tema yang agak mahal diluar waktu promosi menjadikan ia tidak berbaloi.

Memandangkan Pusat Akuatik Shah Alam agak jauh bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan Kuala Selangor, di sini penulis hendak kongsikan satu tempat yang kita boleh pergi sebagai alternatif.

Beberapa minggu yang lepas penulis telah pergi ke Firefly Park Resort yang terletak di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor. Resort ini ada menyediakan penginapan berupa kabin atau chalet yang berharga daripada RM40 sehingga RM170.

Lebih menarik lagi apabila chalet-chalet yang disediakan dibina di atas tasik buatan yang menjadi habitat kepada haiwan-haiwan seperti itik, kura-kura, ikan koi dan lain-lain lagi. Pengunjung, khususnya kanak-kanak juga boleh memberi makan kepada ikan-ikan yang ada. Makanan ikan juga boleh dibeli di kaunter pada harga serendah RM1. Tidak dibenarkan memancing ye di tasik ni.

Bukan itu sahaja, antara tarikan utama di Firefly Park Resort ini ialah aktiviti melihat kelip-kelip dan juga kolam renangnya yang luas. Aktiviti melihat kelip-kelip bermula dari pukul 7 sehingga 10:30 malam. Harga bagi satu trip atau perjalanan adalah RM13 untuk dewasa dan RM9 untuk kanak-kanak.

Memandangkan penulis pergi pada waktu pagi, sudah tentulah penulis pergi untuk berenang. Resort ini mempunyai kolam renang yang agak luas, sesuai untuk aktiviti basah secara berkumpulan. Pondok juga disediakan untuk ibu bapa berehat dan mengawasi pergerakan anak-anak di dalam kolam.

Harga untuk dewasa ialah RM7, manakala untuk kanak-kanak pula RM5. Bayaran akan dikenakan kepada mereka yang mandi ataupun tidak dan hanya sah untuk satu sesi antara pagi (9AM-12PM) atau petang (2PM-6PM). Bagi penginap kabin ataupun chalet pula, penggunaan kolam adalah percuma.

Walaupun harganya lebih mahal daripada Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam, ia jauh lebih murah berbanding taman tema air, dan mungkin juga lebih dekat dan kurang sibuk. Sekarang, korang yang tinggal berdekatan tak perlu pergi jauh-jauh dah untuk mandi kolam, di Kuala Selangor ada kolam, suasana kampung lagi, memang aman dan damai.

Post a Comment

To Top