Peri-peri, Kari atau Rendang? Burger Ayam Portugal McDonald's dan Sedikit Tips Penggunaan Kiosk Layan Diri

Sebelum penulis mulakan perkongsian hari ini, penulis hendak mengucapkan tahniah kepada Double Cheeseburger dan Quarter Pounder kerana telah memenangi pilihan raya McD yang pertama. Untuk hari ini, penulis hendak kongsikan dua perkara, pertama berkenaan dengan burger yang terbaharu dari McD, dan keduanya berkenaan dengan kiosk layan diri.

Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, McDonald's Malaysia telah memperkenalkan bermacam-macam jenis menu. Antaranya seperti Foldover, Nasi McD bersama kari, dan juga Burger Korea Pedas. Belum cukup 2 bulan sejak McD keluarkan semula Burger Korea, muncul pula satu lagi burger baru dari McD.

Kalau korang rasa terliur tengok gambar burger tadi, itulah Burger Ayam Portugal dari McD yang menjanjikan citarasa Portugis dalam setiap gigitan. Berbentuk lonjong seperti GCB dan Prosperity, ia dijual pada harga RM16.99 untuk satu set. Nak menangis rasa tengok harga walaupun penulis baru gaji.

Jadi apa yang menjadikan ia Portugis? Menurut McD, ia menggunakan sos Portugis tanpa memberitahu apa sebenarnya sos tersebut, mungkin peri-peri. Sebelum ini McD pernah keluarkan Burger Rio yang menggunakan sos harissa, dan juga Burger Samurai yang menggunakan sos teriyaki.

Sos Portugis yang melapisi keseluruhan kepingan ayam mempunyai rasa seakan-akan rendang, ataupun kari yang berlemak. Terus terang penulis tak boleh 'brain' atau proses apa sebenarnya sos tersebut. Walaupun tidak pedas, mungkin ianya peri-peri yang telah diubah suai mengikut citarasa rakyat Malaysia. Ia telah menjadikan burger ini kaya dengan rasa dan berlemak. Keunikannya mungkin boleh tandingi Burger Sate dari Burgerking yang penulis cuba dahulu.

via soyacincau.com
Satu lagi, kalau perasan, set yang penulis beli datang dengan jus oren. Sebenarnya set ini pada asalnya tidak datang bersama dengan jus oren, tetapi penulis telah mengubah suai pesanan penulis menggunakan kiosk layan diri yang disediakan pihak McD. Melalui kiosk tersebut, kita lebih bebas membuat pengubah suaian kepada pesanan kita tanpa perlu berasa segan silu. 

Sebagai contoh, kita boleh tukar kentang goreng kepada coleslaw ataupun jagung. Kita juga boleh tukar air kita kepada kopi, milo ataupun jus oren. Sebarang perubahan harga akan dipaparkan terus pada skrin. 

Untuk pesanan yang penulis buat contohnya, dengan menukarkan air berkarbonat bersaiz sederhana kepada jus oren minute maid yang bersaiz kecil, penulis hanya perlu tambah sebanyak 10 sen daripada harga set yang asal, menjadikannya RM17.10 termasuk cukai. Kita juga boleh pilih untuk membayar di kaunter, ataupun di kiosk tersebut menggunakan kad debit atau kredit. Pesanan yang dibuat menggunakan kiosk juga akan dihantar terus ke meja. 

Mudah bukan? Jadi kepada sesiapa yang berkesempatan untuk menggunakan kiosk layan diri, rajin-rajinlah belajar untuk guna. Secara keseluruhan, amat berpuas hati, bannya yang diselaputi serbuk cili kasar memberikan sedikit profil rasa yang berlainan, sayurannya pula memberikan tekstur rangup. Kalau dibandingkan antara Burger Portugal dan Burger Korea, penulis lebih gemarkan Burger Portugal. Selamat mencuba.

edit: Burger Portugis kepada Burger Portugal

p.s. Klau ikut penulis, Portugal merujuk kepada negara, Portugis pula merujuk kepada orangnya atau apa yang berkait dengan negara Portugal. Sebab tu sebelum ni penulis terjemah Portuguese sebagai Portugis, bukannya Portugal pada nama burger.

Rating: ⭐⭐⭐⭐☆

Post a Comment

To Top