Nasi Lemak McD dan Ayam Goreng McD Ekstra Pedas, 3x Pedas Yang Bikin Panas Perut

Pada tahun lepas, penulis ada mengulas berkenaan dengan Nasi McD. Antara kekurangan yang ada pada Nasi McD pada waktu itu adalah pada rasa sambalnya yang agak masam. Rata-rata pelanggan juga memberikan maklum balas yang sama

Pada waktu itu juga, telah berlaku kekeliruan samada Nasi McD merupakan nasi ayam ataupun nasi lemak kerana ia disediakan bersama sambal, dan boleh didapati juga bersama telur. Sebenarnya Nasi McD bukanlah kedua-duanya. Ia tidak menggunakan santan seperti nasi lemak, dan pengalaman penulis belum pernah lagi jumpa nasi ayam yang disediakan bersama telur.

Kali ini, McD benar-benar telah memperkenalkan Nasi Lemak McD sebagai antara menu terbaharu mereka selepas Burger Portugal. Nasi Lemak McD yang dijual boleh didapati sama ada dengan seketul ataupun dua ketul Ayam Goreng McD masing-masing dengan harga RM12.99 dan RM15.99 bersama air.

Bukan itu sahaja, McD juga ada mengeluarkan variasi baharu untuk Ayam Goreng McD iaitu Ayam Goreng McD Ekstra Pedas dengan tahap kepedasan 3 kali ganda daripada biasa, dan kita diberi pilihan untuk membeli Nasi Lemak McD bersama dengan Ayam Goreng McD Ekstra Pedas. Sudah tentu, penulis akan membuat pilihan tersebut kerana penulis akan dapat mencuba kedua-dua menu dalam masa yang sama.

Penulis telah memesan Nasi Lemak McD dengan Ayam Goreng McD Ekstra Pedas bersama dengan sebotol Air Minuman. Harga yang penulis bayar kurang RM1.40 dari harga asal kerana penukaran yang penulis lakukan terhadap pilihan air.

Pada pandangan pertama, memang sama seperti nasi lemak. Nampaknya McD bukan olok-olok, dan agak serius apabila mereka membuat keputusan untuk menjual Nasi Lemak McD. Selain daripada kacang, bahan-bahan lain seperti ikan bilis, sambal, telur dan timun ada pada Nasi Lemak McD. Terus terang, aromanya seakan-akan nasi lemak yang kita boleh dapati di luar.

Pada suapan pertama, Nasi Lemak McD telah membuktikan bahawa ia jauh lebih baik dari Nasi McD. Rasa santan pada nasinya jelas, ikan bilisnya rangup, dan sambalnya seperti sambal yang ditumis dan bukannya diproses. Berbanding sambal pada Nasi McD yang seakan-akan pes atau sos, sambal pada Nasi Lemak McD mempunyai tekstur yang bercampur antara cair dan pejal.

Secara keseluruhan, penulis memang berpuas hati, rasanya tidak seperti makanan fastfood, malah mungkin tidak salah juga untuk mengatakan bahawa ia lebih baik daripada sebahagian nasi lemak yang kita boleh dapatkan diluar sana. Tambahan pula ia dimakan dengan Ayam Goreng McD yang rangup, ia mengingatkan penulis kepada nasi lemak Village Park yang penulis pernah cuba di PJ lama dahulu.

Mungkin citarasa penulis berbeza dengan orang lain. Hanya satu cara sahaja untuk pastikan ia sedap atau tidak, iaitu dengan mencubanya sendiri. Berkenaan Ayam Goreng Ekstra Pedas pula, ia memang lebih pedas, tetapi ia pedas yang kita masih boleh nikmati. Kepada sesiapa yang ada sedikit kerisauan untuk mencuba, tidak perlu risau kerana kepedasannya tidaklah melampau.

Sedikit amaran, walaupun rasanya tidak sepedas mi Samyang ataupun Maggi Pedas Giler, ia tetap membuatkan perut penulis rasa panas dan tidak selesa. 

Nasi Lemak McD
Rating: ⭐⭐⭐⭐☆

Ayam Goreng McD Ekstra Pedas
Rating: ⭐⭐⭐⭐☆

Post a Comment

To Top