Salmon Dari Hokkaido? Burger Salmon Mentaiko Diperkenalkan Oleh Burger King untuk Penggemar Makanan Jepun.

Tanya sesiapa sahaja berkenaan burger kegemaran mereka, rata-rata akan memilih burger ayam ataupun daging, jarang sekali kita jumpa mereka yang gemar akan burger ikan. Ini bukan masanya untuk debatkan sama ada burger ikan merupakan burger ataupun sandwich, tetapi ia merupakan fakta bahawa penulis merupakan salah seorang penggemar burger ikan.

Sebelum ini, Burger King telah memperkenalkan banyak jenis burger edisi terhad contohnya seperti burger rendang, hainan dan tandoori yang penulis sendiri; mungkin atas sebab kurangnya daya tarikan selain dari faktor kewangan, tidak rasa tertarik untuk cuba. Terkini, Burger King telah keluarkan dua burger baharu yang menggunakan sos mentaiko.

Salah satu daripada burger tersebut merupakan burger ikan salmon yang katanya dari Hokkaido. Atas rasa cinta penulis terhadap makanan jepun dan juga burger ikan, penulis tanpa berfikir panjang telah ke Burger King untuk mencuba sendiri rasa burger ikan salmon itu walaupun harganya bagi penulis agak mahal.

Pada harga yang premium, sudah tentu penulis harapkan suatu yang premium. Burger yang berharga RM14.50 untuk satu set ini dibungkus menggunakan sebuah kotak yang kemas. Tetapi, yang pastinya, burger ikan tersebut tidak di'flame-grilled' seperti yang tertera pada kotak kerana burger ikan itu sebenarnya digoreng bersama serbuk roti.

Agak berpuas hati dengan persembahan makanan yang disediakan, bahan disusun dengan rapi dan kelihatan kemas. Selain daripada menggunakan sos mentaiko, ia juga dihiasi dengan sekeping keju dan sayur-sayuran seperti bawang, tomato dan salad iceberg (iceberg lettuce). Mentaiko merupakan telur ikan pollock Alaska, bagi mereka yang biasa makan sushi, mungkin sudah biasa dengan rasa sos mentaiko.

Patty atau kepingan ikan yang digunakan bagi penulis agak tebal dan mengenyangkan. Cuma penulis tidak pasti sama ada ia 100% menggunakan ikan salmon kerana hanya sebahagian daripada kepingan ikan tersebut mempunyai ciri-ciri isi ikan salmon yang berwarna oren. Secara logik, agak mustahil mereka menggunakan 100% ikan salmon kerana harga ikan salmon yang agak mahal.

Secara keseluruhan, memang sedap dan disyorkan untuk korang cuba. Walaupun demikian, penulis perlu akui bahawa rasa ikan salmon dari kepingan ikan tersebut tidak berapa menonjol, dan ini agak mudah untuk dikesan terutamanya oleh mereka yang sudah biasa dengan rasa ikan salmon. Yang menjadikan rasa burger ini lebih menonjol; pada pendapat penulis, adalah pada sos mentaiko yang digunakan.

p.s. Mungkin agak bersifat paradoks, kerana walaupun penulis bukan penggemar sayur, perkara pertama yang penulis amat suka berkenaan dengan Burger King adalah pada sayur yang disediakan pada burger mereka seperti pada Whopper dan Tendercrisp. Bukan sahaja sayur yang digunakan kelihatan segar, ada sesuatu pada pemilihan dan susunan sayur yang membuatkan burger mereka kelihatan lebih berseri berbanding burger McD.

Rating: ⭐⭐⭐⭐☆

Post a Comment

To Top