Pak Man Mee Kuah Ketam Cherok To'kun, Bukit Mertajam

Photo by fb.com/meekuahketamtokun/

Selain daripada Char Kue Teow basah Bukit Mertajam, kalau balik Pulau Pinang memang tak sah kalau tak makan Mee Kuah. Kalau sebut mee kuah (atau ejaan betulnya mi kuah), mi kuah yang terkenal seharusnya mi kuah udang dan juga ketam.

Sejujurnya penulis bukan penggemar mi, tetapi antara mi kuah terbaik yang penulis pernah makan ialah yang dijual di sebuah warung di Cherok To'kun. Terletak di selekoh simpang tiga menuju ke Hutan Lipur Bukit Mertajam, warung kecil ini sudah bertapak di sini semenjak dari penulis kecil lagi.

Photo by fb.com/meekuahketamtokun/

Selain daripada mi kuah ketam, terdapat juga pelbagai menu lain di sini seperti kuetiau, bihun dan mi kuah udang; mi dan kuetiau goreng; dan juga pasembur. Bukan itu sahaja, memandangkan agak susah untuk meletakkan kenderaan di sekitar warung Pak Man Mee Kuah Ketam, mereka ada menyediakan servis penghantaran ke kawasan berhampiran.

Makanan yang dihantar juga dibungkus dengan amat kemas menggunakan bekas makanan ataupun kotak. Bila teringin, tapi tiada kenderaan ataupun tak mahu hadap kesesakan jalan raya, tunggu di rumah sahaja makanan akan sampai dalam keadaan yang masih panas.

Berapa bulan yang lepas, penulis pun ada cuba perkhidmatan penghantaran dari Pak Man Mee Kuah Ketam. Dari segi kualiti dan kekemasan memang terbaik. Pasembur sotong dan kuetiau goreng daging yang dipesan juga amat sedap.

sumber google streetview tahun 2015
Kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba bolehlah ke Cherok To'kun apabila melawat Pulau Pinang. Pagi-pagi sebelum ke warung, boleh melawat Hutan Rimba Bukit Mertajam ataupun Cherok To'kun Nature Park.

sumber travelopy
Hanya sedikit peringatan, berikutan lokasi warung yang terletak berdekatan dengan jalan utama, memang agak susah untuk mendapatkan parkir. Selain itu, ruangan kedai juga agak sempit ketika ramai orang.

Boleh waze atau gunakan google maps untuk sampai ke warung Pak Man Mee Kuah Ketam To'kun. Kalau berada di kawasan berhampiran dan mempunyai kesukaran untuk ke warung Pak Man Mee Kuah Ketam bolehlah gunakan khidmat penghantaran yang disediakan.

Boleh layari laman facebook Pak Man Mee Kuah Ketam untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut dan info terkini berkenaan menu, penghantaran dan sebagainya. Jangan lupa cuba kalau ke Pulau Pinang, memang berpatutan dan puas hati.

p.s. penggunaan perkataan rojak di Pulau Pinang mungkin sedikit berbeza berbanding di negeri-negeri lain. Rojak di pulau pinang bersamaan dengan rojak buah, manakala rojak yang terdiri daripada pelbagai jenis gorengan seperti cucur udang, kentang dan sebagainya itu pula dipanggil pasembur.

Sumber gambar utama dari fb.com/meekuahketamtokun/

Post a Comment

To Top