Burger Korea Pedas McDonald's Kembali Menyengat, Kini Dengan Kepingan Ayam

Sebelum ini, McDonald's Malaysia pernah memperkenalkan Burger Korea Pedas (Spicy Korean Burger) yang dihidang bersama dengan kepingan daging. Malangnya, penulis tidak berpeluang untuk mencuba kerana harganya yang agak mahal iaitu RM15.99 satu set.

Menjelang Aidilfitri tahun ini, McDonald's Malaysia sekali lagi mengeluarkan Burger Korea Pedas. Bukan itu sahaja, malah pada tahun ini kita juga diberikan pilihan untuk mendapatkan Burger Korea Pedas bersama dengan kepingan ayam ataupun daging.

Antara perkara yang menarik tentang Burger Korea Pedas adalah roti atau bannya yang berwarna hitam arang. Selain itu, kepingan ayam atau dagingnya pula diperasakan dengan perisa kimchi, satu rasa yang agak sinonim dengan negara Korea. Yang tidak menarik pula, bagi penulis hanyalah kotaknya jika dibandingkan dengan kotak yang digunakan berapa tahun lalu.

Walaupun harganya masih RM15.99 untuk satu set sederhana, kali ini penulis berasa enggan untuk melepaskan peluang mencuba burger ini. Memandangkan Korea juga terkenal dengan buldak (fire chicken) -- sebuah masakan ayam yang pedas, penulis telah membuat keputusan untuk mencuba Burger Korea Pedas bersama ayam.

Jadi bagaimanakah rasa Burger Korea Pedas? Ia tidak pedas, mungkin hanya sedikit bayangan pedas. Roti ban arangnya juga tidak mempunyai rasa yang berbeza dengan roti ban biasa, tetapi apa yang menjadikan penulis tertarik dengan burger ini adalah pada rasa sos dan kepingan ayam yang bertemakan kimchi.

Walaupun penulis sedikit kecewa kerana ia tidak sepedas yang disangkakan, kombinasi kepingan ayam dan sos berperisa kimchi serta bawang panggang amat sedap dan sangat menyelerakan. Salad dan sayur campuran yang digunakan juga kelihatan segar dan memberikan warna yang menarik.

Jadi apa tunggu lagi, kalau rasa RM15.99 itu agak mahal, mungkin boleh beli secara ala carte pada harga yang lebih murah. Buat masa ini, penulis belum lagi berhasrat untuk mencuba Burger Korea Pedas bersama daging. Ada siapa-siapa yang dah cuba?

Post a Comment

To Top