Pengeluar Susu Kurma Kegemaran Ramai, Farm Fresh Merupakan Jenama Produk Tenusu Syarikat Milik Malaysia.

Baru-baru ini telah tular satu hantaran facebook yang telah membawa satu gambaran buruk bersifat perkauman kepada jenama Farm Fresh. Walaupun hantaran tersebut secara dasarnya memberikan maklumat yang betul berkenaan Farm Fresh, malangnya ia tidak memberikan gambaran sebenar tentang Farm Fresh, dan secara tidak langsung ia telah menjemput pelbagai tafsiran tidak enak dari netizen.

Hantaran tersebut mengatakan bahawa Farm Fresh diasaskan oleh Loi Tuan Ee yang berasal dari Perak dan ramai menyangkakan bahawa Farm Fresh merupakan produk orang Melayu. Ianya benar, namun demikian, ia tidak bermakna bahawa ia produk orang Cina juga. Sejarah Farm Fresh amat penting untuk kita ketahui status sebenar Farm Fresh.

Jadi siapakah sebenarnya pemilik Farm Fresh? Menurut COO syarikat yang memiliki jenama Farm Fresh saudara Azmi Zainal, jenama Farm Fresh adalah 100% dimiliki oleh The Holstein Milk Company. Syarikat itu pula dimiliki oleh beberapa pemegang saham, antaranya saudara Loi selaku CEO, saudara Ganesh sebagai CFO dan saudara Azmi Zainal sendiri sebagai COO. Selain itu, Khazanah Nasional Berhad yang merupakan milik kerajaan Malaysia juga merupakan salah satu pemegang saham syarikat tersebut.

Oleh yang demikian, selain daripada kejayaan Farm Fresh memberikan peluang pekerjaan kepada 634 orang yang mana 70% daripadanya adalah berbangsa Melayu, ia juga amat jelas bahawa Farm Fresh merupakan produk milik Malaysia yang kita harus sokong tanpa prejudis.

Buat pengetahuan semua, dalam masa 6 tahun sahaja, Farm Fresh yang juga pengeluar susu kurma kegemaran ramai ini mampu bersaing dengan jenama-jenama produk tenusu sedia ada dan menjadi sebuah jenama yang dekat dengan hati rakyat Malaysia.

Konklusinya, Farm Fresh bukan jenama yang dimiliki oleh mana-mana kaum, ia merupakan jenama yang dimiliki syarikat Malaysia. Ia wajar dicontohi, dan sokongan kita amatlah penting dalam memastikan jenama Farm Fresh dapat pergi lebih jauh.

Terkini, pemilik hantaran facebook tersebut telah memohon maaf dan menurunkan hantaran yang telah membawa salah faham terhadap jenama Farm Fresh tersebut. Saudara Azmi Zainal juga telah membuat keputusan untuk tidak mengenakan saman terhadap pemilik hantaran tersebut.

Sejarah Farm Fresh juga boleh dibaca di pautan ini.

Post a Comment

To Top