Adakah Pendapatan Bulanan Kita Mencukupi? Belanjawanku KWSP, Sebuah Panduan Untuk Merancang Perbelanjaan Bulanan.

Pada Mac lepas, KWSP ataupun EPF dengan kerjasama Universiti Malaya telah mengeluarkan satu "panduan yang menunjukkan perbelanjaan minimum bulanan atas setiap kategori barangan dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah di Malaysia". Walaupun panduan tersebut boleh digunakan untuk merancang perbelanjaan bulanan, perlu diingatkan bahawa ia berdasarkan perbelanjaan penduduk di Lembah Klang.

Belanjawanku merupakan panduan yang memberi tumpuan kepada perbelanjaan minima untuk keperluan-keperluan yang dirasakan penting dalam mencapai taraf hidup yang agak baik. Panduan tersebut bukan sahaja betujuan untuk memastikan survival atau kemandirian suatu kumpulan pengguna, malah ia juga memberi penekanan terhadap kesejahteraan sosial pengguna tersebut.

Oleh yang demikian, panduan ini tidak membataskan panduan hanya untuk keperluan asas sahaja, malah ia juga mengambil kira kategori lain seperti penyertaan sosial dan perbelanjaan budi bicara ataupun kemahuan yang dianggap perlu dalam mewujudkan kesejahteraan sosial.

Enam kumpulan pengguna yang menjadi tumpuan kajian dan panduan ialah bujang yang menggunakan pengangkutan awam atau berkereta, pasangan berkahwin yang belum mempunyai anak, seorang atau dua orang anak, dan akhirnya pasangan warga tua.

Menurut Belanjawanku, perbelanjaan minima yang diperlukan oleh seorang bujang yang menaiki pengangkutan awam adalah sebanyak RM1870, manakala bagi seorang bujang yang menaiki kenderaan sendiri pula sebanyak RM2490. Untuk pasangan yang berkahwin dan masih belum mempunyai anak, perbelanjaan minima yang diperlukan adalah sebanyak RM4420, dengan pertambahan sebanyak RM1100 secara kasar untuk setiap seorang anak. Bagi pasangan warga tua pula, perbelanjaan yang diperlukan lebih sedikit iaitu sebanyak RM3090.

Menurut Belanjawanku juga, sebahagian besar perbelanjaan adalah pada makanan, rumah, pengangkutan dan penjagaan kanak-kanak. Bergantung kepada bilangan ahli keluarga, perbelanjaan untuk makanan juga boleh melebihi perbelanjaan untuk perumahan atau pengangkutan. Sila rujuk gambar di atas untuk pecahan perbelanjaan mengikut kategori pengguna dan barangan atau servis.

Walaupun Belanjawanku bertujuan untuk dijadikan sebagai panduan perbelanjaan oleh pengguna, ingin diingatkan sekali lagi bahawa Belanjawanku dihasilkan berdasarkan dapatan kajian perbelanjaan penduduk di sekitar Lembah Klang. Bergantung kepada tempat tinggal masing-masing, perbelanjaan yang diperlukan mungkin berbeza, contohnya seperti di kawasan luar bandar yang kos sara hidupnya lebih rendah mungkin perlukan perbelanjaan kurang daripada apa yang dicatatkan.

Bukan itu sahaja, Belanjawanku juga ada menetapkan beberapa anggapan seperti (1) perumahan untuk bujang adalah berdasarkan bilik sewa, (2) anggaran jarak perjalanan ke tempat kerja adalah sejauh 30KM, (3) pasangan hanya mempunyai sebuah kereta dan sebuah motosikal, dan juga (4) pengguna bijak membuat keputusan dalam berbelanja.

Melalui dapatan Belanjawanku juga, kita boleh lihat bahawa masih ramai yang berpendapatan lebih rendah daripada yang diperlukan. Menurut laporan penyiasatan pendapatan isi rumah dan kemudahan asas tahun 2016, golongan B40 mempunyai pendapatan median isi rumah sebanyak RM3000, iaitu lebih rendah daripada perbelanjaan minima yang diperlukan oleh pasangan yang berkahwin untuk mencapai taraf hidup yang agak baik.

Malah, kita boleh lihat bahawa gaji minima RM1100 juga jauh lebih rendah daripada panduan perbelanjaan minima untuk bujang yang tidak berkenderaan sendiri. Walaupun dengan hanya ambil kira keperluan tanpa mengambil kira simpanan, seorang bujang yang tidak berkenderaan sendiri masih memerlukan sebanyak RM1180.

Diharapkan dengan panduan ini, kita akan jadi lebih bijak dalam mengatur perbelanjaan bulanan kita. Untuk maklumat yang lebih lanjut boleh muat turun panduan Belanjawanku, klik sini.

Post a Comment

To Top