Mari Meriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 Daripada 29 Mac ke 7 April 2019

pesta buku antarabangsa kuala lumpur 2019
Mulai hari ini 29 Mac sehingga 7 April 2019, mereka yang berkesempatan boleh mula memeriahkan bangunan Putra World Trade Center (PWTC) untuk menghadiri acara tahunan yang sering ditunggu-tunggu oleh pencinta buku seluruh Malaysia iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019).

Sekali lagi, PBAKL 2019 telah diadakan di PWTC, menunjukkan bahawa pengunjung masih belum bersedia untuk memindahkan acara tersebut ke MAEPS Serdang seperti yang dilakukan pada tahun 2016. Penulis pun bersetuju jika acara ini diteruskan di PWTC kerana kawasannya yang lebih mudah untuk dicapai menggunakan pengangkutan awam.

Sebelum ke PBAKL 2019 yang menyasarkan seramai 1.5 juta pengunjung, amatlah wajar untuk kita merancang lawatan tersebut sebagai persediaan. Di sini penulis sediakan beberapa maklumat berkenan PBAKL 2019 sebagai rujukan pengunjung yang bercadang untuk ke acara tersebut.

01 Sediakan Wang yang Mencukupi

Ringgit Malaysia -Sumber Berita Harian-
Pengunjung diharapkan supaya menyediakan wang yang mencukupi, ini termasuklah perbelanjaan dari segi pengangkutan, makan minum dan juga acara (buku, alat tulis, dsb). Selain itu, walaupun kita boleh menggunakan kad debit, kad kredit, TnG ataupun TnG eWallet untuk perbelanjaan, wajar juga untuk kita sediakan wang kertas sekadar yang kita rasa cukup sebagai sokongan untuk keadaan yang memerlukan.  Mengikut pengalaman penulis yang lepas, pengangkutan awam agak sesak dan penggunaan TnG amatlah digalakkan.

02 Sediakan Beg yang Sesuai

Pada PBAKL 2019 ini juga, kita tidak digalakkan untuk menggunakan beg plastik, malah pempamer atau exhibitor juga tidak digalakkan untuk menggunakan beg plastik. Oleh itu, pengunjung diminta untuk menyediakan beg sendiri yang sesuai seperti beg kitar semula, beg galas, beg troli dan sebagainya. Bagi sesiapa yang terlupa, penulis yakin akan ada exhibitor yang akan menjual produk mereka bersama dengan beg kitar semula ataupun 'tote bag'.

03 Sahkan Tempat dan Kedudukan Acara

Diingatkan semula, acara diadakan di PWTC, sama seperti tahun yang lalu. Bagi pengunjung yang datang buat kali pertama, boleh rujuk peta di atas.

04 Kenal Pasti Pengangkutan yang Sesuai

LRT
Bagaimanakah cara ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur PBAKL 2019? Jika pengunjung membawa orang tua ataupun OKU yang berkerusi roda, pengangkutan awam bukanlah pilihan yang terbaik jika dilihat dari segi keselesaan. Walaupun demikian, kita boleh jangkakan bahawa trafik akan bergerak perlahan pada waktu kemuncak kerana PWTC terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur, jadi kepada sesiapa yang datang bersendirian, tidak membawa keluarga, ataupun tidak mahu menempuh trafik, penggunaan pengangkutan awam adalah digalakkan.

Berdekatan dengan PWTC ada dua stesen pengangkutan awam iaitu Stesen LRT PWTC, dan juga Stesen KTM Putra. Daripada Stesen LRT PWTC pengunjung hanya perlu berjalan dalam 200 meter untuk tiba di PWTC, manakala daripada stesen KTM Putra pula pengunjung perlu berjalan dalam 500 meter.

Pengunjung boleh merujuk peta transit rel di atas untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk ke PWTC menggunakan KTM, LRT, Monorel ataupun MRT. (1) Untuk KTM, hanya perlu berhenti di stesen pertukaran Putra. (2) Untuk LRT pula, daripada laluan Ampang dan Sri Petaling boleh terus ke stesen PWTC. Jika pengunjung datang daripada laluan kelana jaya, perlu melakukan pertukaran di stesen Masjid Jamek ke laluan Ampang/Sri Petaling sebelum ke PWTC. (3) Pengunjung yang menggunakan monorel boleh ke stesen Titiwangsa terlebih dahulu untuk menaiki LRT ke PWTC. (4) Untuk pengguna MRT pula, boleh ke stesen Maluri atau Merdeka, untuk pertukaran ke LRT laluan Ampang/Sri Petaling sebelum ke PWTC. Boleh juga ke Stesen KTM Sungai Buloh sebelum ke stesen KTM Putra.

Pengunjung juga boleh gunakan laman web myrapid untuk mengetahui cara untuk sampai ke PWTC dengan menggunakan bas. Hanya perlu letakkan tempat asal dan destinasi. Untuk ke laman web tersebut, boleh tekan pautan ini.

05 Jaga Keselamatan Diri dan Harta Peribadi

Akhir kata, yang paling penting adalah untuk sentiasa memastikan keselamatan diri dan barang peribadi dijaga sebaik-baiknya.

Harap posting yang tidak seberapa ini dapat membantu pengunjung-pengunjung sedikit sebanyak mempersediakan diri untuk ke PBAKL 2019.

Post a Comment

To Top