Pendakian Bukit Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam Buat Kali Pertama

Pada cuti yang lalu, penulis banyak menghabiskan masa penulis bersama keluarga di Pulau Pinang. Sepanjang satu minggu berada di kampung, penulis telah dapat banyak bahan untuk penulis kongsikan di dalam blog cuma masa sahaja belum memberi kesempatan. 

Berterima kasihlah kepada Tahun Baru Cina kerana tanpa perayaan tersebut mungkin penulis masih belum berkesempatan untuk pulang ke kampung. Selain daripada itu, walaupun agak lewat, penulis tetap ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina bagi pembaca-pembaca yang berbangsa cina.

-sumber TrekEarth-
Dalam tempoh 1 minggu, penulis berkesempatan untuk menaiki ataupun mendaki dua buah bukit iaitu Bukit Langkap ataupun juga dikenali sebagai Bukit Suling (Suling Hill) dan juga Bukit Tok Kun di Bukit Mertajam. Apa yang penulis hendak kongsikan pada hari ini ialah tentang Bukit Cherok Tok Kun yang lebih tinggi berbanding Bukit Suling.

Untuk menaiki Bukit Cherok Tok Kun, kita haruslah pergi ke Taman Rimba ataupun Hutan Lipur Bukit Mertajam (Cherok Tok Kun Nature Park) yang bertempat di Bukit Mertajam. Berdekatan sahaja dengan warung terkenal Pak Man Mee Kuah Ketam To'kun.

Daripada sini ada beberapa laluan yang boleh dipilih untuk sampai ke puncak bukit, melalui jalan bertar ataupun denai hutan. Penulis pilih untuk naik melalui denai hutan dan turun melalui jalan bertar. Sedikit amaran, ada laluan di denai hutan yang agak tinggi dan bahaya jika tidak dilalui dengan penuh berhati-hati.

Pengalaman pertama kali menaiki Bukit Tok Kun walaupun memenatkan amatlah menyegarkan. Penulis bukan seorang hiker, kali terakhir menaiki bukit pun hampir satu tahun lepas di Bukit Panorama Kuantan. Untuk sampai ke puncak, perjalan yang dianggarkan berjarak 3.5km mengambil masa hampir 1 jam setengah.

Bagi sesiapa yang suka melihat alam semulajadi, bolehlah cuba naik melalui denai hutan. Walaupun demikian, laluan denai hutan tidak sampai terus ke puncak malah akan bertemu dengan jalan bertar pada satu stesyen. 

Sebelum sampai ke puncak pula akan ada satu stesyen di mana pelawat boleh melihat pemandangan ke arah Empangan Mengkuang. Jadi bagi mereka yang hendak melihat pemandangan, bolehlah berhenti seketika di stesyen tersebut kerana di puncak nanti cuma ada menara telekomunikasi.

Pemandang di puncak tidaklah megah, hanya ada menara, tetapi tetap menjadi satu kepuasan kerana berjaya ke puncak walaupun ini pertama kali cuba naik tanpa membuat apa-apa perancangan yang teliti. Terus terang pada hari penulis naik bukit ni, penulis memang tak tahu tentang jarak perjalanan yang bakal dilalui sebab penulis cuma ikut orang lain ke sini.

Pendakian melalui jalan bertar juga lebih santai, selamat dan disyorkan untuk pendakian bersama keluarga. Selain daripada aktiviti pendakian, ada juga aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti mountain biking dan juga mandi manda di sungai semulajadi yang telah diubah suai.

Puas hati memang puas hati, tapi pedih kesan daripada naik bukit ni masih terasa lagi sehingga sekarang di peha dan betis (maklumlah orang jarang bersukan). Boleh jadi satu tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti bersama keluarga, tetapi perlu diberi sedikit peringatan untuk diri kita semua untuk tidak membuang sampah merata-rata di kawasan ini, supaya keindahan alam di hutan ini dapat dijaga dan dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Post a Comment

To Top