Soto Bahan Bersepah, Soto Mak Koi Indera Mahkota Kuantan (CLOSED)

Penulis bukanlah penggemar makanan atau lauk yang berunsurkan sup ataupun kuah. Tetapi, sekali sekala adalah juga teringin hendak mencuba makanan seperti Soto. Memandangkan di kawasan Indera Mahkota 7 (IM 7) ada satu restoran soto baru dibuka, maka penulis pun mengambil kesempatan ini untuk mencuba.

Restoran Soto Mak Koi yang pernah terletak di IM7 ni telah pun ditutup.

Restoran yang diberi nama Soto Mak Koi dan terletak berhadapan dengan Hotel Sri Manja IM 7 ini telah beroperasi sejak daripada 16 Disember 2018. Selain daripada soto, ada juga crepe durian, kepada peminat buah durian, bolehlah cuba crepe durian Zaty Salem yang berharga RM5 sebungkus.

Apa yang istimewanya soto di restoran ini adalah pada pilihan dan bahan yang datang bersama dengan soto tersebut. Pelanggan boleh memilih antara Mee Kuning, Bihun, Kue Teow, Bubur, Maggi, dan Nasi Impit untuk dimakan dengan kuah soto, semuanya pada harga RM6.

Walaupun kebiasaannya penulis akan makan soto bersama dengan nasi impit, kali ini penulis memilih untuk makan bersama dengan kue teow. Untuk air pula, penulis cuma pesan air mineral yang berharga RM1. Selalunya kalau penulis makan soto, hanya ada pilihan antara ayam ataupun daging, tapi di restoran ini kita boleh dapat kedua-duanya.

Antara bahan yang ada pada soto ialah daging, meatball, ayam, ikan bilis, begedil, limau dan juga taugeh. Kalau rasa tak cukup, boleh pesan 'add-on' seperti begedil daging, telur goyang, meatball dan juga perut dengan harga RM1 setiap satu pilihan.

Walaupun penulis sebenarnya penggemar ayam, daripada banyak-banyak bahan tersebut, penulis paling gemar daging yang disediakan, memang lembut. Selain itu, bebola dagingnya juga cukup besar. Cuma penulis rasa penulis perlu minta taugeh dikurangkan sedikit untuk waktu kemudian penulis ke sini.

Malah, soto juga bertambah lebih sedap apabila dinikmati bersama dengan sambal ataupun lada kicap. Walaupun ada diberikan amaran bahawa lada kicap tersebut pedas, bagi penulis tidaklah begitu pedas, mungkin kepedasan cili bergantung pada kualiti cili dan musim.

Sejujurnya, penulis memang berpuas hati dengan apa yang penulis dapat dengan harga RM6. Walau bagaimanapun, agak sukar untuk penulis menilai sama ada ini merupakan soto yang terbaik penulis pernah rasa, dan rasa soto ini juga mengingatkan penulis pada mi celup, berbanding dengan soto-soto yang penulis pernah rasa di Selangor dan Pulau Pinang yang jauh lebih berminyak.


Bagi yang berminat bolehlah datang ke Indera Mahkota 7 dan nikmati sendiri soto dengan pelbagai bahan ini. Selepas ini penulis mungkin akan cuba bersama nasi himpit pula.

Post a Comment

To Top