Mengidam Nasi Ayam? Boleh Cuba Nasi Ayam Madu di Chicken+Honey, Kuantan

Tak pernah penulis begitu cepat hendak menulis blog, tetapi disebabkan hari ini penulis hendak berkongsi tentang salah satu daripada makanan kegemaran penulis, Nasi Ayam, maka penulis agak teruja hendak berkongsi dengan pembaca semua.

Dalam penulis bingung petang tadi, berjalan-jalan dalam East Coast Mall sambil memikirkan apa yang hendak dijadikan makan petang, penulis teringat satu restoran yang penulis pernah fikir untuk pergi tetapi belum pernah berkesempatan iaitu Chicken+Honey yang bertempat tidak jauh daripada situ.

Keadaan dalam restoran amat bersih, menarik dan selesa, pencahayaannya juga cukup baik, sesuai bagi mereka yang gemar mengambil gambar makanan yang bakal dihidang. Memandangkan penulis pergi pada waktu petang, penulis tidak tahu keadaan dalam kedai pada waktu malam.

Penulis telah memesan Nasi Ayam Madu, bersempena dengan nama restoran itu sendiri dan juga kerana penulis memang penggemar nasi ayam. Bagi penulis, nasi ayam yang baik perlukan nasi yang beraroma dan juga ayam yang tidak terlalu kering, jadi berani penulis katakan yang penulis cukup berpuas hati dengan hidangan Nasi Ayam Madu di restoran tersebut.

Walaupun bahagian nasi tidak begitu banyak, nasinya dimasak dengan baik, tidak terlalu kering atau lembab. Ia juga dihidang dengan menarik bersama dengan dua wonton goreng dan semangkuk sup, selain daripada mempunyai rasa dan aroma yang layak dikategorikan sebagai nasi ayam.

Bahagian ayam madu yang diberikan pula mencukupi untuk seorang, mungkin juga lebih daripada mencukupi jika dibandingkan dengan kuantiti nasi yang disediakan. Kicap yang membasahi ayam agak manis mungkin kerana madu, hiasan daun bawang pula memang menaikkan selera. Sekali pandang, seolah-olah seperti ayam honey bbq di medan makan pasaraya ataupun pusat membeli belah, tetapi apa yang penulis boleh rumuskan, rasanya sedikit lain dan memang sedap.

Dengan harga RM9.90, untuk satu set Nasi Ayam Madu yang datang juga bersama pilihan air antara sirap pandan, teh o ais dan ice lemon tea, ditambah pula dengan keadaan restoran yang agak selesa, selepas dibandingkan dengan harga Nasi Ayam Honey BBQ tidak termasuk air dan tiada wonton goreng di Tesco rumah penulis yang sebanyak RM6.50, bagi penulis agak berbaloi.


Bagi pembaca yang tertanya sama ada restoran ini hanya menyediakan nasi ayam, tidak perlu risau kerana restoran ini juga menyediakan makanan-makanan lain seperti Ayam Goreng ala Korea, Mee/Bihun/Kue Teow Sup, dan juga makanan berkonsepkan Western. Bagi yang berminat, boleh cuba sendiri, dan penulis cadangkan untuk datang pada waktu lunch, mungkin ada promosi.


Post a Comment

To Top