Pengajaran Daripada Peristiwa Kanak-kanak Terperangkap di Dalam Gua Tham Luang

-via CNN
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan peristiwa 12 orang kanak-kanak yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang bersama dengan seorang jurulatih bola sepak. Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 11 ke 16 tahun telah ditemui oleh dua orang penyelam daripada UK pada 2 Julai, lebih 1 minggu sejak mereka dilaporkan hilang apabila laluan gua tersebut ditutupi air akibat daripada hujan lebat. 

Operasi menyelamat mengambil masa yang agak panjang, bahkan pada waktu penulis menulis blog ini, baru 8 orang kanak-kanak selamat dikeluarkan. Disebabkan oleh jarak yang jauh antara pintu masuk gua ke kawasan di mana kanak-kanak itu dijumpai, iaitu sejauh 2.5 batu, setiap operasi menyelamat memakan masa sehingga 9 jam. Bukan itu sahaja, satu operasi hanya dapat membawa keluar beberapa orang pelajar dalam satu masa disebabkan oleh sebahagian laluan gua yang agak sempit selain daripada mengambil kira tahap kesihatan dan kekuatan kanak-kanak tersebut.

-via star2.com
Jika misi ini berjaya, ini bermakna misi ini telah berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan hanya seorang sahaja yang terkorban, iaitu seorang wira yang bernama Saman Kunan. Keberanian dan semangat Saman Kunan haruslah dicontohi, beliau telah terkorban dalam usaha menyelamatkan manusia yang tiada pertalian dengannya.

Antara kata terakhir Saman Kunan
Terus terang penulis sendiri baru sedar tentang peristiwa ni walaupun sudah berlaku lebih daripada seminggu. Jadi apa yang tiba-tiba membuatkan peristiwa ini mendapat perhatian dunia? Apa yang kita dapat lihat daripada peristiwa ini? Sebenarnya, apabila kita berada di dalam saat yang genting, kita akan mula mempelajari sesuatu, dan hari ini penulis hendak berkongsi apa yang kita boleh dapat apabila berhadapan dengan keadaan yang genting.

Membuatkan Kita Lebih Kuat

-via reddit
Pepatah inggeris ada mengatakan, "when the going get tough, the tough get going". Penulis tak tahu bagaimana nak terjemahkan ke dalam bahasa melayu, tetapi dari segi maksudnya pepatah itu mengatakan apabila keadaan menjadi genting, orang-orang yang kuat akan tabah menempuh. Keupayaan manusia menyesuaikan diri dengan keadaan tidak boleh dipandang rendah. Dalam saat yang genting, melainkan mereka hendak berputus asa, manusia akan mula berfikir untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Menyatupadukan Manusia

-via star2.com
Walaupun kita masing-masing manusia, ada banyak titik perbezaan yang dapat membezakan kita. Seringkali perbezaan itu digunakan sebagai alasan untuk membahagi-bahagikan antara manusia, boleh jadi warna kulit, boleh jadi bangsa, dan boleh jadi juga agama. Sehinggalah mereka berhadapan dengan satu masalah, dan masalah itu sendiri menjadi satu titik persamaan yang mereka sama-sama hendak selesaikan. Tidak selamanya manusia dapat berdiri dengan kaki sendiri, akan sampai masa ia terlalu lemah dan perlu mengharapkan tangan-tangan saudaranya atau pilih untuk hanyut seorang diri.

Menggalakkan Perkembangan Ilmu

Apabila kita menghadapi saat yang genting, kita akan mula berfikir, dan daripada pemikiran kita akan tercetus idea-idea dan ilmu-ilmu baharu dalam mencari penyelesaian kepada masalah. Tanpa sebarang masalah, ilmu akan susah untuk berkembang. Bagi penyelidik, perkara yang pertama sekali perlu ada sebelum mulakan penyelidikan mestilah pernyataan masalah ataupun problem statement. Kalau kita lihat teknologi-teknologi yang kita ada seperti internet dan GPS, teknologi itu pada suatu masa dahulu wujud atas sebab peperangan.

-via bigthink.com
Selain itu juga, Elon Musk, seorang entrepeneur berjaya, pemilik kepada paypal dan tesla juga telah mengemukakan idea untuk memudahkan misi menyelamat. Walaupun idea Elon Musk tidak diterimapakai oleh kerajaan Thailand, Elon Musk telah menunjukkan satu contoh yang baik kepada dunia, dan idea-idea yang dikemukakan walaupun mungkin tidak diterimapakai pada waktu ini, ianya masih berguna untuk masa-masa yang akan datang.

Apa yang tidak enak dilihat adalah sebahagian netizen yang menyatakan bahawa apa yg Elon Musk lakukan itu adalah satu usaha untuk mencari publisiti. Hal ini tidak sepatutnya berlaku, semua berhak untuk menyuarakan idea tidak kira apa pun niat mereka, malah apa-apa sahaja yang membantut perkembangan idea ataupun ilmu haruslah dielakkan. 

Agak-agak apa lagi yang kita dapat daripada peristiwa ini? Boleh kongsikan di ruangan komen di bawah.

update (11 July 2018): Kesemua kanak-kanak bersama dengan jurulatih mereka telah disahkan berjaya diselamatkan.

Post a Comment

To Top