Berkenaan Isu Bebanan Beg Sekolah dan Langkah Penyelesaiannya

-via Pexels by Porapak Apichodilok
Kalau kita lihat anak-anak yang ke sekolah rendah, sudah tentu kita perasan beg yang digalas mereka kelihatan agak besar berbanding saiz mereka, dan perkara pertama yang kita khuatir adalah berkenaan berat yang ditampung oleh anak-anak tersebut. Kerisauan ini bukan perkara baru, malah telah menjadi topik kajian lebih daripada sedekad lalu. Penulis juga telah merasai perkara yang sama suatu masa dahulu.

Menurut satu kajian pada tahun 2010, berat purata bagi beg sekolah yang digalas murid sekolah kebangsaan di sekitar Kuala Lumpur adalah 4.55±1.62kg iaitu 11.7% daripada berat purata murid. Manakala murid sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil pula menggalas beban secara purata sebanyak 22.0% dan 16.6% daripada berat purata mereka. Apa maknanya peratusan-peratusan tu? Teruskan membaca ye.

Adakah wujud panduan bagi had berat beg yang digalas oleh murid? Panduan yang ada berbeza-beza, tetapi rata-ratanya dalam lingkungan 5% dan 20% daripada berat murid. Menurut kajian, American Occupational Therapy Association mengesyorkan had 15% dan American Academy of Pediatrics pula mengesyorkan had antara 10% ke 20%. Di singapura, had antara 10% ke 15% digunapakai. Bagi murid sekolah rendah di Malaysia, memandangkan umur yang lebih muda dan saiz yang lebih kecil berbanding murid di sekolah menengah, adalah lebih baik untuk kita tetapkan had berat sebanyak 10% daripada berat murid seperti yang dicadangkan oleh National Back Pain Association pada 1997. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa kajian tadi menunjukkan bahawa murid daripada ketiga-tiga jenis sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur membawa beban melebihi apa yang dicadangkan iaitu 10% (contohnya jika berat anak adalah 30kg, berat beg tidak seharusnya melebihi 3kg). Jadi apa kesannya?

Kesan daripada masalah beban beg sekolah terhadap murid telah dibincangkan sejak sekian lama. Pada 2015, artikel daripada akhbar Utusan menyatakan bahawa menurut Dr. Nurul Azwa Mohammad Noor, seorang Pakar Ortopedik dan Tulang Belakang, bebanan daripada beg sekolah boleh mengakibatkan tulang belakang menjadi bengkok. Ia juga ada menyatakan bahawa kajian yang telah diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Science Vol. 1 sekitar tahun 2005 mendedahkan bahawa beban beg sekolah boleh mengakibatkan sakit tulang belakang.

Bagi mengelakkan kesan yang buruk kepada murid, langkah yang wajar dilakukan adalah mengurangkan bebanan yang dibawa oleh murid-murid ke sekolah. Sebelum mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini, kita perlu bermula dengan melihat isi kandungan beg sekolah yang dibawa oleh murid. Berdasarkan tweet Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia pada 29 Jun 2018, dapatan kajian menunjukkan bahawa buku teks dan buku aktiviti daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mengikut jadual hanyalah 28% daripada jumlah berat beg sekolah murid.
Bila kita sebut tentang mengurangkan beban, tidak bermakna ia hanya melibatkan berat, tekanan juga memainkan peranan. Jadi apa yang kita hendak capai adalah pengurangan dari segi berat dan juga tekanan fizikal pada murid. Di sini penulis kongsikan beberapa penyelesaian yang kita boleh sama-sama cuba.

Semak Jadual dan Beg Anak-anak

Setiap hari sebelum anak-anak pergi ke sekolah, cuba periksa beg anak-anak untuk tahu samada mereka terbawa buku yang tiada di dalam jadual ataupun bawa benda-benda yang tidak berkaitan dengan pelajaran.

Berikan beg yang sesuai

Beg haruslah mempunyai dua strap, dan strap yang lebih lebar adalah lebih bagus kerana ia akan mengurangkan tekanan pada bahu. Pastikan anak menggunakan kedua-dua strap, menggunakan hanya satu strap akan mengakibatkan tekanan yang tidak seimbang pada bahu dan belakang anak. Selain itu, pastikan juga ia tidak terlalu berat. Penulis tahu ada yang menggunakan beg beroda, tetapi beg beroda agak berat untuk digalas, jadi pastikan samada perlu atau tidak bergantung pada penggunaan beg tersebut, jika anak lebih banyak perlu menggalas beg, mungkin perlu difikirkan semula. Strap juga perlu diikat dengan betul, kedudukan beg haruslah tinggi, supaya kedudukan beg tidak memberi tekanan yang lebih kepada bahagian belakang anak. Jika beg yang dibeli mempunya strap di pinggang, memakai strap di pinggang akan mengurangkan tekanan pada bahagian belakang dan mengalihkan bebanan tersebut ke pinggul.

Susun Barang Mengikut Berat

Pastikan barang yang lebih berat diletakkan lebih dekat dengan bahagian belakang anak, dan barang yang lebih ringan diletakkan lebih jauh di dalam beg. Ini akan mengurangkan tekanan pada belakang anak.

Mengurangkan Bilangan Subjek

Mengurangkan bilangan subjek harian secara langsung akan mengurangkan bilangan buku yang perlu dibawa ke sekolah.

Penggunaan E-Book

Ada cadangan yang mengatakan, kita perlu tinggal buku di sekolah, dan hanya membawa pulang buku yang mempunyai kerja sekolah. Cadangan ini akan kurangkan bebanan yang dibawa oleh murid, tetapi yang lebih baik itu jika murid tidak perlu membawa pulang buku pun. Ada 2 cara, salah satunya dengan mendapatkan salinan buku teks yang sama untuk diletakkan dirumah, satu lagi dengan cara menggunakan buku teks dalam bentuk e-book di rumah. Penulis tidak pasti samada semua buku teks boleh didapati dalam bentuk e-book. Langkah ini memerlukan sekolah untuk menyediakan ruang untuk murid menyimpan buku teks di sekolah.

Ada banyak langkah lagi jika kita sama-sama fikirkan. Ingat, tidak ada langkah penyelesaian yang betul-betul sempurna, yang penting kita cuba. Kalau ada cadangan lain boleh komen di bawah untuk dikongsikan bersama.  

Sumber
  • http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/beg-berat-undang-bahaya-1.71203
  • https://doi.org/10.1016/j.apergo.2004.10.004
  • https://doi.org/10.1111/josh.12040
  • https://doi.org/10.1051/matecconf/20178702013
  • http://t.upm.edu.my/dokumen/FKUSK1_MJMHS_2010V06N2_OP09.pdf

Post a Comment

To Top