Kesan Dunning-Kruger. Apakah ia? Dan Bagaimana ia Memudaratkan Masyarakat.
Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk. Siapa tak kenal peribahasa yang
dipelajari dan diperingatkan sejak alam persekolahan lagi. Secara mudahnya ia
bermaksud makin banyak ilmu makin merendah diri.
Peribahasa yang cukup cantik, membawa nasihat yang sangat baik dengan cara
yang amat halus, tetapi malangnya ramai yang bawa resmi jagung, makin berisi
makin jegang (tegang, tegak, kaku, liat, keras) yang bermaksud makin berilmu
makin sombong.
Pernahkah kita tertanya, mengapa ilmu yang sifatnya membawa pencerahan dan
pemahaman boleh jadikan manusia tinggi diri, sombong, atau bongkak? Kerana
manusia ini tahu tingginya dia dari tanah, tetapi belum tahu rendahnya dia
dari langit.
Ini juga sebab kenapa kita sering lihat manusia bercakap tentang satu-satu isu
yang mereka sendiri kurang faham, kerana mereka tidak tahu yang mereka kurang
faham, dan fikir orang lain tidak faham. Susah ditegur, pikiran tertutup. Ini
semua terjadi apabila seseorang terlalu yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Untuk orang yang rendah ilmunya, keyakinan merupakan satu ilusi yang
membuatkan mereka fikir mereka lebih hebat, lebih pandai, atau lebih berilmu
dari sebenarnya. Mereka ini sebenarnya keliru, dan tidak mampu untuk menilai
kemampuan diri mereka sendiri.
Dalam bidang psikologi, keadaan ini disebut sebagai kesan Dunning-Kruger, satu
keadaan di mana seseorang yang kurang ilmu pengetahuan mempunyai kecenderungan
untuk membawa tanggapan yang salah terhadap kecekapan, 'competency', atau
pengetahuan mereka.
Hal ini telah diketengahkan dalam satu kajian yang telah dijalankan oleh
David Dunning dan Justin Kruger, kedua-duanya ahli dalam bidang psikologi.
Penemuan ini juga telah diterbitkan dalam 'Journal of Personality and Social Psychology'.
Dalam kajian tersebut, mereka telah memberikan ujian kepada peserta dalam
bidang humor, tatabahasa dan logik, kemudian menguji kebolehan mereka dalam
mengukur kemahiran masing-masing dalam bidang tersebut.
Hasil kajian menemukan mereka yang memperoleh skor yang lebih rendah pada
ujian tersebut telah menganggarkan yang mereka akan dapatkan skor yang lebih
tinggi. Ini dipercayai disebabkan oleh kemahiran metakognitif atau berfikir
yang rendah.
Walaupun keyakinan seharusnya dipuji, terlalu yakin dengan kebolehan diri
sendiri boleh menjadi racun yang membantut perkembangan keilmuan seseorang.
Ini akan melahirkan masyarakat yang kurang cerdik tetapi lagaknya seperti
seorang cendekiawan.
Mereka ini sering menonjol, bersuara, dan berani, membawa ilusi seakan-akan
mereka benar-benar berpengetahuan. Mereka ini juga pendokong falasi yang bakal
mempengaruhi ramai orang dengan ralat dan kekeliruan.
Tidak cukupkah dengan golongan anti vaksin, 'flat earther', dan paling
terbaharu 'anti-masker'? Sukar ditegur walaupun dengan bukti-bukti saintifik.
Tidak cukupkah juga dengan pentaksub parti politik? Sampai bila kita mahu
dijaga ahli politik yang memekik, membuat kacau, dan berhujahkan ejekan dan
retorik kosong?
Jelas sekali kesan Dunning-Kruger menyedarkan kita akan kepentingan untuk
merendahkan diri walaupun berilmu kerana kita mungkin tidak sehebat apa yang
kita fikirkan. Setinggi mana pun ilmu kita, perlu sentiasa beringat yang kita
mungkin salah, dan orang lain mungkin betul.
Mungkin ada benar kata ilmuan dahulu, makin banyak kita belajar makin sedikit
yang kita tahu. Jadi apabila kita fikir kita dah tahu cukup banyak, itulah
tandanya kita kurang belajar.
Post a Comment