Pizza 101: Panduan Pembuatan Pizza untuk Newbie

Membuat doh pizza merupakan bahagian yang paling rumit apabila kita membuat pizza sendiri, kerja selebihnya seperti memilih sos, keju dan toppings adalah jauh lebih mudah. 

Beberapa hari lepas penulis ada kongsikan resepi doh pizza yang mudah untuk korang cuba, jadi harini penulis nak kongsi beberapa tips untuk mereka yang baru nak cuba buat pizza di rumah. 

ROTI

Macam yang penulis kata tadi, ini bahagian yang paling rumit dalam pembuatan pizza. Kenapa? Sebab kandungan, gula, garam, dan berapa lama kita biarkan doh naik akan mempengaruhi roti pizza kita nanti. 

Sebagai contoh, garam diperlukan untuk rasa, tetapi terlalu banyak garam akan merencatkan aktiviti yis. Gula pula membantu dalam pemerangan roti sewaktu dibakar, tetapi gula yang banyak akan membuatkan roti mudah hangit.

Tetapi jangan risau, kalau tak nak buat doh sendiri, boleh beli roti pizza yang dah siap seperti pizza crust jenama mission yang kita boleh dapat dalam dua pilihan, biasa atau wholemeal.

SOS

Selain daripada sos tomato, ada banyak lagi pilihan sos yang kita boleh gunakan seperti sos barbeku, pesto dan alfredo. Kalau suka sos putih dari Domino's seperti yang digunakan pada Classified Chicken, boleh cari resepi 'garlic parmesan white sauce'.

Tetapi, sebagai permulaan, boleh mula dengan sos tomato yang jauh lebih mudah disediakan. Untuk sos tomato yang sedap, kita hanya perlukan bawang holland, sos tomato prego, oregano, minyak zaitun dan garam.

Boleh juga eksperimen dengan sos-sos lain, contohnya seperti sambal petai, sambal bilis, buttermilk,  tomyam dan asam pedas. Nak lagi rare, cuba tempoyak.

KEJU

Ada pelbagai jenis keju yang kita boleh pilih di pasaran, contohnya mozzarella, cheddar, parmesan, gouda, edam, dan brie. Keju yang mempunyai kandungan lembapan yang lebih tinggi, contohnya mozzarella; lebih mudah cair.

Jadi kalau nak dapatkan keju yang mudah cair, guna mozzarella. Kalau nak keju yang rasa lebih tajam dan kuat, gunakan campuran cheddar dan mozzarella. Parmesan, sebagai keju yang lebih kering dan sukar cair pula selalunya disagat ke atas pizza yang telah dibakar.

Mozzarella juga jauh lebih sihat berbanding cheddar yang mempunyai kandungan lemak tepu dan kalori yang lebih tinggi. Kalau gunakan mozzarella segar, jangan guna terlalu banyak kerana kandungan lembapannya yang lebih tinggi berbanding mozzarella yang telah diproses akan jadikan pizza lembap dan lembik.

TOPPING

Kebiasaannya ayam, daging, tuna, crabstick, cendawan, dan sosej digunakan sebagai topping bersama dengan sayur-sayuran seperti cili, bayam, bawang dan cili benggala.

Untuk rasa yang lebih mewah, boleh gunakan makanan laut seperti udang, sotong atau ikan yang digoreng tempura. Untuk lebih jimat pula, boleh gunakan lebihan makanan yang ada di dalam peti sejuk.

Pilihan topping juga perlu sesuai dengan jenis sos yang digunakan. Boleh jadikan kombinasi topping dan sos yang digunakan di restoran pizza sebagai panduan asas. Sebagai contoh, daging lembu lebih sesuai dengan sos tomato atau barbeku, manakala udang tempura pula lebih sesuai dengan sos putih.

SUSUNAN BAHAN

Bagaimana pula dengan susunan bahan-bahan yang disebutkan tadi? Lapisan pertama sekali mestilah diletakkan sos, untuk lapisan kedua pula kebiasaannya diletakkan keju, dan topping pula di lapisan teratas.

Dengan susunan ni, kita dapat pastikan topping kita lebih cepat masak dan garing, dalam masa yang sama mengelakkan keju daripada menjadi kering (lihat pizza kanan).

Kalau sukakan keju yang lebih garing, boleh cuba letak topping terlebih dahulu sebelum keju (lihat pizza kiri). Cuma ini akan mengakibatkan topping kurang terdedah kepada haba terus dari ketuhar, masa yang lebih lama diperlukan untuk memasak topping. Penyelesaiannya? Gunakan topping yang telah dimasak.

SUHU DAN MASA

Untuk pengetahuan, suhu yang terbaik untuk membakar pizza ialah 370 ke 430 darjah celcius, dan hanya memakan masa dalam 2 ke 3 minit. Namun, ia bukanlah suhu yang kita boleh capai menggunakan ketuhar bukan komersial.

Jadi, gunakan suhu paling tinggi yang boleh dipasang pada ketuhar, kebanyakan ketuhar di rumah boleh dipanaskan hingga 250 darjah celsius. Panaskan dahulu ketuhar pada suhu tersebut dalam 10 ke 15 minit sebelum digunakan. Untuk suhu 250 darjah celsius, bakar pizza selama 15 ke 20 minit.

MASALAH DAN CABARAN

Roti Tak Garing? Agak susah untuk dapatkan roti yang garing dalam masa yang singkat menggunakan ketuhar yang biasa ada di rumah. Penulis akan kongsikan tiga cara untuk dapatkan roti yang lebih garing.

Pertama, gunakan 'pizza stone'. Tetapi cara ni perlukan modal, dan mungkin susah untuk dapatkan saiz yang sesuai untuk ketuhar yang lebih kecil. Ia juga perlukan masa dalam 30 minit ke 1 jam untuk dipanaskan sebelum boleh digunakan.

Kedua, boleh sesuaikan kedudukan pizza ikut keperluan. Boleh cuba letakkan pizza pada kedudukan rak bawah untuk 10 minit pertama, kemudian letakkan pada kedudukan atas sehingga topping siap dimasak.

Ketiga, boleh masak bahagian bawah roti di atas kuali terlebih dahulu sebelum diletakkan sos, keju dan topping. Kemudian pizza boleh dibakar pada bahagian atas ketuhar dalam 10 ke 15 minit. Ini cara yang lebih mudah dan cepat bagi penulis.

Nak Lebih Cepat? Kalau nak lebih cepat, selain menggunakan roti yang telah digaringkan di atas kuali terlebih dahulu, boleh juga gunakan sos dan topping yang telah dimasak. Cara ni sangat membantu apabila kita bakar lebih daripada satu pizza.

Selain itu, dengan cara ini juga pizza boleh dibakar di kedudukan atas ketuhar menggunakan haba dari bahagian atas ketuhar sahaja. Kita boleh bakar satu pizza dalam masa 5 ke 8 minit sahaja, cukup untuk panaskan topping dan cairkan keju.

TERUSKAN BEREKSPERIMEN

Panduan yang penulis sediakan ni sekadar membantu dengan memberikan pengetahuan yang asas dalam pembuatan pizza. Bergantung pada jenis ketuhar, saiz pizza, ketebalan dan jenis topping, hasil yang kita akan dapat mungkin berbeza.

Sebagai pemulaan, boleh periksa pizza setiap 5 minit dan lihat sendiri perubahan pada warna roti, keju dan topping.

Post a Comment

To Top