Bagaimana 'Sieg Heil' Pelajar UMS Menyedarkan kita Akan Paradoks Kebebasan Bersuara
Sebelum ini kita telah dikejutkan dengan lagak seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang telah mengangkat sepanduk di atas pentas pada hari graduasinya sebagai tanda protes terhadap ucapan Naib Canselor UM pada Kongres Maruah Melayu yang dipercayainya berbaur perkauman dan rasis [1].
Baru-baru ini pula kita telah dikejutkan sekali lagi dengan kelakuan seorang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah memuat naik status yang menunjukkan dirinya menggayakan 'Sieg Heil' yang bertujuan untuk menunjukkan solidaritinya bersama Gaza [2].
Tidak terhad kepada dua contoh itu sahaja, malah banyak lagi kegilaan-kegilaan atau keabnormalan yang telah dihidangkan kepada kita atas alasan kebebasan bersuara. Ia bukan masalah yang dibolot pelajar semata-mata, ia juga masalah yang menjangkiti sekalian manusia khususnya ahli politik.
Tidak dapat dinafikan ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada kegilaan itu jika ia dilihat pada konteksnya, tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa konteks bukan segala-galanya dalam menyampaikan dan menghubungkan idea.
Ini bukan sahaja menyedarkan kita bahawa kebebasan bersuara itu masih belum sepenuhnya difahami, malah ia juga merupakan satu paradoks. Kebebasan bersuara adalah satu tuntutan yang mustahil, dalam bersuara tidak pernah ada kebebasan.
Kebebasan bersuara yang selama ini dituntut oleh barat lebih menekankan 'hak' dan 'perbuatan' bersuara, dan ini pada pendapat penulis penekanan-penekanan yang 'selfish'. Hakikatnya, dalam menyuarakan pendapat, elemen-elemen lain seperti 'isi', 'kaedah', 'gaya' dan 'keadaan' merupakan antara elemen yang seharusnya diberikan penekanan juga.
Ini bermakna, dalam kita menyampaikan sesuatu idea dan pendapat, kita bertanggungjawab untuk memastikan ia benar, beretika dan sesuai supaya ia dapat diterima ramai. Idea itu sifatnya rapuh, seringkali kehilangan nilai dan konteksnya atas sebab kebodohan dan kegilaan pada penyampaiannya.
Bagi penulis juga, manusia yang pernah mengatakan bahawa mereka hanya bertanggungjawab atas apa yang mereka katakan, bukan apa yang orang lain faham itu sebenarnya manusia yang pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab.
Tujuan menyampaikan idea seharusnya adalah untuk berkongsi dan mendidik, dan segala salah faham yang hadir dari penyampaian kita itu adalah suatu yang dikesali. Salah faham itu sebenarnya terhasil daripada kelemahan penyampaian kita melebihi kelemahan daya fikir seseorang.
Konklusinya, dalam bersuara itu ada protokolnya, ada disiplinnya, ada etikanya, ada kaedahnya dan ada keadaannya. Walaupun demikian, harus diingatkan juga bahawa 'disiplin', 'etika', 'kaedah' dan 'keadaan' itu tidak bersifat konkrit, dibebani perspektif, dan sentiasa terbuka untuk perbahasan.
p.s. Boleh jadi juga apabila ia gila dan bodoh, ia sebenarnya tidak segila dan sebodoh yang kita fikirkan. Kita tidak pernah rugi mempersoalkan sesuatu, kerana manusia yang tidak ada persoalan itu akalnya mungkin sudah mati.
Sumber
Post a Comment